JAKARTA: Program Sekolah Rakyat yang dilancarkan oleh Presiden Indonesia Prabowo Subianto, bukan sekadar projek pendidikan biasa.
Ia merupakan lambang komitmen politik tertinggi negara itu untuk memutuskan rantaian kemiskinan yang telah sekian lama membelenggu sebahagian besar rakyat Indonesia.
Melalui Sekolah Rakyat, pentadbiran Encik Prabowo merancang untuk membuka 200 sekolah secara berperingkat, mulai Julai 2025.
Sekolah itu disasarkan khusus untuk kanak-kanak daripada keluarga miskin dan miskin tegar, berasaskan data sosial ekonomi kebangsaan (DTSEN).
Ia turut menawarkan konsep pendidikan percuma dengan format sekolah berasrama penuh – satu langkah radikal yang jarang dibuat secara besar-besaran dalam sejarah pendidikan Indonesia.
Presiden Prabowo sendiri menegaskan: “Anak orang miskin tidak boleh terus miskin. Kalau bapanya pemulung (pengutip barangan terpakai), anaknya tidak boleh jadi pemulung juga. Kita harus perkasakan mereka.”
Kata-kata beliau itu membuktikan falsafah utama program itu untuk membebaskan generasi miskin daripada perangkap sosial dan ekonomi.
Encik Prabowo berpegang kepada prinsip bahawa pendidikan adalah senjata paling berkesan untuk mengubah nasib rakyat miskin.
Melalui sistem sekolah berasrama ini, kanak-kanak bukan sahaja diberi peluang mendapat pendidikan akademik, malah turut diajar disiplin hidup, makan makanan berkhasiat, dan diasuh dalam persekitaran lebih kondusif.
“Kita akan ajar mereka supaya mereka yakin dan tidak berasa rendah diri.
“Masa depan mereka tidak boleh ditentukan oleh keadaan sekeliling. Kita harus masuk campur,” tegas Encik Prabowo dalam satu temu ramah dengan media.
Malah, Encik Prabowo merancang memastikan sekurang-kurangnya satu Sekolah Rakyat didirikan di setiap daerah di seluruh Indonesia dalam tempoh lima tahun akan datang, terutama di kawasan yang dikenal pasti mempunyai kelompok kemiskinan tegar.
Kementerian Sosial Republik Indonesia dipertanggungjawabkan untuk menguruskan projek mega itu.
Menteri Sosial, Encik Saifullah Yusuf, atau lebih dikenali sebagai Gus Ipul, telah mengesahkan 53 tapak Sekolah Rakyat telah dikenal pasti untuk pelancaran pertama 2025.
Selain itu, 147 lagi lokasi sedang melalui proses penilaian awal sebelum dilaksanakan sepenuhnya.
Beliau menjelaskan bahawa proses pemilihan pelajar akan dilakukan secara teliti, bermula dengan anak-anak daripada kumpulan paling miskin – iaitu keluarga dalam kategori pendapatan terendah – sebelum dibuka kepada kumpulan seterusnya jika kuota pelajar masih belum mencukupi.
“Selepas kita tentukan siapa pelajarnya, barulah kita akan temu duga keluarga mereka, jalankan ujian kesihatan dan proses pentadbiran lain,” kata Encik Gus Ipul.
Selain itu, proses perekrutan guru juga telah disusun rapi.
Menurut Menteri Pendidikan, Encik Abdul Mu’ti, guru-guru yang terpilih wajib mempunyai Sijil Pendidikan Profesi Guru (PPG) dan mampu mengajar lebih daripada satu subjek.
Lebih menarik, kurikulum sekolah itu akan disesuaikan dengan kadar pembelajaran pelajar bagi memastikan mereka dapat mencapai prestasi akademik mengikut keupayaan masing-masing.
Sekolah Rakyat dilihat sebagai antara daya usaha pendidikan paling progresif yang pernah diperkenalkan di Indonesia.
Pakar pendidikan, Encik Doni Koesoema, dari Universiti Multimedia Nusantara, memuji format sekolah berasrama itu kerana ia dianggap sesuai untuk membantu kanak-kanak yang hidup dalam keadaan serba kekurangan.
“Biasanya, pelajar daripada keluarga miskin menghadapi kesukaran untuk belajar kerana mereka terpaksa pulang ke rumah yang tidak kondusif.
“Dengan konsep sekolah berasrama ini, keadaan itu dapat diatasi,” kata Encik Doni.
Namun begitu, terdapat juga pandangan kritikal terhadap program itu.
Pakar pendidikan dari Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional (Brin), Encik Anggi Afriansyah, berpendapat bahawa pemerintah sepatutnya juga memberi perhatian kepada memperbaiki sekolah sedia ada di kawasan miskin.
“Daripada membina sekolah baru, pemerintah sepatutnya boleh mewujudkan program sokongan yang menyasarkan sekolah-sekolah yang sudah wujud di kawasan miskin,” katanya.
Encik Anggi turut menegaskan masih banyak sekolah di Indonesia yang rosak teruk dan perlu dibaik pulih untuk meningkatkan perkhidmatan pendidikan mereka.
Selain itu, Ketua Pasukan Penyelaras Sekolah Rakyat, Encik Mohammad Nuh, menjelaskan bahawa semua pelajar akan menjalani proses matrikulasi selama sebulan sebelum sesi persekolahan bermula.
“Kami akan memanggil mereka lebih awal untuk ditempatkan di asrama dan mengikuti proses matrikulasi sebagai persediaan.
“Proses ini penting untuk menyelaraskan tahap pengetahuan mereka serta membina kesiapsiagaan dari segi mental, sosial dan akademik sebelum memulakan sesi persekolahan,” katanya.
Program matrikulasi itu dianggap penting bagi memastikan pelajar mampu menyesuaikan diri dengan kehidupan sekolah berasrama, terutama kerana kebanyakan daripada mereka datang daripada latar belakang kehidupan yang sangat mencabar.
Di sebalik angka dan perancangan besar itu, realiti kehidupan golongan miskin di Indonesia sangat menyentuh hati.
Seorang ibu di Solo yang bekerja sebagai pembantu rumah sambilan dengan pendapatan sekitar 1.2 juta rupiah ($93.85) sebulan, Cik Tutiek Budhawati, menggambarkan bagaimana Sekolah Rakyat itu memberi sinar harapan baru untuk masa depan anak-anak mereka.
Meskipun hidup dalam rumah sewa kecil berukuran 2x4 meter, Cik Tutiek tetap berharap anak bongsunya yang kini berada di Tahun 4 persekolahan dapat mencapai cita-cita menjadi seorang guru.
“Dulunya cita-citanya ingin jadi doktor, terus ingin jadi pramugari tetapi sekarang ingin jadi guru, katanya suka mengajar,” kata Cik Tutiek sambil tersenyum penuh harapan.
Namun beliau tidak menafikan kos pendidikan sentiasa menjadi cabaran utama buat keluarganya.
“Kadang suami dapat 200,000 rupiah, kadang 300,000 rupiah setiap minggu,” kata Cik Tutiek yang bergantung hidup di rumah sewa kecil dengan bayaran bulanan 350,000 rupiah.
Program Sekolah Rakyat itu bukan hanya dilihat sebagai projek prasarana pendidikan, bahkan ia adalah manifestasi politik dan sosial Presiden Prabowo untuk memutuskan lingkaran kemiskinan di Indonesia.
Kejayaan program itu bergantung kepada pelaksanaan teliti, kewibawaan pelaksanaan di lapangan, serta kerjasama erat antara agensi pemerintah dengan masyarakat.
Encik Prabowo pernah mengingatkan dengan berkata: “Kita ingin menghapuskan kemiskinan dalam waktu secepat-cepatnya.”
Harapan rakyat Indonesia kini disandarkan kepada janji besar ini – bahawa anak-anak mereka tidak lagi terperangkap dalam kemiskinan warisan, tetapi sebaliknya menjadi generasi baru yang mampu mencipta masa depan lebih cerah. –Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg