Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aceh berdepan krisis kesihatan, wabak penyakit selepas banjir besar

Kekurangan bekalan air bersih dan sanitasi yang teruk di pusat pemindahan percepat penularan penyakit
Dec 8, 2025 | 10:41 AM
banjir aceh, Batang Toru, Tapanuli Selatan
Pemandangan dron menunjukkan kayu balak yang hanyut selepas banjir kilat maut di Batang Toru, Tapanuli Selatan, wilayah Sumatera Utara, Indonesia, pada 7 Disember. - Foto REUTERS

ACEH: Wilayah Aceh utara kini berhadapan krisis kesihatan yang semakin meruncing selepas banjir dan tanah runtuh akibat hujan lebat yang melanda tiga wilayah di Sumatera sejak akhir November turut memusnahkan infrastruktur penting.

Bencana itu meragut sekurang-kurangnya 940 nyawa, manakala 276 lagi masih hilang, menurut data pemerintah Indonesia.

Penduduk yang kehilangan tempat tinggal kini bergelut dengan penularan penyakit yang semakin meruncing seperti cirit-birit, demam denggi dan penyakit kulit, sementara ribuan rumah musnah dan kemudahan asas termasuk jalan raya, jambatan serta pusat kesihatan hampir lumpuh sepenuhnya.

Runtuhan jambatan di beberapa daerah menjadikan situasi lebih getir.

Kekurangan bekalan air bersih dan sanitasi yang teruk di pusat pemindahan mempercepatkan penularan penyakit, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas.

“Segala-galanya musnah. Rumah kami hanyut, tiada makanan, tiada air bersih. Kami hanya mampu berteduh di pusat pemindahan,” kata seorang penduduk Aceh Tamiang yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir.

Kementerian Kesihatan Indonesia berkata keadaan pascabencana masih tidak stabil, dengan kawasan kediaman dan persekitaran yang musnah menjadi pencetus penyakit.

“Persekitaran dan tempat tinggal belum pulih selepas bencana,” menurut kementerian itu.

Satu-satunya hospital yang beroperasi di Aceh Tamiang digambarkan sebagai kritikal.

Peralatan perubatan dipenuhi lumpur, jarum suntikan bersepah di lantai, manakala bekalan ubat dihanyutkan banjir.

Cik Ayu Wahyuni Putri, yang baru melahirkan anak beberapa hari sebelum banjir, berkata petugas perubatan bekerja tanpa henti.

“Mereka tidak tahu apa itu erti penat,” katanya kepada Reuters.

Namun, kekuatan tenaga manusia sahaja tidak mencukupi.

Jururawat berusia 42 tahun, Cik Nurhayati, berkata hospital hampir lumpuh sepenuhnya akibat kekurangan ubat.

“Sebagai jururawat, apabila saya tak mampu lakukan apa-apa, ia amat menekan. Saya hanya boleh beri ubat yang ada sahaja,” katanya sambil berharap hospital dapat kembali beroperasi.

Petugas turut cuba menyelamatkan ventilator di unit jagaan rapi bayi, namun gagal apabila air naik dengan pantas.

Seorang bayi meninggal dunia, manakala enam lagi berjaya diselamatkan.

Dr Chik M Iqbal berkata beliau terpaksa menaiki bot untuk memasuki Aceh Tamiang.

“Unit kecemasan hanya dapat beroperasi semula pada Isnin (8 Disember),” katanya.

Di Hospital Sultan Abdul Aziz Syah di Peureulak, peralatan bernilai jutaan rupiah rosak selepas ditenggelami air.

“Kami perlu tunggu juruteknik untuk periksa satu persatu kerana banyak peralatan penting tidak boleh digunakan,” kata Bupati (Ketua Daerah) Aceh Timur, Encik Iskandar Usman Al-Farlaky.

Hospital Aceh Tamiang pula melaporkan 10 pesakit maut selepas banjir menenggelamkan beberapa bahagian hospital.

Presiden Prabowo Subianto, yang melawat Aceh pada 7 Disember mengarahkan pembinaan jambatan sementara, termasuk jambatan ‘Bailey Bridge’ sepanjang 30 meter di Bireuen yang dijangka siap dalam seminggu.

“Dari sini, kami akan buka tiga lagi jambatan menuju Bener Meriah dan Takengon,” katanya.

Pemerintah tempatan di Sumatera pula menggesa Jakarta mengisytiharkan darurat nasional bagi membolehkan lebih banyak dana penyelamatan disalurkan.

Namun, Encik Prabowo sebelum ini berkata keadaan bertambah baik dan langkah semasa memadai.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Aceh paling terjejas dengan 366 korban, selain 312 jambatan, lebih 138,000 rumah dan 126 pusat kesihatan rosak.

Ribuan penduduk di Bener Meriah dan Aceh Tengah masih terputus hubungan kerana jalan utama rosak teruk.

BNPB melaporkan bahawa 232 kampung di Bener Meriah dan 295 kampung di Aceh Tengah terlalu terasing untuk menerima bantuan.

“Dua wilayah ini sangat terasing, dan bencana memberi kesan besar kepada ratusan kampung,” kata Ketua BNPB Leftenan Jeneral Suharyanto.

Pegawai komunikasi Bener Meriah, Encik Ilham Abdi, berkata terdapat penduduk terpaksa berjalan kaki merentasi daerah lain untuk mendapatkan makanan dan membawa pulang bekalan.

“Bekalan makanan, bahan api, susu bayi dan selimut semakin berkurangan,” katanya.

Di kawasan terputus hubungan, ada di kalangan penduduk yang terpaksa bertahan hidup dengan cara berbahaya.

Pelajar pesantren, Dimas Firmansyah, 14 tahun, berkata mereka tinggal seminggu di sekolah tanpa bantuan.

“Kami bergilir mencari makanan, dan terpaksa minum air banjir yang kami rebus,” katanya sambil merayu pemerintah turun padang melihat keadaan sebenar.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi bantuan antarabangsa telah digerakkan untuk menyalurkan bantuan kecemasan, termasuk bekalan makanan, ubat-ubatan dan khemah.

Namun, skala kemusnahan yang meluas menjadikan operasi bantuan mencabar.

Pihak berkuasa tempatan menyeru sokongan segera daripada pemerintah pusat dan masyarakat antarabangsa bagi mempercepatkan pemulihan dan mengelakkan krisis kesihatan yang lebih buruk.

Kumpulan alam sekitar mendakwa banjir lebih teruk kerana penebangan hutan untuk projek perlombongan dan pembalakan.

Pemerintah Indonesia kini menyiasat beberapa syarikat yang disyaki membersihkan hutan di kawasan terjejas.

Kementerian Alam Sekitar menggantung operasi syarikat terlibat, termasuk North Sumatra Hydro Energy yang mengendalikan loji hidro berkuasa 510 MW di Batang Toru, syarikat perlombongan emas Agincourt Resources, serta syarikat perladangan Perkebunan Nusantara III. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg