JAKARTA: Bagi nelayan, Encik Effendi Basyaruddin, banjir dan tanah runtuh yang meragut ratusan nyawa di Aceh pada 25 November, mengingatkan semula trauma paling dahsyat dalam hidupnya – hari ketika ombak setinggi bangunan menerjah bandar asalnya pada 26 Disember 2004.
Hampir 200,000 orang maut di Aceh selepas gempa bumi berukuran sekuat 9.1 menurut skala Richter mencetuskan tsunami Lautan Hindi.
Selepas 21 tahun, kenangan itu kembali menghantui Encik Effendi.
“Saya lihat ombak setinggi 20 meter semasa tsunami,” kata beliau kepada agensi berita, Reuters.
“Tetapi banjir kali ini lebih besar… kampung-kampung berubah menjadi sungai,” katanya.
Bencana disebabkan taufan itu menjejas tiga wilayah di Sumatera, mengorbankan lebih 800 orang di Indonesia dengan lebih 200 daripadanya di Aceh selain meragut ratusan nyawa di Thailand dan Malaysia.
“Kami sangat trauma,” kata Encik Effendi, 64 tahun, yang rumahnya sekali lagi musnah.
Kini beliau tinggal di dalam khemah berhampiran laut yang dianggapnya “kawan dan lawan” dalam masa yang sama.
Di Aceh Tamiang, deretan jentera penggali dan penduduk menguis lumpur tebal di kawasan yang dulunya petempatan.
Bagi Encik Adi Hermawan, 45 tahun, keperluannya jelas.
“Kami perlukan air bersih dan mencari makanan. Petempatan ini musnah seolah-olah dilanda tsunami. Bezanya, mangsa mungkin belum ditemui dan lebih sukar dikesan,” katanya.
Pemimpin tempatan di seluruh Aceh menggesa pemerintah mengisytiharkan darurat nasional bagi membuka akses kepada dana tambahan.
“Saya tidak sanggup… jumlah mangsa terlalu ramai. Rumah rakyat hilang. Tiada perhatian daripada pemerintah pusat,” kata Encik Ismail A Jalil, pemimpin Aceh Utara, sambil menangis dalam video yang tular.
Pemerintah pusat menegaskan bantuan sentiasa disalurkan, dengan bajet 500 bilion rupiah ($38.79 juta) yang disediakan dianggap mencukupi dan boleh ditambah jika perlu.
Presiden Prabowo Subianto pula berkata keadaan semakin pulih dan perisytiharan darurat masih belum perlu.
Namun, kritikan semakin memuncak dan rakyat menuduh pemerintah lambat bertindak, memberi kenyataan tidak sensitif serta membuat lawatan yang dilihat hanya untuk menunjukkan muka.
Banjir dan tanah runtuh melanda Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat selepas Taufan Tropika Senyar – ribut luar biasa yang terbentuk di Selat Melaka membadai pada 25 November.
Ribuan rumah, bangunan, jalan dan jambatan musnah.
Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), setakat 4 Disember, seramai 836 orang disahkan maut dan 518 masih hilang,
Aceh mencatat kematian tertinggi berjumlah 325 orang.
Seminggu selepas ribut melanda, banyak kawasan masih terputus hubungan dan menunggu bantuan.
Di Nagan Raya, hampir 8,500 orang dipindahkan sementara daerah Beutong Ateuh Banggalang kekal terputus hubungan selepas banjir kilat memusnahkan jalan dan jambatan.
“Kapasiti kami sudah tidak mencukupi dari segi bajet dan peralatan,” kata Bupati (Ketua Daerah) Nagan Raya, Teuku Raja Keumangan.
“Rakyat kami menderita dan ramai masih terasing. Kita perlu bertindak segera untuk mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban,” katanya.
BNPB berkata pihaknya telah menghantar bantuan logistik, namun Aceh masih memerlukan helikopter dan bantuan laut untuk mencapai kawasan terpencil.
Pakar dasar awam, Encik Trubus Rahardiansah, menyifatkan tindak balas pemerintah sebagai “lambat, tidak selaras dan tidak bersedia”.
Menurutnya, pemerintah tempatan tidak bersedia menghadapi bencana sebesar itu, manakala pemerintah pusat gagal menyelaras bantuan dengan cepat.
Pakar pengurusan bencana, Profesor Eko Teguh Paripurno, berkata wujud jurang besar antara harapan rakyat dengan tindakan pemerintah.
“Rakyat seolah-olah berkata, ‘Kami dalam keadaan darurat’, tetapi pemerintah menjawab, ‘Ini belum darurat’,” katanya.
“Ketidakseragaman ini menghalang usaha menyelamat dan bantuan,” katanya.
Kemarahan awam memuncak selepas beberapa kenyataan pegawai didakwa tidak sensitif.
Ketua BNPB, Encik Suharyanto, misalnya, meremehkan situasi dengan berkata keadaan “kelihatan teruk di media sosial, tetapi tidak seteruk itu di lapangan”.
Beliau kemudian meminta maaf.
Percanggahan kenyataan antara agensi pemerintah turut mencetuskan kekeliruan.
Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) mendakwa semua kawasan boleh diakses, tetapi tentera wilayah menyatakan 20 hingga 30 kawasan masih terasing.
Sebuah video tular menunjukkan mangsa banjir di Sumatera Utara bergelut mengutip beras yang gugur dari helikopter selepas beg bantuan pecah sekali gus mencetuskan kemarahan ramai.
Menteri Koordinator Urusan Makanan, Encik Zulkifli Hasan, turut dikecam selepas memuat naik video dirinya memikul beras dan menyodok lumpur – dianggap sebagai “gimik politik”.
Netizen mengaitkan bencana terkini dengan dasar lamanya yang didakwa melemahkan perlindungan hutan.
Dr Trubus berkata: “Sesetengah pegawai lebih fokus pada imej politik berbanding membantu mangsa. Ini menjejaskan kepercayaan rakyat.”
Pemerintah Indonesia sedang menyiasat sejumlah syarikat yang disyaki melakukan penebangan hutan di kawasan sekitar lokasi banjir di Sumatera, sekali gus mengaku kelemahan pengurusan hutan telah memburukkan lagi bencana alam itu.
Menteri Perhutanan Indonesia, Raja Juli Antoni, dalam ucapan di Parlimen, pada 4 Disember berkata pemerintah akan mengkaji semula aspek tadbir urus hutan, mempertimbangkan moratorium permit baru dan menarik balik lesen syarikat yang melanggar peraturan.
Beliau bagaimanapun tidak menamakan syarikat secara khusus.
Kumpulan aktivis alam sekitar mendakwa penebangan hutan yang dikaitkan dengan kegiatan perlombongan serta pembalakan, telah menyumbang kepada kemusnahan lebih besar.
Dalam konteks itu, mereka merujuk kepada imej timbunan kayu balak hanyut yang mencetuskan kemarahan orang ramai. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg