Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AI bernama ‘Sari’ dilancar, lindung pekerja wanita di luar Indonesia

Ganti manusia tangani aduan atau pertanyaan dalam talian dengan segera
May 2, 2025 | 5:30 AM
AI, women, Indonesia
Ketua Pengarah Protokol dan Konsular di Kementerian Luar Negeri Indonesia, Encik Andy Rachmianto (kiri), bersama Ketua Program Wanita, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Indonesia, Cik Dwi Yuliawati, telah melancarkan ciri chatbot kecerdasan buatan (AI) mesra wanita bernama, Sari, khusus untuk warga Indonesia yang tinggal atau melancong ke luar negara pada 21 April. - Foto KEMENTERIAN LUAR NEGERI INDONESIA

Kementerian Luar Negeri Indonesia kini menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mempertingkat perlindungan terhadap jutaan pekerja migran wanita, yang sering terdedah kepada risiko keganasan, diskriminasi dan eksploitasi.

Langkah itu sejajar dengan trend sejagat yang semakin meluas dalam penggunaan AI bagi menggantikan interaksi manusia dalam menangani aduan atau pertanyaan dalam talian.

“Kami ingin memaksimumkan penggunaan teknologi dan AI bagi menjadikan perkhidmatan melindungi warga di luar negara lebih cekap, mudah diakses dan bermutu.

“Dalam era sekarang, perkhidmatan berasaskan digital bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan,” kata Ketua Pengarah Protokol dan Konsular, Encik Andy Rachmianto, semasa pelancaran rasmi di Jakarta pada 21 April.

Kementerian itu, dengan kerjasama Wanita Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), telah melancarkan ciri chatbot AI yang mesra wanita bernama ‘Sari’, singkatan kepada ‘Sahabat Artifisial Migran Indonesia’.

Ciri itu diperkenalkan dalam aplikasi Safe Travel, aplikasi yang direka khas untuk rakyat Indonesia yang tinggal atau melancong ke luar negara.

Pelancaran daya usaha itu diadakan bertepatan dengan sambutan Hari Kartini, yang diperingati pada setiap 21 April sebagai penghargaan kepada tokoh pemerkasaan wanita Indonesia, Raden Ajeng Kartini.

Kartini, yang berasal daripada golongan bangsawan Jawa dan merupakan anak kepada Bupati (Ketua Daerah) Jepara di Jawa Tengah, dikenang sebagai pelopor gerakan pembebasan wanita semasa era penjajahan Belanda.

Menurut Encik Andy, pemilihan tarikh pelancaran itu adalah simbolik, sejajar dengan semangat perjuangan tokoh Kartini dalam mengangkat martabat wanita.

“Sebahagian besar rakyat Indonesia yang menghadapi masalah ketika berada di luar negara ialah wanita, terutamanya yang bekerja sebagai pembantu rumah,” jelas Encik Andy.

Beliau memetik data kementerian yang menunjukkan lebih 60,000 kes dikemukakan kepada Direktorat Perlindungan Warga Negara dan Pekerja Indonesia di Luar Negeri sepanjang 2024.

“Kami memilih nama ‘Sari’ kerana ia juga merupakan nama yang sangat lazim digunakan wanita Indonesia.

“Ini memberikan rasa kebiasaan dan keakraban kepada pengguna,” kata Encik Andy menjelaskan rasional di sebalik penamaan perkhidmatan tersebut.

AI yang digunakan dalam perkhidmatan itu direka untuk memberikan tindak balas empati, tanpa prejudis dan segera, susulan pertanyaan pengguna.

Selain itu, sistem itu turut disesuaikan untuk menyokong penggunaan bahasa etnik tempatan atau bahasa negara, demi memastikan keselesaan maksimum bagi para pengguna.

Menurut Encik Andy, terdapat banyak kes pembantu rumah Indonesia di luar negara, terutama di Timur Tengah, menjadi lebih fasih bertutur dalam bahasa tempatan berbanding bahasa Indonesia.

Ini berlaku kerana mereka telah lama tinggal di rumah majikan, terpisah daripada masyarakat sebangsa dan jarang berpeluang berinteraksi dengan rakyat Indonesia lain.

Suruhanjaya Nasional Anti-Kekerasan terhadap Wanita (Komnas Wanita), yang turut mengumpul data kes keganasan terhadap pekerja migran wanita, dalam laporan tahunannya menyebut ramai mangsa enggan melaporkan kejadian yang mereka alami.

Ini kerana mereka berdepan stigma serta halangan untuk mendapatkan bantuan dan akses kepada perkhidmatan sokongan.

Menurut laporan itu, stigma sosial, kekangan bahasa serta ketakutan terhadap tindakan yang diambil daripada majikan atau pihak berkuasa tempatan menjadi antara faktor utama yang menyekat pekerja migran wanita daripada tampil.

Mengulas mengenai pelancaran chatbot Sari, Ketua Program Wanita PBB, Cik Dwi Yuliawati, menyatakan pembangunan sistem AI itu dilakukan secara bertanggungjawab, dengan penekanan kepada etika dan pengurangan bias, termasuk bias jantina.

“AI ini dibangunkan secara beretika, dilatih dengan pendekatan yang menekankan mitigasi bias dan berpotensi besar menjadi penyelesaian inovatif dalam mencegah serta menangani keganasan terhadap wanita,” kata Cik Dwi dalam satu kenyataan rasmi.

Menurut Menteri Perlindungan Pekerja Migran Indonesia, Encik Abdul Kadir Karding, terdapat sekitar 5.2 juta warga Indonesia yang bekerja di luar negara melalui saluran sah.

Selain itu, berdasarkan data Bank Dunia 2017, terdapat lebih empat juta lagi pekerja Indonesia yang memperoleh pekerjaan melalui saluran tidak sah atau tidak mengikut prosedur.

Encik Abdul Kadir menjelaskan sebahagian besar daripada pekerja yang menghadapi masalah berkaitan pekerjaan – sekitar 90 peratus – dalah mereka yang bekerja melalui saluran tidak sah itu.

Majoriti mereka, iaitu sekitar 80 peratus, bekerja sebagai pembantu rumah dan 70 peratus daripada golongan itu adalah wanita yang berasal daripada latar belakang berpendidikan rendah.

Namun begitu, Timbalan Menteri, Cik Christina Aryani, yang turut hadir semasa pelancaran chatbot AI Sari, menegaskan bahawa pemerintah tidak mendiskriminasi mana-mana pekerja migran, tanpa mengira bagaimana mereka memperoleh pekerjaan di luar negara.

“Semua pekerja migran Indonesia dilindungi secara sama rata, termasuk mereka yang berangkat melalui saluran tidak sah,” kata Cik Christina.

Namun begitu, pejuang hak digital, Cik Nenden Sekar Arum, memberi amaran keselamatan data peribadi pekerja migran, yang sememangnya berada dalam kelompok rentan, perlu diberi keutamaan.

“Kita tidak mahu keselamatan mereka terancam akibat kemungkinan kebocoran data peribadi, memandangkan mereka perlu memberikan maklumat diri semasa mendaftar untuk menggunakan perkhidmatan dan aplikasi ini,” katanya.

Pihak berkuasa turut mengakui perkhidmatan AI itu tidak akan menggantikan peranan manusia secara keseluruhan.

Sebaliknya, ia berfungsi sebagai alat sokongan tambahan bagi mempercepat akses kepada maklumat dan bantuan awal, sebelum kes dirujuk kepada pegawai konsular atau pihak berwajib untuk tindakan lanjut.

“Memandangkan kerumitan isu yang dihadapi pekerja migran, kami masih mengekalkan kaedah konvensional dengan pegawai bertugas bagi menangani kes kecemasan,” tambah Encik Andy.

Jumlah pekerja migran yang dihantar ke luar negara terus meningkat saban tahun sejak sekatan perjalanan akibat pandemik Covid-19 dilonggarkan beberapa tahun lalu.

Pada 2024 sahaja, pemerintah Indonesia menghantar hampir 297,000 pekerja migran, termasuk 200,580 wanita.

Daripada jumlah itu, kira-kira 100,000 bekerja sebagai pembantu rumah, manakala sekitar 52,000 lagi bertugas sebagai penjaga warga emas atau pesakit.

Untuk 2025, pemerintah menyasarkan untuk menghantar sehingga 400,000 pekerja migran dan angka itu dijangka meningkat pada 2026.

Para pekerja itu akan dihantar ke 10 negara destinasi, termasuk enam negara utama iaitu Malaysia, Hong Kong, Taiwan, Singapura, Jepun dan Korea Selatan.

Namun begitu, pendekatan penghantaran besar-besaran itu turut menerima kritikan daripada pelbagai pihak.

Pengkritik mendakwa lonjakan penghantaran pekerja migran ke luar negara mencerminkan kegagalan pemerintah menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi dalam negara.

Mereka turut berhujah bahawa pemerintah kini bergantung kepada kiriman wang dari luar negara sebagai sumber pendapatan tukaran asing.

Menurut anggaran, jumlah kiriman wang daripada pekerja migran Indonesia boleh mencecah lebih 200 trilion rupiah ($15.5 bilion), menjadikannya antara sumber penting kepada ekonomi negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg