SUMATERA: Ketika angin puting beliung jarang berlaku berhampiran garisan khatulistiwa, Ribut Tropika Senyar, yang terbentuk di utara Selat Melaka pada penghujung November menjadikan Sumatera terutama di bahagian utara – kawasan paling teruk terjejas.
Fenomena atmosfera luar biasa itu akhirnya berkembang menjadi bencana kemanusiaan berskala besar, mengorbankan lebih 900 nyawa dan menjejas lebih 3.2 juta penduduk.
Namun, seperti ditegaskan sejumlah pakar, hujan lebat hanyalah sebahagian daripada gambaran sebenar.
Bencana itu memperlihatkan realiti lebih mendalam iaitu krisis iklim; pemusnahan hutan secara berdekad; tanah yang tidak lagi mampu menyerap air; serta kelemahan institusi yang membiarkan risiko itu terus membesar.
Menurut mantan Ketua Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG), Cik Dwikorita Karnawati, pembentukan ribut tropika berhampiran khatulistiwa adalah satu anomali dan jarang berlaku.
Namun, peningkatan suhu atmosfera akibat perubahan iklim kini menjadikan pembentukan ribut seperti itu semakin berpotensi berlaku.
“Taufan ini bermula dengan sistem tekanan rendah pada 26 November, dan pemanasan atmosfera menjadikan hujan lebih intensif,” kata beliau.
Analisis ahli meteorologi Institut Pertanian Bogor (IPB), Encik Sonni Setiawan, turut menyokong kenyataan itu.
Menurutnya, interaksi Senyar diperkukuh oleh beberapa sistem atmosfera yang berlaku serentak – termasuk gelombang Rossby Khatulistiwa yang menguatkan aliran angin; fenomena Madden-Julian Oscillation (MJO) dalam fasa 6 yang meningkatkan penghasilan awan hujan, Lautan Hindi Dwikutub (IOD) yang mempengaruhi suhu permukaan laut; serta La Nina yang membawa kelembapan tinggi.
Kesemua faktor itu, yang turut dipengaruhi oleh variasi kegiatan tompok matahari, menghasilkan keadaan atmosfera yang sangat tidak stabil.
“Tahun ini (2025) luar biasa kerana siklon berlaku sangat dekat dengan khatulistiwa, bahkan di bawah 5 darjah latitud,” jelasnya.
Gabungan faktor atmosfera inilah yang mencetuskan pembentukan awan kumulonimbus berskala besar dan hujan ekstrem berpanjangan yang memukul Sumatera selama lebih 24 jam.
Namun, seperti ditekankan ramai penyelidik, cuaca hanyalah pencetus awal – bukan punca utama kerosakan dahsyat yang berlaku.
Ribut sememangnya membawa hujan lebat, namun apabila curahan ekstrem itu mengenai tanah yang telah terhakis, rapuh dan hilang penutup hutan, akhirnya menjadikan bencana hampir mustahil untuk dielakkan.
Relawan penyelamat, Encik Sarma Hutajulu, berkata: ‘Kiri dan kanan sepanjang jalan, timbunan kayu berselerakan. Itulah yang menghentam rumah-rumah penduduk.’”
Sejak dua dekad lalu, Sumatera kehilangan sebahagian besar hutan asalnya kepada ladang sawit, tapak perlombongan dan industri ladang kayu.
Apabila hutan ditebang, fungsi hidrologi semula jadi musnah. Akar pokok yang mengikat tanah hilang, sampah daun yang melindungi tanah lenyap, dan tanah menjadi padat serta tidak lagi organik.
Hutan bukan sekadar kumpulan pokok; ia adalah satu sistem air semula jadi yang bekerja secara halus untuk menstabilkan landskap.
Apabila hutan musnah, air hujan tidak lagi meresap ke dalam tanah seperti sebelumnya.
Sebaliknya, aliran permukaan meningkat secara mendadak, tebing sungai menjadi semakin tidak stabil, dan tanah yang terhakis mengalir masuk ke sungai, menjadikan seluruh ekosistem hilang keupayaannya untuk menyerap kejutan cuaca ekstrem.
Kajian citra satelit terkini menunjukkan 1,550 hektar hutan di kawasan tadahan Batang Toru telah terhakis menjadikannya kawasan mudah runtuh.
Ekoran itu, masyarakat di bahagian hilir kehilangan pelindung semula jadi ketika hujan ekstrem berlaku.
Di Padang, hujan meningkat daripada 37 milimeter (mm) pada 19 November kepada 145 mm pada 27 November, dengan jumlah kumulatif 770 mm – beban yang mustahil ditanggung tanah yang telah hilang struktur porinya.
Dua sungai utama, Batang Kuranji dan Batang Aie Dingin, terus mengalir keruh empat hari selepas banjir, tanda jelas hakisan besar-besaran.
Data Greenpeace yang berpandukan maklumat Kementerian Kehutanan menunjukkan sebahagian besar kawasan tadahan sungai di Sumatera kini mempunyai litupan hutan kurang 25 peratus.
Hutan semula jadi yang masih tinggal hanya sekitar 10 hingga 14 juta hektar, mewakili kurang 30 peratus daripada 47 juta hektar kawasan Sumatera.
Di kawasan tadahan Batang Toru, lebih 70,000 hektar hutan hilang akibat penebangan hutan antara 1990 dengan 2022.
Dalam tempoh yang sama, sekitar 94,000 hektar lagi telah diberi kelulusan kepada industri perlombongan, perhutanan dan kelapa sawit, sekali gus memberi tekanan pada saki-baki hutan asli.
Kini, hampir 56 peratus kawasan tadahan itu diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi, dengan potensi hakisan tahunan melebihi 180 tan tanah bagi setiap hektar
Penyelidik Kanan Greenpeace, Encik Sapta Ananda Proklamasi, berkata:
“Kerosakan ini bukan baru. Ia hasil pengurusan tanah dan hutan yang salah selama berdekad, dan akhirnya kini rakyat membayar harganya.”
Encik Arie Rompas dari Greenpeace turut memberi amaran keras dengan menambah:
“Banjir besar ini adalah amaran terakhir kepada pemerintahan (Presiden) Prabowo (Subianto). Krisis iklim berpadu dengan kemusnahan hutan mencipta bencana yang tidak dapat dielakkan.”
BMKG menyatakan mereka telah mengeluarkan notis pemberitahuan awal sebelum taufan membadai.
Ketua BMKG, Teuku Faisal Fathani, menegaskan: “Kami menghantar kenyataan media mengenai potensi bencana di Aceh dan Sumatera Barat empat hari lebih awal.”
Namun, bagi ahli akademik Universiti Indonesia, Dr Mahawan Karuniasa, maklumat itu tidak berkesan sebagai amaran awal yang jelas.
“BMKG memang membuat hantaran tentang potensi bencana, tetapi ia tidak dibingkai sebagai amaran banjir berskala besar. Inilah punca kesiap siagaan rendah.”
Beliau menambah bahawa tumpuan Indonesia masih cenderung kepada bencana gunung berapi dan tsunami, bukan bencana hidrometeorologi yang kini kian kerap.
Malah di Jakarta, maklumat banjir lebih banyak disebarkan oleh orang awam berbanding pemerintah.
“Apabila bencana berlaku, ramai tidak tahu apakah yang perlu dibuat,” katanya.
Bencana itu memenuhi hampir semua kriteria bencana nasional, tetapi Encik Prabowo enggan mengisytiharkannya, dengan alasan keadaan masih terkawal.
Keputusan itu menyebabkan dana kecemasan tidak dapat digerakkan segera, bajet kementerian tidak boleh dialihkan dengan cepat, dan bantuan antarabangsa tidak dapat disalurkan secara rasmi.
Apa yang berlaku, menurut penganalisis, ialah pola lama iaitu apabila pemerintah bertindak selepas bencana, bukan sebelum.
Encik Prabowo mengarahkan pemulihan jalan, pembaikan elektrik dan air, penghantaran tentera serta peningkatan kesiapsiagaan iklim.
Helikopter dihantar, kapal tentera digerakkan, dan media memaparkan tindakan segera beliau.
Namun, semua itu tidak menangani punca mendalam yang menjadikan banjir begitu dahsyat.
Di sebalik operasi bantuan yang giat dijalankan, masalah struktur kekal tidak disentuh oleh pemerintah.
Tiada audit menyeluruh terhadap permit pembangunan yang dikeluarkan selama ini; tiada semakan semula rancangan guna tanah di kawasan berisiko; dan tiada penguatkuasaan tegas terhadap projek yang dibina di dataran banjir.
Lebih membimbangkan, masih belum ada moratorium menyeluruh terhadap pembukaan hutan faktor utama yang menjadikan banjir besar semakin kerap dan semakin ganas.
Ketua Pasukan Kempen Hutan di Greenpeace Indonesia, Encik Arie Rompas, berkata:
“Pemerintah selalu menyalahkan pembalakan haram, tetapi pembukaan hutan secara besar-besaran untuk industri diluluskan oleh negara sendiri.”
Apa yang berlaku di Sumatera bukan kejadian terpencil.
Ia adalah gambaran masa depan Indonesia jika masalah struktur tidak ditangani.
Iklim berubah semakin ekstrem, manakala hutan yang menjadi benteng semula jadi musnah sedikit demi sedikit.
Cuaca ekstrem akan terus menerpa, tetapi tahap kehancuran ditentukan oleh keadaan tanah dan hutan.
Jika pembaikan ekologi tidak menjadi tunjang dasar, bencana seterusnya bukan sahaja lebih besar, bahkan juga lebih membawa maut.
Seperti diingatkan oleh Encik Iqbal Damanik, dari Greenpeace: “Krisis iklim bukan angka dalam laporan. Ia ancaman terhadap nyawa.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg