Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banjir di Sumatera: Pemerintah Indonesia dikecam tolak bantuan luar

Dec 20, 2025 | 2:44 PM
sumatera, banjir, bencara, tolak bantuan, indonesia
Pemimpin wilayah di kawasan paling terjejas banjir terpaksa menolak bantuan dari luar negara. - AFP

MEDAN: Rasa kecewa dan kritikan yang dilemparkan semakin memuncak terhadap pemerintah pusat Indonesia kerana enggan membuat pengisytiharan darurat susulan banjir dahsyat di Sumatera serta langkah pemerintah menyekat kemasukan bantuan antarabangsa ke negara itu.

Ketika usaha pemulihan terus melebihi kemampuan pihak pentadbiran tempatan, pemimpin wilayah di kawasan paling terjejas berada dalam situasi sukar. 

Mereka terpaksa menolak bantuan dari luar negara sementara bantuan kemanusiaan masih terhad bagi lebih satu juta penduduk yang terkesan akibat banjir.

Pada 18 Disember, pihak pentadbiran bandar Medan di Sumatera Utara memulangkan 30 tan beras dan 300 pek barangan keperluan asas, produk bayi, serta perkakas solat dari Amiriah Arab Bersatu (UAE), susulan arahan daripada pemerintah pusat.

Bantuan itu telah diserahkan kepada Mayor Medan, Encik Rico Tri Putra Bayu Waas, pada 13 Disember, oleh Timbalan Ketua Misi Kedutaan UAE di Indonesia, Cik Shaima Alhebsi.

Mayor tersebut berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan Kementerian Pertahanan dan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).

“Selepas membuat penyelarasan dengan pemerintah pusat dan menyemak peraturan sedia ada, kami memutuskan untuk memulangkan bantuan itu, kerana pemerintah Indonesia buat masa ini tidak menerima bantuan daripada pemerintah asing,” kata Encik Rico pada 18 Disember.

Keputusan itu segera mencetus kritikan, dengan Pengerusi Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Medan, Encik Wong Chun Sen, menyifatkan langkah itu sebagai “memalukan”.

Beliau turut berkata ia boleh menjejas hubungan dengan UAE serta mencegah sumbangan masa akan datang.

“Bantuan itu tidak sepatutnya dipulangkan. Ia seharusnya diagihkan kepada mangsa banjir.

“Tiada sebab untuk menyekat bantuan asing, terutamanya apabila ramai penduduk masih perlukan bantuan segera,” katanya kepada The Jakarta Post pada 19 Disember.

Penduduk tempatan meluahkan rasa kecewa, dengan kritikan semakin meluas dalam talian. Ramai menyalahkan pemerintah atas tindakan tidak munasabah itu, sementara penduduk terjejas banjir terus bergelut dengan bekalan terhad.

Sebagai ulasan menyusuli kritikan yang memuncak, Menteri Dalam Negeri, Encik Tito Karnavian, pada 19 Disember, berkata pihak pentadbiran Medan telah memutuskan untuk menerima sumbangan itu selepas mendapat maklumat bahawa bantuan tersebut datang daripada Bulan Sabit Merah UAE, bukan kerajaan UAE.

Beliau menambah bahawa pihak pentadbiran Medan telah menyerahkan bantuan itu kepada badan kemanusiaan, Pusat Perubatan Muhammadiyah, yang akan mengagihkannya kepada penduduk terjejas.

Kontroversi berhubung bantuan UAE timbul beberapa hari selepas satu lagi wilayah dilanda banjir, Aceh, menyeru pemerintah supaya membenarkan kemasukan 500 tan bantuan kemanusiaan dari Malaysia.

Masyarakat Aceh di Malaysia, yang menganjurkan sumbangan itu, merancang untuk menghantar bantuan dari Pelabuhan Klang, Selangor ke Krueng Geukueh, Aceh menggunakan kapal kargo persendirian.

Namun, Timbalan Ketua Misi Kedutaan Indonesia di Malaysia, Encik Danang Waskito, berkata permohonan itu tidak dapat diluluskan kerana Indonesia masih belum mengisytiharkan banjir sebagai darurat – satu syarat untuk kemasukan bantuan kemanusiaan asing.

Pemerintah akhirnya membenarkan kemasukan sumbangan itu, tetapi Encik Tito menghadapi kritikan meluas selepas berkata nilai keseluruhan bantuan itu “hanya” sekitar satu bilion rupiah ($77,400) dan “tidak signifikan”.

“Peruntukan pemerintah negeri untuk mitigasi banjir di Sumatera jauh lebih besar daripada jumlah itu, jadi satu bilion rupiah tidak signifikan bagi kami. Kami tidak mahu wujud persepsi bahawa kami bergantung kepada bantuan asing, sedangkan jumlah itu lebih kecil berbanding kemampuan Indonesia,” kata Encik Tito.

Kenyataan itu menimbulkan reaksi negatif daripada kedua-dua rakyat Indonesia dan Malaysia.

Encik Tito telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan tersebut. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg