Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banjir kilat ragut 14 nyawa di Sulawesi Utara

Jan 6, 2026 | 4:13 PM
Batu, lumpur dan serpihan menutupi jalan utama di Pulau Siau, Sulawesi Utara, menyukarkan usaha mencari mangsa yang masih hilang selepas banjir kilat melanda kawasan itu pada 6 Januari
Batu, lumpur dan serpihan menutupi jalan utama di Pulau Siau, Sulawesi Utara, menyukarkan usaha mencari mangsa yang masih hilang selepas banjir kilat melanda kawasan itu pada 6 Januari - Foto Instagram SuluStories

MANADO: Sekurang-kurangnya 14 orang disahkan maut selepas dihanyutkan banjir kilat yang melanda wilayah Sulawesi Utara, Indonesia, dengan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang diteruskan sehingga Selasa, 6 Januari, kata pihak berkuasa tempatan.

Hujan lebat yang turun sejak awal pagi 5 Januari mencetuskan banjir kilat di Pulau Siau, yang terletak dalam wilayah Siau Tagulandang Biaro, menurut jurucakap agensi penyelamat tempatan, Encik Nuriadin Gumeleng.

Beliau berkata arus deras yang membawa lumpur, batu dan serpihan telah melanda kawasan penempatan dalam masa singkat, menyebabkan penduduk tidak sempat menyelamatkan diri.
“Setakat ini, 14 kematian telah disahkan. Kami telah mengerahkan 16 anggota penyelamat untuk mencari empat individu yang masih dilaporkan hilang,” katanya kepada Reuters.

Menurut beliau, sekurang-kurangnya 18 orang turut mengalami kecederaan akibat bencana tersebut.
“Kami masih mengumpul data daripada penduduk setempat sekiranya terdapat mangsa lain yang belum dikenal pasti atau dilaporkan hilang,” tambahnya.

Keadaan di kawasan terjejas kekal mencabar. Encik Gumeleng berkata sehingga 6 Januari, jalan-jalan utama masih dilitupi batu-batu besar, serpihan kayu dan lumpur tebal, sekali gus menyukarkan pergerakan pasukan penyelamat dan penghantaran bantuan.

Bencana itu turut memaksa ratusan penduduk meninggalkan kediaman mereka. Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BNPB), Encik Abdul Muhari, berkata sekurang-kurangnya 444 orang telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, termasuk sekolah dan gereja di kawasan berhampiran.

“Pihak berkuasa telah mengerahkan jentera berat, termasuk jengkaut, untuk membersihkan jalan yang terhalang dan memastikan akses bantuan dapat disalurkan secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain korban nyawa dan kecederaan, kerosakan fizikal akibat banjir kilat itu turut dilaporkan meluas. Gabenor Sulawesi Utara, Encik Yulius Selvanus, berkata ratusan rumah penduduk serta beberapa bangunan kerajaan mengalami kerosakan teruk atau musnah sepenuhnya akibat dihanyutkan arus deras.

Banjir kilat di Sulawesi Utara ini berlaku ketika pulau tersebut berada dalam tempoh puncak musim hujan, seperti yang diramalkan oleh agensi meteorologi Indonesia. Menurut agensi itu, wilayah seperti Jawa, Sulawesi, Maluku dan Papua dijangka mengalami puncak musim hujan sepanjang Januari dan Februari, sekali gus meningkatkan risiko banjir dan tanah runtuh.

“Keadaan cuaca ekstrem dijangka berterusan dalam beberapa minggu akan datang, dan orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan cerun, sungai dan tanah rendah,” menurut kenyataan agensi cuaca itu sebelum ini.

Sebaliknya, beberapa wilayah lain seperti Sumatera dan Borneo telah melalui tempoh puncak hujan lebih awal, iaitu pada November dan Disember 2025. Namun, kesan cuaca ekstrem di negara itu masih dirasai secara meluas.

Pada November lalu, banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh ribut taufan di Sumatera telah mengorbankan lebih 1,000 orang, dengan ratusan lagi dilaporkan hilang. Kumpulan alam sekitar sebelum ini memberi amaran bahawa penebangan hutan akibat aktiviti perlombongan dan pembalakan telah memburukkan kesan bencana alam, termasuk meningkatkan risiko banjir kilat.

Ketika operasi menyelamat diteruskan di Sulawesi Utara, pihak berkuasa menegaskan keutamaan kini adalah mencari mangsa yang masih hilang serta memastikan keselamatan penduduk yang terjejas, di tengah-tengah kebimbangan bahawa hujan lebat boleh berulang dalam tempoh terdekat. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg