Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bantuan banjir ditingkat, angka korban di Sumatera lepasi 800 orang

Tragedi di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat antara yang paling dahsyat dalam sejarah moden Indonesia
Dec 4, 2025 | 3:17 PM
banjir, Sulawesi, diselamatkan
Rumah-rumah yang rosak akibat banjir kelihatan di Kampung Kuala Simpang di Aceh Tamiang, Sumatera Utara pada 2 Disember 2025. Pegawai di Indonesia bertungkus-lumus pada 3 Disember untuk menyelamatkan mangsa yang terselamat di kawasan terpencil yang terputus hubungan selepas bencana banjir besar melanda, ketika angka korban di empat negara melebihi 800 orang. - Foto AFP

SUMATERA: Usaha menyelamat terus digerakkan dalam keadaan amat mencabar di kawasan terpencil yang terputus sepenuhnya daripada dunia luar pada 4 Disember, ketika angka korban bencana banjir besar dan tanah runtuh di Sumatera melonjak melepasi 811 orang, dengan 623 lagi masih hilang, menurut data rasmi terbaru Agensi Pengurusan Bencana Negara Indonesia (BNPB).

Bencana itu menjejas lebih 3.1 juta penduduk di seluruh Indonesia membabitkan 592,600 terpaksa dipindahkan dan kehilangan tempat tinggal, sekali gus menjadikan tragedi di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat ini antara yang paling dahsyat dalam sejarah moden Indonesia.

Di banyak wilayah terjejas, rasa kecewa semakin memuncak dalam kalangan mangsa yang masih menunggu bantuan asas dan operasi menyelamat yang lebih pantas.

Pertubuhan kemanusiaan pula menyifatkan skala cabaran kali ini sebagai “hampir tidak pernah berlaku”, meskipun Indonesia sering berdepan pelbagai bencana alam.

Kompas pula melaporkan tragedi itu turut menyaksikan Tentera Nasional Indonesia (TNI) mengagihkan bantuan logistik kepada penduduk yang masih terpencil khususnya di Kualasimpang, Aceh Tamiang. Pengagihan bantuan dilaksanakan bagi membantu mangsa di kawasan yang terputus hubungan, lapor Xinhua.

Presiden Prabowo Subianto telah meluluskan penambahan Dana Siap Pakai (DSP) dalam Belanjawan Negara untuk menangani bencana banjir kilat dan tanah runtuh di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat itu.

Jurucakap Presiden Prabowo Subianto, Encik Prasetyo Hadi, berkata peruntukan bantuan bencana sebanyak 500 bilion rupiah ($39 juta) masih mencukupi dan boleh ditambah jika perlu.

Encik Hadi yang juga Menteri Sekretariat Negara menyatakan semua kementerian, termasuk tentera dan polis, telah diarahkan untuk bertindak sepenuhnya mengikut keperluan bencana.

Beliau menegaskan bahawa operasi darurat kini berjalan “pada kapasiti maksimum” dengan sokongan penuh kerajaan pusat.

“Keutamaan sekarang ialah memastikan operasi kecemasan dapat dijalankan dengan cepat dan berkesan di lapangan. Semua sumber negara sedang digerakkan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan mendapatkan bantuan antarabangsa, Encik Hadi berkata: “Buat masa ini, tidak. Kita tidak membuka pilihan itu, tetapi kita menghargai keprihatinan negara-negara sahabat.”

Disebabkan sebahagian besar akses darat masih terputus akibat air bertakung yang tinggi, Tentera Nasional Indonesia (TNI) menggunakan kaedah jatuh udara dengan payung terjun untuk menyalurkan bekalan.

Ketua Pusat Penerangan Markas Besar TNI, Mejar Jeneral (Marin) Freddy Ardianzah berkata, logistik meliputi dua pesawat angkut TNI Angkatan Udara iaitu CN-295 A-2904 dan C-130J Super Hercules.

“Pesawat C-130J Super Hercules 1340 turut memperkukuh operasi kemanusiaan dengan menggugurkan 20 pek pakej bantuan LCA seberat 2.5 tan,” katanya dalam siaran media.

Hujan lebat pada akhir November lalu, mencetuskan banjir dan tanah runtuh di ketiga-tiga wilayah itu, memusnahkan rumah, memutuskan laluan utama dan memindahkan ratusan ribu penduduk.

Pemerintah tempatan mengisytiharkan status tindak balas kecemasan, berkuat kuasa dari 28 November hingga 11 Disember di Aceh; 27 November hingga 10 Disember di Sumatera Utara dan 25 November hingga 8 Disember di Sumatera Barat.

Sementara itu, seramai 463 individu masih dilaporkan hilang di tiga wilayah paling terjejas, iaitu Sumatera Barat, Sumatera Utara dan Aceh.

Pemimpin tempatan terpaksa merayu campur tangan segera kerajaan pusat susulan kekurangan dana, makanan dan bekalan bahan api yang semakin meruncing.

Difahamkan, gangguan bekalan elektrik dan jalan raya yang terputus turut menyukarkan penghantaran bantuan ke kawasan terjejas.

Di Aceh Timur, bekalan bahan api yang terhad selama beberapa hari memaksa bantuan dihantar melalui laluan air. Ketua wilayah, Iskandar Usman Al-Farlaky, berkata seramai 135,000 penduduk di kawasan terpencil kini berdepan ancaman kebuluran.

Sementara itu, Aceh Tengah mencatatkan 21 kematian akibat banjir dengan 54,000 mangsa terjejas dan bekalan beras serta bahan api semakin berkurangan.

Kelewatan tindak balas pemerintah dalam memberi bantuan mencetuskan kemarahan awam sehingga tiga lagi pemimpin wilayah mendesak pengisytiharan darurat nasional.

Seorang penduduk Banda Aceh, Encik Muhammad Abdikaramllah, berkata paras air di kampung isterinya di Langsa meningkat sehingga 3.9 meter. Di pusat pemindahan di Padan, seorang mangsa, Reinaro Waruwu, 52 tahun, meluahkan rasa kecewa kerana kekurangan makanan.

Beberapa badan bukan pemerintah (NGO) alam sekitar pula menyalahkan aktiviti pembalakan haram sebagai faktor yang memburukkan impak bencana kali ini.

Di Tapanuli, sukarelawan Encik Sarma Hutajulu menggambarkan keadaan ngeri selepas banjir membawa gelombang kayu balak.

“Ke mana sahaja kita memandang… terdapat timbunan kayu balak di merata-rata,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg