Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banjir Sumatera: Desakan terima bantuan asing meningkat; kos pulih cecah 51.82 trilion rupiah

Dec 9, 2025 | 12:12 PM
Banjir Sumatera, bantuan asing, kos pemulihan cecah 51.82 trilion rupiah
Gambar udara menunjukkan bahagian jambatan yang runtuh di Sungai Peusangan di Kuta Blang, daerah Bireuen, Aceh, Indonesia, pada 9 Disember 2025, susulan banjir kilat yang mengorbankan ratusan orang. - Foto AFP

JAKARTA/MEDAN: Semakin banyak pihak mendesak pemerintah Indonesia agar membuka pintu kepada bantuan antarabangsa tatkala angka korban bencana banjir di Sumatera mencecah hampir 1,000 nyawa dengan berjuta-juta penduduk masih bergelut mendapatkan bantuan asas.

Dua minggu selepas banjir besar dan tanah runtuh melanda Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat, kemampuan pemerintah menguruskan krisis tanpa bantuan luar semakin dipersoalkan.

Setakat malam 8 Disember, jumlah korban di tiga wilayah tersebut telah meningkat kepada 961 orang, dengan 289 masih hilang dan sekitar 5,000 cedera.

Lebih 157,000 rumah serta 1,200 kemudahan awam rosak di 52 daerah, ujar Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).

Jurucakap BNPB, Encik Abdul Muhari, berkata jumlah mangsa yang dipindahkan terus meningkat apabila lebih ramai penduduk ditemui di lokasi terpencil di Aceh.

“Tanggungjawab kami ialah memastikan keperluan asas makanan dan bukan makanan sampai kepada semua pusat pemindahan, katanya dalam sidang media pada 8 Disember.

Ketua BNPB, Encik Letjen Suharyanto, menyatakan banyak kawasan masih terputus daripada jaringan bantuan kerana jalan raya tidak dapat dilalui.

Di Sumatera Utara dan Sumatera Barat, sekurang-kurangnya tujuh kampung kekal terasing.

“Kami kekurangan trak tangki air bergerak. Bekalan air bersih terganggu dan kami perlukan lebih banyak tangki untuk membantu penduduk,” katanya dalam taklimat bersama Presiden Prabowo Subianto di Banda Aceh.

Aceh menerima lima pakar China daripada sebuah badan bukan pemerintah (NGO) untuk membantu pencarian mayat di beberapa daerah.

Jurucakap pemerintah Aceh, Teuku Kamaruzzaman, berkata: Pemerintah China menawarkan bantuan mencari mangsa hilang. Kami menerima kerana sumber kami sangat terhad.”

Ketika semakin banyak negara menawarkan bantuan termasuk Turkey, Russia dan Amerika Syarikat, pemerintah pusat masih berhati-hati.

Presiden Prabowo menolak cadangan mengisytiharkan darurat nasional, satu langkah yang akan membuka pintu bantuan antarabangsa.

“Ini ujian untuk kita. Syukur, kita kuat dan mampu mengatasinya dengan kekuatan sendiri,” kata Encik Prabowo.

Pakar pengurusan bencana dari Institut Teknologi Bandung (ITB), Encik Saut Sagala, menegaskan kelewatan bantuan menunjukkan kelemahan sistem tindak balas pusat.

“Ini menggambarkan jurang koordinasi yang perlu segera diperbaiki. Wilayah tiada pilihan selain bergantung kepada sukarelawan,” katanya.

Namun penganalisis bencana antarabangsa, Encik Mizan BF Bisri, dari Pusat Pengurangan Bencana Asia (ADRC), mengingatkan bahawa Indonesia pernah menerima bantuan asing ketika gempa bumi bermagnitud 7.5 diikuti tsunami di Palu, Sulawesi, yang mengorbankan lebih 2,200 orang pada 2018 dan ia mempercepat pemulihan.

“Bantuan antarabangsa bukan tanda kelemahan, tetapi tanggungjawab moral untuk menyelamatkan nyawa,” katanya.

Pemerintah kini menganggarkan Sumatera memerlukan 51.82 trilion rupiah ($4 bilion) untuk proses pemulihan dan pembinaan semula.

Jumlah itu dijangka meningkat apabila penilaian kerosakan diselesaikan.

BNPB melaporkan Aceh memerlukan 25.41 trilion rupiah; Sumatera Utara 12.88 trilion rupiah; manakala Sumatera Barat 13.52 trilion rupiah bagi keperluan pemulihan.

Presiden Prabowo berkata anggaran tersebut “selari dengan kiraan awal”, tetapi enggan menjelaskan bila kelulusan dana akan diberikan.

“Kita ada kapasiti dan kita akan melaksanakannya dengan teliti,” katanya.

Beliau turut menekankan keadan di banyak kawasan masih serius:

“Banyak sawah, empangan dan rumah penduduk rosak teruk. Pengagihan ubat serta pakaian mesti dipercepatkan.”

Indonesia jarang mengisytiharkan darurat nasional – hanya tiga kali dalam sejarah moden.

Namun, tekanan politik semakin kuat kerana bencana kali ini memenuhi hampir semua kriteria.

Penyokong mengisytiharkan darurat berhujah ia membolehkan pengagihan dana segera; membuka ruang penyelarasan dengan agensi antarabangsa; serta mempercepat penghantaran bantuan ke daerah terpencil.

Namun, penganalisis lain berpendapat pemerintah bimbang langkah itu akan menjejas keyakinan pelabur atau menunjukkan kelemahan struktur pengurusan bencana di negara itu.

Gabenor Aceh, Encik Muzakir Manaf, memberi amaran keadaan kesihatan awam semakin merosot.

“Kami sangat kekurangan ubat. Penduduk mula mengalami ruam dan pelbagai penyakit. Mereka juga tiada pakaian dan gas untuk memasak,” katanya.

Menteri Kesihatan, Encik Budi Gunadi Sadikin, mengakui Aceh berdepan kekurangan doktor kerana sebahagian besar petugas kesihatan turut menjadi mangsa bencana. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg