Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bill Gates dijangka sokong program makanan berkhasiat Prabowo

May 6, 2025 | 11:08 AM
bill gates, isngpaura, Jakarta
Semasa berucap di Sidang Puncak Kedermawanan Asia 2025 di Singapura pada 5 Mei, hartawan Bill Gates, mengumumkan pertubuhan bukan untuk mengaut keuntungan (NPO) Yayasan Gates akan membuka sebuah pejabat di Singapura. Beliau dijadual berkunjung ke Jakarta pada 7 Mei. - Foto AFP

JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, mengumumkan bahawa pengasas Microsoft, Bill Gates, dijadualkan melawat Indonesia pada 7 Mei.

Lawatan itu bertujuan menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan Program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG) yang menjadi inisiatif utama pentadbiran Encik Prabowo.

“Permintaan untuk lawatan ini telah dibuat sejak November. Salah satu tujuannya adalah untuk menyatakan sokongan dan penghargaan terhadap program makanan berkhasiat yang sedang kita laksanakan,” kata Encik Prabowo semasa Sesi Penuh Kabinet di Istana Presiden, Jakarta Pusat, pada 5 Mei.

Walaupun bentuk bantuan daripada Encik Gates masih belum didedahkan, Encik Prabowo menegaskan bahawa program ini akan tetap diteruskan tanpa mengira ada atau tidaknya sokongan dari luar.

“Sama ada ada bantuan atau tidak, sama ada dipuji atau tidak, program ini adalah pelaburan untuk anak-anak bangsa,” tegas beliau.

Beliau menyatakan bahawa Encik Gates akan menyatakan “sokongan dan penghargaan” terhadap program itu.

Gates kini berada di Singapura bagi mengumumkan pembukaan pejabat Yayasan Gates.

“Jangan puji kami dahulu... kerana saya rasa kita belum berjaya sepenuhnya. Hanya apabila kita berjaya agihkan makanan yang bersih, selamat dan berkhasiat kepada 82.9 juta orang setiap hari, barulah kita layak diraikan,” ujar Encik Prabowo.

“Saya akan beritahu Gates, dengan atau tanpa sokongan beliau, Indonesia tetap akan laksanakan program ini kerana ia perkara yang betul. Ini adalah pelaburan terhadap masa depan anak-anak kita,” tambahnya.

Menurut Encik Prabowo, program MBG belum mencapai sasaran sepenuhnya.

Beliau menyasarkan untuk memberi makanan berkhasiat kepada 82.9 juta penerima menjelang Disember 2025.

“Jika kita berjaya memberikan makanan yang bersih, selamat dan berkhasiat kepada 82.9 juta rakyat kita setiap hari, maka barulah kita layak untuk diberi ucapan tahniah,” ujar beliau.

Timbalan Menteri Kewangan, Encik Suahasil Nazara, turut mengesahkan bahawa pemerintah telah membelanjakan sebanyak 2.3 trilion rupiah ($156 juta) untuk MBG sehingga 29 April lalu, satu lonjakan ketara berbanding akhir Februari.

Encik Prabowo turut mendakwa bahawa program ini mencatat kadar kejayaan 99.99 peratus, dengan hanya sebilangan kecil kanak-kanak mengalami keracunan makanan.

“Daripada lebih 3 juta penerima, sekitar 200 orang mengalami keracunan makanan atau sakit perut. Hanya lima orang dimasukkan ke hospital. Kadar kejayaan kita ialah 99.99 peratus,” kata beliau.

Bagaimanapun, Encik Prabowo menyatakan bahawa antara punca kejadian adalah budaya makan dengan tangan yang mungkin tidak dibersihkan dengan baik.

“Mungkin dulang makan tidak disertakan sudu. Jadi, ibu bapa patut pastikan anak-anak mereka bawa peralatan makan sendiri... atau kita boleh cari sudu yang murah,” katanya.

Pemerintah pada awalnya memperuntukkan 71 trilion rupiah bagi pelaksanaan program tahun 2025 ini, namun telah menaikkan belanjawan kepada 171 trilion rupiah bagi memastikan 82.9 juta individu menerima makanan setiap hari menjelang akhir tahun. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg