Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Yayasan Gates bakal buka pejabat di S’pura

May 5, 2025 | 6:01 PM
Encik Bill Gates, pengasas bersama Yayasan Gates (kiri), semasa sesi persidangan pada 5 Mei bersama Presiden Tharman Shanmugaratnam. Acara Sidang Puncak Kedermawanan Asia itu adalah anjuran Temasek Trust, cabang kedermawanan syarikat pelaburan negara Temasek.
Encik Bill Gates, pengasas bersama Yayasan Gates (kiri), semasa sesi persidangan pada 5 Mei bersama Presiden Tharman Shanmugaratnam. Acara Sidang Puncak Kedermawanan Asia itu adalah anjuran Temasek Trust, cabang kedermawanan syarikat pelaburan negara Temasek. - Foto BT

Yayasan Gates – salah satu pertubuhan kedermawanan swasta terbesar di dunia – akan membuka pejabat di Singapura, kata Encik Bill Gates, jutawan dan pengasas bersama gergasi perisian Microsoft, pada 5 Mei.

“Yayasan Gates membuka pejabat di sini untuk mengakses sains dan bekerjasama dengan masyarakat dermawan... untuk menyertai penyelidikan yang dijalankan di sini,” kata Encik Gates.

Beliau mendedahkan rancangannya itu dalam acara Sidang Puncak Kedermawanan Asia pada 5 Mei anjuran Temasek Trust, cabang kedermawanan syarikat pelaburan negara Temasek, lapor The Business Times (BT).

Sejak diasaskan pada 2000 oleh Encik Gates dan bekas isterinya, Cik Melinda French Gates, Yayasan Gates telah memperuntuk lebih AS$77.6 bilion ($100 bilion) dalam bentuk geran sehingga akhir 2023 bagi menyokong daya usaha dalam bidang kesihatan sejagat, pendidikan, kesaksamaan jantina dan pembasmian kemiskinan.

Pejabat Singapura akan menjadi yang ke-12 di dunia bagi yayasan itu.

Di samping ibu pejabatnya di Seattle di Amerika Syarikat, Yayasan Gates mempunyai satu lagi pejabat di Washington DC.

Sembilan lagi pejabat luar negaranya berada di Britain, India, China, Habsyah, Jerman, Afrika Selatan, Nigeria, Senegal dan Kenya.

BT telah meminta lebih banyak maklumat daripada Yayasan Gates mengenai pejabat baru yang akan dibuka di Singapura.

Menurut Encik Gates, yang berucap di panel bersama Presiden Tharman Shanmugaratnam semasa sidang itu, beliau berada selama dua hari di sini untuk bertemu beberapa pemimpin negara ini.

Di samping itu, beliau turut menemui pelopor teknologi iklim yang menyertai program di bawah badan yang memberi tumpuan khusus kepada iklim yang turut diasaskannya, Breakthrough Energy.

Beliau berkata terdapat peningkatan dalam kalangan individu bernilai tinggi serta pejabat urus aset untuk keluarga hartawan di Singapura dan rantau Asia yang lebih luas yang berminat dalam kedermawanan.

“Saya rasa orang ramai sangat mementingkan keluarga dan oleh itu, mempunyai sesuatu walaupun melebihi apa jua perniagaan keluarga, mempunyai kedermawanan keluarga, membuat anggota keluarga bekerja rapat dan berbangga dengan apa yang mereka mampu capai.

“Dan saya fikir kita melihat peningkatan yang besar dalam hal itu. Jadi kami teruja untuk berada di sini dan belajar bersama,” tambah Encik Gates.

Sementara itu, Encik Tharman berkata kedermawanan juga boleh membantu meningkatkan inovasi.

Contohnya, ia boleh membantu merevolusikan sistem makanan.

Menurut beliau, permintaan makanan akan terus meningkat, tetapi bekalan akan dikekang memandangkan kesan pertanian terhadap perubahan iklim.

“Kami telah mencapai had makanan yang kami hasilkan... baik oleh petani biasa, kecil mahupun pertanian perindustrian.

“Kami mencapai had kerana ia adalah sumber pelepasan gas rumah hijau yang terlalu besar. Kami tidak boleh terus menceroboh hutan semula jadi dan ekosistem semula jadi yang lain,” katanya dalam laporan The Straits Times.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg