Di hujung sebuah jalan desa yang tenang di kaki Gunung Ciremai, Jawa Barat, terletak Kampung Cibuntu, sebuah perkampungan yang dihuni kira-kira 280 keluarga dan pernah berdepan kemiskinan serta kerosakan alam sekitar akibat kegiatan perlombongan pasir.
Suatu ketika dahulu, seperti namanya yang bermaksud ‘buntu’, kampung itu seolah-olah tiada jalan keluar daripada kemiskinan.
Peluang pekerjaan yang terhad memaksa ramai golongan muda meninggalkan kampung halaman untuk mencari kehidupan lebih baik di bandar besar.
Namun, perubahan cara berfikir kepimpinan kampung, disokong oleh segelintir penduduk yang berpandangan jauh, menjadi titik perubahan apabila mereka berjaya mendapatkan persetujuan bersama untuk menghentikan perlombongan pasir dan memulihkan alam sekitar yang rosak.
“Dulu, penduduk yang berhijrah ke bandar besar malu mengaku berasal dari kampung ini kerana Cibuntu dikenali sebagai kampung mundur.
“Mereka lebih rela mengatakan berasal dari Cirebon atau Kuningan,” kata Ketua Badan Usaha Milik Desa (BUMDes) Cibuntu, Encik Adang Sukanda, kepada Berita Harian, merujuk kepada dua bandar utama berhampiran.
Penduduk kemudian bersetuju menubuhkan kumpulan pelancongan berasaskan masyarakat untuk membangunkan Cibuntu sebagai destinasi pelancongan desa yang menawarkan pengalaman kehidupan luar bandar dan pemandangan semula jadi yang indah.
Sawah padi dikekalkan, dengan latar Gunung Ciremai setinggi 3,078 meter, manakala kira-kira 60 rumah penduduk diubah menjadi inap desa, menyediakan 180 bilik untuk pelawat.
Tapak bekas lombong pasir yang dahulunya tandus dan berdebu turut dipulih dan dibangunkan menjadi hutan kampung lengkap dengan kolam mandi serta kawasan berumput yang redup, membolehkan pengunjung berehat dan berkelah sambil menikmati pemandangan.
Menurut Encik Adang, pembangunan Cibuntu berteras konsep kampung pelancongan yang menekankan pemeliharaan budaya tempatan, landskap semula jadi dan pemerkasaan penduduk.
“Ia membantu mengekalkan adat dan alam sekitar kami.
“Ekonomi kampung turut berkembang kerana penduduk memperoleh pendapatan tambahan selain pekerjaan utama sebagai petani atau guru, melalui inap desa, gerai makanan dan perkhidmatan pelancongan.
“Hasilnya, semakin kurang anak muda meninggalkan kampung kerana peluang pekerjaan sudah ada di sini,” katanya.
Encik Adang sendiri pernah merantau ke Jakarta untuk bekerja, namun kembali menetap di Cibuntu selepas terlibat secara langsung dalam usaha transformasi kampung itu.
Ketua Kampung Cibuntu, Encik Dadi Kurniadi, berkata langkah Encik Adang turut diikuti penduduk lain yang sebelum ini bekerja di pelbagai tempat di Pulau Jawa dan kini pulang ke kampung.
Kampung itu kini memiliki BUMDes yang mengurus destinasi hutan kampung dan kegiatan pelancongan.
BUMDes berkenaan menggaji 11 belia tempatan sebagai pemandu pelancong tetap, selain mengambil pemandu tambahan secara sementara ketika musim cuti.
Keuntungan BUMDes digunakan sebagai modal membangunkan dua lagi perniagaan, iaitu pusat penternakan kambing di atas tanah kampung seluas kira-kira dua hektar, yang menempatkan sekitar 1,000 kambing milik penduduk, serta menukar tanah kampung yang tidak produktif menjadi ladang kopi.
Kelompok kandang kambing itu turut menjadi tarikan pelancongan, khususnya kepada pelajar dan kampung lain yang ingin mempelajari pengurusan penternakan secara berkelompok, jauh dari kawasan perumahan.
Salah satu inap desa di Cibuntu pernah tersenarai antara lima inap desa terbaik mengikut piawaian Asean pada Anugerah Pelancongan Asean 2017, dan terus menerima pengiktirafan sehingga 2024 atas faktor kebersihan, kemudahan lengkap, konsep kekeluargaan serta pengalaman tinggal bersama penduduk.
Pemilik inap desa itu, Cik Onih Indrawati, 79 tahun, berkata beliau memulakan perniagaan tersebut pada 2012 ketika masih menetap di Jakarta dan bekerja sebagai guru tadika, manakala arwah suaminya merupakan penjawat awam di pentadbiran wilayah Jakarta.
Kini, beliau tinggal bersama seorang pembantu rumah dan menerima tetamu sekali-sekala di enam bilik yang disewakan.
“Kebanyakan hasil inap desa digunakan untuk penyelenggaraan rumah. Sentiasa ada sahaja perkara yang perlu dibaiki,” katanya.
Encik Dadi berkata perubahan Cibuntu menjadi kampung pelancongan turut mengurangkan penghijrahan penduduk usia produktif ke luar kawasan.
“Kalau ada yang keluar kampung sekarang, biasanya untuk menyambung pengajian,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg