Encik Zainuddin, 62 tahun, mengenakan tanjak dengan penuh hormat sebelum memimpin sekumpulan tetamu menuju ke gramofon antik Komet.
Dengan berhati-hati, beliau meletakkan cakera keluli berlubang yang rapuh dimamah usia tetapi masih berfungsi, lalu memperdengarkan karya klasik Mozart yang mengalun di ruang utama Istana Siak Sri Indrapura pada petang berangin itu.
“Saya perlu mengenakan tanjak dahulu, sebagai tanda hormat kepada warisan budaya yang ada di istana ini,” kata Encik Zainuddin, anak jati Siak yang telah menjadi pemandu pelawat sejak 1979 kepada Berita Harian (BH) semasa lawatan pada Ogos lalu.
Dengan penuh bangga terhadap warisan Melayu Siak, Encik Zainuddin berkata kotak muzik buatan Jerman itu antara yang masih wujud di dunia.
Ia adalah kenangan pengembaraan luas Sultan Siak ke-11, Sultan Syarif Hasyim Abdul Jalil, ke Eropah pada akhir abad ke-19, ketika baginda berkawan rapat dengan Ratu Wilhelmina dari Belanda.
Gramofon itu adalah sebahagian koleksi artifak istana yang terpelihara rapi di bangunan dua tingkat seluas 1,000 meter persegi, yang suatu ketika dahulu menjadi pusat pemerintahan kesultanan Melayu paling berpengaruh di Kepulauan Asia Tenggara.
Istana berwarna kuning pucat itu berdiri megah di kawasan seluas 32,000 meter persegi di tebing Sungai Siak yang merentasi bandar tenang Siak Sri Indrapura, Riau, dengan seramai 495,000 penduduk.
Istana itu dibina pada 1889 dan mula menjadi kediaman terakhir Sultan Siak pada tahun sama, selepas kesultanan berpindah beberapa kali sejak ditubuhkan pada 1723 di Pulau Bintan.
Dikenali juga sebagai Istana Asserayah Al Hasyimiah atau Istana Matahari Timur, bangunan itu kurang terkenal berbanding istana lama lain di Medan, Yogyakarta, Cirebon atau Bali, tempat kerabat diraja masih berpengaruh dalam budaya dan kadangkala politik tempatan.
Namun, istana dan pemerintah terakhirnya, Sultan Syarif Kasim II, memainkan peranan penting dalam sejarah Indonesia ketika mantan Presiden Indonesia, Encik Soekarno dan mantan Perdana Menteri, Encik Mohammad Hatta, memproklamasikan kemerdekaan pada 1945.
“Sultan antara penguasa pertama di Nusantara yang menyatakan taat setia kepada Indonesia selepas merdeka.
“Baginda menyerahkan istana berserta pusaka diraja dan menyumbang 13 juta gulden kepada perbendaharaan republik,” kata pakar warisan tempatan, Encik Budi Rahmad Ramadhan, kepada BH.
Nilai itu kini bersamaan kira-kira 2.13 trilion rupiah atau sekitar $166 juta.
Kesultanan Siak Sri Indrapura diasaskan pada 1723 selepas perebutan takhta dalam Kesultanan Johor.
Raja Kecik yang tewas beralih ke Sumatera dan menubuhkan kerajaan baru di Riau sehingga era Sultan ke-12.
Sultan Syarif Kasim II mangkat pada 1968 di Rumbai, Pekanbaru, sebagai rakyat biasa dan diisytihar pahlawan nasional pada 1998.
Namanya kini diabadikan pada Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Syarif Kasim II di Pekanbaru.
Kini istana itu menjadi aset negara di bawah pengurusan Pentadbiran Daerah Siak.
Ia diisytihar sebagai warisan budaya nasional pada Mac 2004 dan dicalonkan untuk pengiktirafan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Kompleks dan koleksinya terjaga baik, berbeza dengan banyak istana lama lain yang bergantung pada waris diraja.
Namun, rancangan pemulihan yang dijadual pada 2025, selepas kali terakhir dilakukan pada 2005, kembali tertangguh berikutan langkah penjimatan bajet kerajaan pusat dan daerah, kata Encik Budi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg