BANYUWANGI (indonesia): Saat-saat mencemaskan sebelum feri, KMP Tunu Pratama Jaya, tenggelam di Selat Bali pada awal pagi 3 Jun masih terpahat jelas dalam ingatan para penumpang yang terselamat.
Salah seorang daripadanya, Encik Samsul Hidayat, berkata ombak besar mula mengganas sebaik kapal berada di pertengahan laluan antara Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi dengan Gilimanuk, Bali.
“Kapal baru jalan lebih kurang 30 minit dari Ketapang. Sampai tengah Selat Bali, ombak tiba-tiba tinggi sangat dan air masuk ke kapal,” singkap Encik Samsul, ketika ditemui di Pelabuhan Ketapang pada malam 3 Jun lapor Detik.com.
Rakaman video yang tular di media sosial turut menunjukkan air mula membanjiri dek bawah kapal tempat meletak kenderaan.
Dalam video tersebut, sebuah trak kelihatan bergoyang-goyang kuat, dipukul ombak yang menggoncang feri tersebut.
Para penumpang mula menjerit dalam keadaan panik.
“Kereta-kereta di dek bawah mula bergerak, tiba-tiba satu gelombang besar datang lagi, mesin kapal terus mati.
“Dalam kiraan tiga minit, kapal terus tenggelam. Cepat sangat… saya pun tak sempat nak ceritakan semua,” tambah Encik Samsul yang berasal dari Banyuwangi.
Melihat kapal mula bergoyang dan senget, beliau bersama penumpang lain nekad terjun ke laut untuk menyelamatkan diri.
Encik Samsul sempat mencapai jaket keselamatan yang turut tercampak ke laut sebelum berpaut selama berjam-jam.
“Saya terapung tengah laut lebih kurang lima jam. Pukul 5 pagi, baru nelayan datang selamatkan kami,” katanya.
Menurut pihak berkuasa pelabuhan, sekitar 12.15 tengah malam waktu tempatan, isyarat kecemasan (kod merah) telah dikesan dari feri tersebut oleh operator Pelabuhan Gilimanuk dan salah satu kapal yang berhampiran.
KMP Tunu Pratama Jaya melaporkan berlaku kebocoran dan kerosakan enjin.
Empat minit kemudian, kapal dilaporkan mengalami kegagalan kuasa sepenuhnya, lalu dipercayai terhenti di tengah laut.
Feri tersebut membawa 53 penumpang dan 13 anak kapal, serta 22 kenderaan daripada pelbagai jenis.
Sehingga 7 malam 3 Julai, 29 orang disahkan selamat, enam mangsa disahkan meninggal dunia, dan 30 lagi masih belum ditemui.
Seorang lagi mangsa yang terselamat, Encik Bejo Santoso, menceritakan saat kapal mula terbalik.
“Sekitar tiga minit selepas kapal mula bergoyang, kapal terus terbalik. Saya masih sempat capai jaket pelampung dan melompat,” katanya ketika dihubungi agensi berita, Antara.
Encik Bejo mengakui ramai penumpang lain turut melompat keluar, namun beliau berasa sedih terhadap nasib penumpang yang berada di dalam ruang tertutup.
“Saya tak pasti mereka dapat keluar, sebab kapal itu terbalik terlalu cepat,” ujar Encik Bejo, yang berasal dari Kecamatan Cluring, Kabupaten Banyuwangi.
Setelah terapung hampir enam jam di laut, Encik Bejo akhirnya diselamatkan oleh sebuah perahu nelayan bersama beberapa penumpang lain.
Yang menyentuh hati, Encik Bejo turut berusaha membawa keluar jenazah seorang penumpang yang ditemuinya.
“Saya jumpa jenazah, ikatkan pada pelampung yang saya pegang. Saya tak mahu tinggalkan dia,” katanya dengan suara perlahan.
Pasukan penyelamat kini giat menyambung usaha mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang.
Operasi diteruskan pada 4 Julai dengan tumpuan diberikan kepada lokasi terakhir isyarat kecemasan dikesan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg