JAKARTA: Polis Indonesia kini menumpukan siasatan terhadap motif peribadi dalam insiden letupan di Masjid Sekolah Menengah Atas Negeri (SMAN) 72 di Kelapa Gading, Jakarta Utara, yang mencederakan hampir 100 orang ketika solat Jumaat 7 November lalu.
Menurut pihak berkuasa, letupan yang berlaku sekitar 12.15 tengah hari pada 7 November itu bukan berpunca daripada motif keagamaan, sebaliknya dipercayai didorong oleh masalah peribadi suspek, seorang pelajar berusia 17 tahun di sekolah berkenaan.
Jurucakap Polis Jakarta, Encik Budi Hermanto, berkata siasatan awal mendapati pelaku tidak mempunyai kecenderungan antiagama atau terlibat dengan mana-mana kumpulan ekstremis.
“Pelaku bukan menentang mana-mana agama. Berdasarkan maklumat awal, dia berdepan tekanan emosi dan rasa diabaikan oleh keluarga,” jelas Encik Budi seperti dilaporkan agensi berita Antara.
Saksi di tempat kejadian berkata letupan pertama berlaku ketika khutbah Jumaat sedang berlangsung, disusuli satu lagi letupan beberapa minit kemudian dari arah berbeza di kawasan sekolah.
Keadaan itu mencetuskan panik dalam kalangan jemaah, pelajar dan penduduk sekitar.
Seorang guru yang berada di lokasi menceritakan, “Kami semua sedang mendengar khutbah apabila terdengar dentuman kuat dari bahagian atas surau. Beberapa jemaah menjerit dan cuba menyelamatkan diri.”
Letupan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 96 orang cedera, kebanyakannya mengalami lecur dan luka akibat serpihan kaca serta logam.
Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, mengesahkan bahawa suspek yang turut cedera dalam insiden itu telah menjalani pembedahan kepala dan kini dirawat di unit rawatan rapi di bawah kawalan polis.
“Suspek masih di bawah pengawasan pihak berkuasa. Kami sedang meneliti semua bukti dan latar belakangnya bagi memahami bagaimana dia merancang dan melaksanakan tindakan ini,” kata beliau di Istana Merdeka, Jakarta.
Hasil siasatan awal Unit Khas Antipengganasan Polis Nasional Indonesia, Densus 88, mendapati suspek membawa tujuh bahan letupan buatan sendiri ke kawasan sekolah pada hari kejadian.
Jurucakap Densus 88, Pesuruhjaya Kanan Adjung Mayndra Eka Wardhana, berkata dua daripada bom itu meletup di surau sekolah, dua lagi di taman bacaan dan pusat kitar semula, manakala tiga lagi tidak meletup.
“Benar, pelaku membuat sendiri bahan letupan tersebut. Kami menemui serbuk bahan letupan dan beberapa tulisan tangan di biliknya,” katanya kepada portal berita Kompas.
Menurut Encik Mayndra, pasukan penyiasat turut menemui jejak digital yang menunjukkan suspek mengakses laman web yang memaparkan video kematian akibat kemalangan dan peperangan, dipercayai memberi kesan psikologi kepada remaja tersebut.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa jenis bahan letupan yang digunakan tidak dapat didedahkan buat masa ini kerana siasatan rasmi dijalankan oleh unit pemusnah bom dan Polis Jakarta.
“Kami sedang menilai keadaan psikologi pelaku. Ada tanda-tanda tekanan perasaan yang lama terbuku, termasuk rasa terpinggir dalam keluarga,” kata Encik Budi.
Seorang pakar psikologi forensik dari Universiti Indonesia, Dr Ratna Puspita, ketika dihubungi media berkata remaja dengan gangguan emosi sering menunjukkan tingkah laku impulsif yang boleh membawa kepada tindakan ekstrem.
“Ini bukan soal ideologi, tetapi jeritan seorang anak muda yang tidak tertangani. Ia amaran kepada semua institusi pendidikan untuk lebih peka terhadap tekanan mental pelajar,” katanya.
Sekolah berkenaan kini ditutup sementara waktu bagi membolehkan siasatan dan kerja pembersihan dijalankan.
Pasukan forensik dan pemusnah bom masih meneliti serpihan bahan letupan di lokasi. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg