Suasana tenang dan khusyuk solat Jumaat di Masjid Sekolah Menengah Atas Negeri 72 (SMAN 72), Kelapa Gading, Jakarta Utara, berubah sekelip mata menjadi detik ngeri penuh jeritan dan tangisan apabila dua letupan dahsyat menggegarkan ruang masjid sejurus selepas khutbah selesai tengah hari 7 November.
Dalam kejadian sejurus selepas khutbah itu mencederakan puluhan pelajar dan kakitangan sekolah terpelanting, berlumuran darah, dan bertempiaran lari menyelamatkan diri dalam kepulan asap tebal.
Kejadian berlaku sekitar 12.09 tengah hari dan 12.30 tengah hari, ketika para jemaah sedang bersiap menunaikan solat Jumaat. Menurut Polis Jakarta, sekurang-kurangnya 50 orang cedera dengan pelbagai tahap kecederaan dan telah dihantar ke dua hospital berhampiran. Tiada laporan kematian setakat ini.
“Kami masih menyiasat sama ada kejadian ini mempunyai kaitan dengan unsur keganasan,” kata jurucakap Unit Khas Antipengganasan Polis Nasional Indonesia, Densus 88, Encik Mayndra Eka Wardhana, kepada Berita Harian.
Letupan berlaku di dalam masjid SMAN 72 yang terletak di kawasan kompleks perumahan Tentera Laut.
Menurut saksi, letupan pertama kedengaran sejurus muazin mengumandangkan iqamah, diikuti letupan kedua beberapa minit kemudian. Encik Totong Koswara, seorang guru yang berada di saf hadapan, berkata beliau terkejut apabila mendengar bunyi dentuman kuat dari arah belakang.
“Saya terus melarikan diri. Saya tak nampak letupan itu, tapi bunyinya kuat sekali. Semua orang panik dan berlari keluar,” katanya kepada Kompas TV.
Seorang lagi saksi, Dante, pelajar sekolah berkenaan, berkata asap tebal segera memenuhi ruang belakang masjid selepas letupan pertama. “Kami baru hendak solat selepas doa khutbah. Tiba-tiba meletup dari depan dan belakang. Kami semua terus berlari keluar,” katanya.
Menurut laporan awal Jabatan Bomba Jakarta Utara, pihaknya menerima panggilan kecemasan tidak lama selepas tengah hari dan mengerahkan dua jentera bersama 10 anggota ke lokasi pada 12.20 tengah hari. Letupan dipercayai berpunca daripada sistem pembesar suara di dalam masjid, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
Ketua Polis Jakarta, Mejar Jeneral Asep Edi Suheri, berkata kawasan kejadian telah dikawal sepenuhnya sementara pasukan Forensik Polis Negara dan Unit Pemusnah Bom menjalankan siasatan menyeluruh.
“Kawasan telah dikawal sepenuhnya. Pasukan forensik sedang meneliti setiap bukti yang ditemui untuk menentukan punca sebenar letupan,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung.
Pihak polis turut menahan seorang individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian itu dan merampas dua senjata api sepucuk senapang laras panjang dan sepucuk pistol jenis revolver.
Sumber keselamatan turut memaklumkan bahawa tulisan “Welcome To Hell” ditemui pada salah satu senjata berkenaan. Selain itu, beberapa objek mencurigakan juga ditemui berhampiran lokasi, termasuk komponen menyerupai bom buatan sendiri, alat kawalan jauh, serta peluru airsoft.
Menteri Penyelaras Politik, Undang-undang dan Keselamatan, Encik Djamari Chaniago, mengesahkan pemerintah sedang menyiasat punca kejadian tersebut. “Ya, kami sedang menyiasat. Tadi kami telah meninjau lokasi, ada beberapa yang cedera. Kami sedang mengenal pasti punca sebenar,” katanya kepada wartawan di Istana Presiden.
Beliau menegaskan bahawa pemerintah belum membuat sebarang kesimpulan mengenai motif atau kaitan dengan serangan pengganas. “Kami belum tahu. Tiada kesimpulan lagi, siasatan masih berjalan,” katanya.
Menurutnya, pasukan gabungan daripada Polis, Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan agensi keselamatan lain kini berada di tempat kejadian bagi menjalankan siasatan forensik.
Rakaman yang disiarkan oleh KompasTV dan MetroTV menunjukkan kawasan sekolah telah dikepung dengan pita polis, manakala ambulans dan pasukan keselamatan berjaga-jaga di sekeliling lokasi kejadian. Gambar yang diperoleh menunjukkan tiada kerosakan besar pada struktur masjid, namun bahagian dalamnya dipenuhi serpihan kaca dan kesan asap.
Encik Budi Laksono, seorang guru matematik yang turut berada di dalam masjid, menggambarkan suasana panik ketika letupan pertama berlaku. “Khutbah baru bermula bila kami dengar letupan kuat. Asap cepat memenuhi ruang masjid. Pelajar berlari keluar ada yang menangis, ada yang terjatuh,” katanya.
Sebahagian besar mangsa mengalami kecederaan ringan akibat pecahan kaca dan gelombang bunyi letupan. Mereka dibawa ke klinik daerah Kelapa Gading untuk rawatan awal.
Menjelang lewat petang, kawasan sekitar masjid masih ditutup sementara siasatan diteruskan. Pihak berkuasa meminta masyarakat supaya tidak membuat spekulasi sebelum keputusan rasmi diumumkan.
“Kami minta semua pihak menunggu hasil penyiasatan rasmi. Buat masa ini, keutamaan kami ialah keselamatan pelajar dan memastikan keadaan kembali tenang,” kata Encik Mayndra.
Kejadian letupan di SMAN 72 ini telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, khususnya ibu bapa pelajar, yang berharap kerajaan memperketat kawalan keselamatan di sekolah bagi mengelakkan insiden serupa berulang.
Pada awal Oktober, Polis Jakarta telah memperketat kawalan keselamatan di semua sekolah antarabangsa selepas beberapa ancaman bom palsu menyasarkan kampus di Jakarta Utara dan Tangerang Selatan.
Walaupun tiada bahan letupan ditemui, pihak berkuasa meningkatkan rondaan bagi menenangkan kebimbangan ibu bapa dan pelajar serta memastikan sesi pembelajaran berjalan seperti biasa.
Polis Jakarta Utara turut melakukan pemeriksaan penuh di North Jakarta Intercultural School (NJIS) di Kelapa Gading selepas menerima e-mel ugutan meminta wang tebusan sebanyak AS$30,000 dalam bentuk mata wang kripto. Tiada bahan letupan dijumpai, namun insiden itu mendorong Polis Metropolitan Jakarta untuk mengarahkan tahap keselamatan diperketat di semua sekolah, terutama yang mempunyai dasar akses terbuka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg