JAKARTA: Hari Raya Aidilfitri lazimnya disambut oleh umat Islam dengan penuh kegembiraan dan keinsafan.
Namun, di Indonesia, yang rencam dengan kepelbagaian agama dan budaya, 1 Syawal bukan sekadar sambutan agama Islam semata-mata.
Ia kini menjadi perayaan bersifat terangkum yang turut dirai dan dihargai oleh masyarakat bukan Islam, khususnya penganut Katolik.
Sambutan itu bukan sekadar lambang, malah mencerminkan makna mendalam tentang kasih sayang merentasi agama, persefahaman dan perpaduan.
Halaman Gereja Katolik Paroki Hati Kudus Yesus, di Malang, Jawa Timur, Indonesia, dibuka luas untuk umat Islam menunaikan solat Aidilfitri pada 31 Mac.
Ketika takbir bergema, ruang gereja itu menjadi tempat suci bagi ribuan Muslim menzahirkan kesyukuran selepas sebulan berpuasa.
Ini bukan kali pertama gereja itu menjadi tuan rumah kepada jemaah Islam. Ia telah menjadi tradisi tahunan yang mewujudkan suasana saling menghormati antara agama.
“Ia bukan sekadar soal ruang, tapi tentang hati yang terbuka.
“Aidilfitri adalah detik mendalam kerana ia menyentuh nilai kemanusiaan sejagat seperti kemaafan, kasih sayang, dan perpaduan,” kata Setiausaha Suruhanjaya Hubungan Antara Agama dan Kepercayaan di Persidangan Uskup Indonesia, Encik Aloys Budi Purnomo.
Peristiwa itu mencerminkan apa yang sering disebut sebagai, hablum minallah – hubungan baik dengan Allah, dan hablum minannas – hubungan baik sesama manusia.
Sesudah sebulan mengukuhkan hubungan dengan Yang Maha Esa, kini tibalah masanya merapatkan hubungan dengan insan lain, tanpa mengira latar agama.
Sementara itu, di Mentok, Bangka Barat, anggota polis dalam kalangan pemuda Katolik berganding bahu menjaga keselamatan semasa umat Islam menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Jamik.
Menurut pegawai polis Resor Bangka Barat, Encik Iptu Januardi, usaha itu adalah “satu bentuk pelaksanaan semangat toleransi antara umat beragama”.
Pemuda Katolik dan masyarakat Batak Kristian turut serta memastikan jemaah Muslim dapat beribadat dengan tenang dan selamat.
Mereka turut membantu menjaga keselamatan kenderaan dan kawasan sekitar masjid.
“Kegiatan ini menunjukkan keharmonian bersama dan penyatuan kita, yang saling menghormati dan menjaga kedamaian meskipun mempunyai perbezaan,” ujarnya kepada media tempatan.
Langkah sebegitu diambil bukan sebagai pendekatan formal semata-mata. Sebaliknya, ia lahir daripada kepercayaan bahawa keamanan dan keharmonian menjadi tanggungjawab bersama.
Ia juga menunjukkan semangat Aidilfitri – yang merangkumi sifat memberi, berkongsi dan menghulur maaf – boleh menjadi mangkin kepada hubungan antara agama yang lebih erat.
Bagi daerah di Kota Batu, Jawa Timur pula, Forum Kerukunan Umat Beragama (FKUB) mengambil pendekatan unik dengan mengatur pasukan pelbagai agama untuk berjaga di sekitar kawasan solat Aidilfitri.
Menurut Ketua Pemuda Katolik Kota Batu, Encik Dino Dirk, pasukan sukarelawan yang membantu kawalan keselamatan ketika solat Aidilfitri melibatkan pelbagai pihak.
Antaranya termasuk, Pemuda Katolik, Gabungan Kristian Awam, masyarakat Gusdurian dan juga wakil daripada penganut agama Hindu, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan merentasi agama.
Kerjasama sebegitu bukan sahaja memudahkan logistik, malah menyemai benih kepercayaan antara anggota masyarakat.
Bagi masyarakat yang hidup dalam kepelbagaian bangsa dan agama, kepercayaan dan saling memahami merupakan aset terpenting.
Sementara itu, di Kalimantan Tengah, Pemuda Katolik dari daerah Palangka Raya, Pulang Pisau dan Lamandau turut menyertai rumah terbuka Aidilfitri di kediaman Bupati Pulang Pisau.
Langkah itu menunjukkan kesediaan penganut Katolik hadir dan bergaul dalam acara keagamaan umat Islam secara terbuka, mengukuhkan lagi jaringan silaturahim yang melangkaui batas agama.
“Pemuda Katolik harus menjadi wadah bagi anak muda melatih diri dalam pertubuhan dan menjalin sinergi dengan pertubuhan belia yang lain,” ujar bupati iaitu ketua daerah, Encik Ahmad Rifa’i, dalam ucapannya.
Sebenarnya, nilai yang disebut semasa Aidilfitri, seperti kemaafan, kasih sayang, dan sedekah, bukanlah asing bagi penganut Katolik.
Dalam tradisi Katolik, amalan memberi bantuan kepada yang memerlukan dan menyeru kepada perdamaian juga merupakan tuntutan rohani.
Setiap tahun, pihak Vatican melalui Majlis Paus bagi Dialog Antara Agama akan mengeluarkan kenyataan rasmi sempena Aidilfitri.
Dalam kenyataan itu, Paus akan menyampaikan ucapan kepada umat Islam seluruh dunia sambil menegaskan betapa pentingnya dialog antara agama dan nilai kemanusiaan bersama.
Antara tema yang pernah diketengahkan ialah, ‘Aidilfitri: Masa Untuk Kerjasama Antara Katolik Dengan Muslim’; ‘Nilai Bersama Kasih Sayang dan Kemaafan’; serta ‘Mempererat Dialog dan Kerjasama Antara Agama’.
Ucapan itu bukan sekadar lambang diplomatik, malah, membawa mesej penting bahawa dunia boleh bersatu dalam nilai bersama meskipun berpegang pada kepercayaan yang berbeza.
Hari Raya juga menjadi peluang untuk membina jambatan dialog antara agama.
Di banyak tempat, sambutan Aidilfitri disertai acara kebudayaan, jamuan masyarakat, dan projek khidmat masyarakat.
Kehadiran golongan bukan Islam dalam majlis sebegitu mewujudkan ruang untuk saling mengenali dan memahami.
Keterlibatan seperti itu bukan sahaja memperkukuh hubungan sosial, bahkan turut memupuk budaya aman dan harmoni.
Seperti yang ditekankan oleh Encik Aloys: “Aidilfitri bukan hanya tentang umat Islam – ia tentang seluruh masyarakat. Ia menyatukan, bukan memisahkan.”
Dalam suasana dunia hari ini yang penuh dengan polarisasi dan ketegangan identiti, kisah-kisah dari Indonesia hadir sebagai penyejuk jiwa.
Ia membuktikan perayaan agama bukan hanya milik satu kelompok, malah, boleh menjadi wadah untuk memperkukuh nilai sejagat seperti empati, rasa hormat, dan memupuk nilai persaudaraan.
Aidilfitri di Indonesia bukan sekadar ritual keagamaan, malah lambang, Bhinneka Tunggal Ika – kebersamaan dalam kepelbagaian yang tetap hidup.
Ia merupakan realiti bahawa perbezaan bukan alasan untuk berpisah, sebaliknya menjadi sebab untuk saling mengasihi.
Ketua Pemuda Katolik Komcab Pulang Pisau, Encik Fransiskus Gampung, berkata:
: “Perbezaan bukan penghalang, malah menjadi peluang untuk kita belajar agar saling mengerti dan hidup bersama dengan damai.”
Encik Aloys merumuskan: “Ketika kita menyambut perayaan agama orang lain dengan hati terbuka, kita sedang menyulam benang-benang kasih antara umat manusia.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg