Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pope Francis, Imam Besar Jakarta tolak salah guna agama pencetus sengketa

Perisytiharan bersama turut seru pemuliharaan alam sekitar
Sep 5, 2024 | 3:43 PM
Paus Francis (kanan) mencium tangan Imam Besar Masjid Istiqlal, Profesor Dr. H. Nasaruddin Umar, selepas pertemuan dengan pemimpin agama di Masjid Istiqlal di Jakarta, Indonesia, 5 September.
Paus Francis (kanan) mencium tangan Imam Besar Masjid Istiqlal, Profesor Dr. H. Nasaruddin Umar, selepas pertemuan dengan pemimpin agama di Masjid Istiqlal di Jakarta, Indonesia, 5 September. - Foto EPA-EFE

Ketua Gereja Katolik dan pemimpin Kota Vatican, Paus (Pope) Francis dan Imam Besar Masjid Istiqlal, Profesor Dr. H. Nasaruddin Umar, telah mengisytiharkan pendirian bersama untuk menolak penyalahgunaan agama sebagai alat untuk mencetuskan konflik.

Deklarasi bersejarah itu ditandatangani pada 5 September dalam satu majlis yang berlangsung di di Masjid Istiqlal Jakarta, menandakan kesepakatan antara dua pemimpin agama utama itu untuk menyebarkan mesej keamanan dan keharmonian.

Dalam deklarasi bersama yang ditandatangani Paus Francis dan Profesor Nasaruddin dengan pemimpin agama yang mewakili enam agama rasmi yang diperakui di Indonesia iaitu Islam, Katolik, Protestan, Buddha, Hindu dan Confucian – menyeru agar nilai-nilai agama yang sama diangkat untuk menentang keganasan dan sikap tidak peduli yang mencemari dunia.

Deklarasi yang bertajuk, ‘Memupuk Keharmonian Agama Demi Kemanusiaan’, turut menyebut bahawa “eksploitasi manusia terhadap ciptaan Tuhan, rumah kita bersama, telah menyumbang kepada perubahan iklim yang membawa pelbagai akibat buruk seperti bencana alam, pemanasan sejagat dan pola cuaca yang tidak menentu,” yang kini menjadi penghalang kepada keharmonian hidup bersama.

Para pemimpin agama di Indonesia turut menyeru setiap pengikutnya supaya mengambil tindakan berani bagi memulihara alam sekitar dan sumber semula jadi di tengah-tengah dua krisis besar yang dihadapi dunia: kurang keihsanan dan perubahan iklim.

Dalam ucapannya di perhimpunan antara agama di Masjid Istiqlal, Paus Francis menyatakan bahawa memupuk keharmonian agama demi kemanusiaan adalah jalan yang harus diikuti manusia.

Paus Francis menegaskan bahawa walaupun terdapat perbezaan agama, kita semua adalah sebahagian daripada keluarga manusia yang menuju kepada satu tujuan yang sama, iaitu Tuhan.

“Kita semua bersaudara, dan perbezaan agama bukanlah alasan untuk perpecahan, tetapi landasan untuk saling memahami,” kata beliau dalam ucapannya.

“Dengan mematuhinya, kita mengambil tanggungjawab menangani krisis-krisis serius yang mengancam masa depan umat manusia seperti perang dan konflik, malangnya disebabkan oleh manipulasi agama, serta krisis alam sekitar yang menjadi penghalang kepada pertumbuhan dan kehidupan bersama,” kata Paus.

Paus Francis turut merujuk secara tidak langsung kepada Grasberg di Papua, yang dikendalikan oleh Freeport Indonesia, sebuah usaha sama antara pemerintah Indonesia dan sebuah syarikat Amerika. Ia mempunyai simpanan emas dan tembaga terbesar di dunia.

Namun, eksploitasi sumber itu telah membawa kemusnahan alam sekitar yang besar kepada penduduk asal Papua.

“Jika benar bahawa anda memiliki lombong emas terbesar di dunia, ketahuilah bahawa khazanah paling berharga adalah keazaman untuk mengharmonikan perbezaan melalui sikap saling hormat-menghormati, dan bukannya menjadikannya punca konflik,” ujar Paus Francis.

Imam Besar Masjid Istiqlal dalam kenyataannya menyebut, perisytiharan itu memberi tumpuan kepada dua mesej utama:

“Pertama, kemanusiaan adalah satu tanpa mengira perbezaan warna. Kedua, bagaimana untuk kita menyelamatkan alam sekitar.”

“Perutusan Paus sangat penting untuk semua manusia di dunia, bukan hanya untuk kita di Indonesia,’‘ kata sarjana Islam, Encik Quraish Shihab kepada Berita Harian pada akhir perhimpunan tersebut.

Perhimpunan yang berlangsung di masjid itu menjadi kemuncak lawatan Paus Francis ke Indonesia, sebuah negara berbilang agama dan etnik yang majoritinya Muslim, yang juga merupakan hentian pertama dalam lawatan rasminya ke Asia Pasifik.

Antara tetamu yang hadir adalah mantan Naib Presiden, Encik Jusuf Kalla dan Cik Sinta Nuriyah Wahid, balu kepada bekas Presiden Abdurrahman Wahid.

Sebelum perhimpunan bermula, Paus Francis sempat melawat terowong bawah tanah sepanjang 28 meter yang dikenali sebagai, “terowong persahabatan”, yang menghubungkan Masjid Istiqlal dengan Katedral Katolik di seberang jalan, sebagai simbol toleransi agama di negara ini.

Perhimpunan tersebut diteruskan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran serta petikan daripada Injil.

Menurut Profesor Nasaruddin, masjid itu bukan sahaja tempat ibadat bagi umat Islam, malah “rumah besar untuk kemanusiaan” dan sesiapa pun boleh mengunjunginya dan meraih manfaat.

Uskup Paulus Budi Kleden, yang mengetuai Keuskupan Agung Ende di Pulau Flores yang majoritinya beragama Katolik, memberitahu Berita Harian bahawa pertemuan dengan pemimpin agama adalah agenda tetap Paus setiap kali beliau melawat negara berbilang agama.

“Semasa beliau melawat Myanmar dan Bangladesh, beliau juga mengadakan pertemuan seperti ini. Paus sentiasa meluangkan masa untuk bertemu dengan pemimpin pelbagai agama,” kata Biskop Paulus.

“Saya rasa ini adalah cara Paus menggalakkan persaudaraan dan melindungi alam sekitar melalui nilai-nilai agama serta melaksanakannya dalam kehidupan seharian,” tambah Profesor Nasaruddin.

Paus Francis dijadual berlepas dari Jakarta pada 6 September untuk melawat destinasi seterusnya, Papua New Guinea, di mana beliau akan melawat ibu kota, Port Moresby, serta Vanimo, sebuah bandar di sudut barat laut negara itu berdekatan sempadan Indonesia di wilayah Papua.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg