Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gempa bumi 6.1 magnitud gegar Papua tengah, bangunan rosak, bekalan elektrik terputus

Sep 19, 2025 | 3:12 PM
Pusat gempa terletak 28 kilometer di selatan bandar Nabire, Papua. Ketua Mitigasi Gempa Bumi dan Tsunami, Daryono, berkata di platform X bahawa sebanyak 50 gempa susulan direkodkan sehingga jam 7.30 pagi waktu Jakarta, dengan yang terbesar berukuran 5.1 magnitud.
Pusat gempa terletak 28 kilometer di selatan bandar Nabire, Papua. Ketua Mitigasi Gempa Bumi dan Tsunami, Daryono, berkata di platform X bahawa sebanyak 50 gempa susulan direkodkan sehingga jam 7.30 pagi waktu Jakarta, dengan yang terbesar berukuran 5.1 magnitud. - Foto  USGS

JAKARTA: Gempa bumi cetek berukuran 6.1 magnitud menggegarkan wilayah Papua Tengah, Indonesia, pada awal pagi Jumaat, 19 September menurut laporan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS). Setakat ini, tiada laporan korban jiwa diterima.

USGS memaklumkan pusat gempa terletak kira-kira 28 kilometer di selatan bandar Nabire, Papua Tengah, iaitu bahagian barat pulau besar Pasifik yang dikongsi bersama Papua New Guinea.

Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Indonesia (BNPB), Encik Abdul Muhari, berkata gempa itu menyebabkan kerosakan kepada beberapa kemudahan awam, namun tiada laporan kematian. “Pemantauan awal turut melaporkan cermin pecah di sebuah lapangan terbang, siling runtuh di pejabat bupati, sebuah jambatan rosak serta gangguan bekalan elektrik dan rangkaian telekomunikasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Getaran kuat itu berlaku sekitar jam 3 pagi waktu tempatan sekali gus mengejutkan penduduk yang sedang tidur. “Saya sedang tidur nyenyak, tiba-tiba gegarannya semakin kuat. Saya terus lari keluar bersama ahli keluarga,” kata Cik Cicilia Mamman, 37 tahun, kepada AFP.
Saksi lain turut menggambarkan suasana panik apabila ramai penduduk keluar dari rumah masing-masing untuk menyelamatkan diri.

Walaupun USGS melaporkan magnitud 6.1 dengan kedalaman 10 kilometer, Agensi Meteorologi, Klimatologi, dan Geofizik Indonesia (BMKG) memberikan bacaan sedikit berbeza iaitu magnitud 6.5 dengan kedalaman 24 kilometer, selepas mengemas kini daripada bacaan awal 6.6.

Ketua Mitigasi Gempa Bumi dan Tsunami BMKG, Encik Daryono, berkata di platform X bahawa sebanyak 50 gempa susulan direkodkan setakat jam 7.30 pagi waktu Jakarta, dengan yang terbesar berukuran 5.1 magnitud. “Penduduk diminta kekal berwaspada kerana gempa susulan masih berterusan,” katanya.

Indonesia, negara kepulauan yang luas, kerap berdepan gempa bumi kerana kedudukannya di kawasan dikenali sebagai “Lingkaran Api Pasifik” zon gempa aktif di mana pertembungan plat tektonik sering berlaku. Jalur ini meliputi Jepun, Asia Tenggara hingga ke seluruh lembangan Pasifik.

Gempa di Papua Tengah kali ini menjadi peringatan bahaya berterusan yang dihadapi penduduk di kawasan rawan bencana. “Kami berharap kerosakan dapat segera ditangani dan tidak ada korban jiwa,” kata seorang pegawai tempatan.

Pihak berkuasa kini sedang menilai kerosakan dan memastikan bantuan segera disalurkan kepada kawasan terjejas. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg