TAPANULI, Sumatera: Dua gempa bumi kuat menggoncang Kabupaten Tapanuli Utara di Sumatera Utara pada pagi 18 Mac, menyebabkan tanah runtuh yang mengorbankan seorang penduduk dan mencederakan seorang yang lain.
Pengarah Agensi Meteorologi, Cuaca dan Geofizik (BMKG) untuk gempa bumi dan tsunami, Encik Daryono berkata gempa bumi pertama berlaku pada 5.22 pagi dengan magnitud 5.5, diikuti gempa bumi kedua berukuran 5.6 hanya 56 saat kemudian.
“Pusat kedua-dua gempa bumi hanya berjarak sembilan kilometer. Faktor-faktor ini memenuhi kriteria untuk apa yang dikenali sebagai gempa bumi berganda,” jelas Encik Daryono.
Dalam seismologi, gempa bumi berganda merujuk kepada urutan dua atau lebih gempa bumi dengan magnitud yang sama, biasanya berlaku dalam jangka masa yang singkat.
Gempa bumi ini kadangkala dicetuskan oleh kesan gempa bumi pertama di kawasan berdekatan.
Dalam kejadian terbaru itu, pusat gempa bumi berkembar terletak 17 kilometer dari Tapanuli Utara, dengan kedalaman 10 kilometer.
Namun, ia tidak menimbulkan risiko tsunami.
BMKG menyatakan bahawa gempa bumi itu dicetuskan oleh aktiviti seismik aktif di sepanjang Garisan Sesar Sumatera, khususnya di Segmen Toru.
Garis sesar Sumatera adalah yang terpanjang di Indonesia - dari barat laut Aceh ke selatan di Lampung, menjangkau jarak 1,900 kilometer.
Lapan gempa susulan dengan magnitud lebih kecil berlaku pada pagi 18 Mac.
Satu lagi gempa bumi kuat melanda pada awal pagi 19 Mac, mencetuskan panik dalam kalangan penduduk kampung Simardangiang, yang bergegas meninggalkan rumah mereka.
Sebagai tindak balas terhadap ancaman gempa susulan yang berterusan, Timbalan Bupati Tapanuli Utara, Encik Deni Lumbantontoruan, telah mengarahkan semua sekolah di kabupaten berkenaan ditutup sementara sehingga diberitahu kelak.
Jurucakap Polis Tapanuli Utara, Encik Walpon Baringbing, melaporkan bahawa gempa bumi yang menyebabkan tanah runtuh, telah menimbus dua buah rumah di kampung Hutabarat, daerah Pahae Julu.
Sepasang suami isteri warga emas, Cik Kartini Manalu berusia 70 tahun dan Encik Hulman Hutabarat, 67 tahun, sedang tidur di salah sebuah rumah ketika tanah runtuh melanda.
“Cik Kartini kehilangan nyawanya, dan Encik Hulman pula hanya mengalami kecederaan. Beliau telah dibawa ke Pusat Kesihatan Komuniti Onanang Hasang untuk rawatan,” kata Encik Walpon.
Siri gempa bumi itu turut memusnahkan beberapa rumah dan kemudahan awam di daerah Adiankoting dan daerah Pahae Jae, termasuk lima sekolah dan sebuah ibu pejabat pengurusan kampung. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg