Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Guna motosikal automatik ke Gunung Bromo undang bahaya

Jun 10, 2025 | 5:16 PM
Pelancong diingatkan agar tidak menggunakan motosikal automatik ke Gunung Bromo kerana berbahaya
Pelancong diingatkan agar tidak menggunakan motosikal automatik ke Gunung Bromo kerana berbahaya - Foto Instagram #GunungBromo#

JAKARTA: Pentadbiran Probolinggo di Jawa Timur menggesa pelancong agar tidak menggunakan motosikal automatik semasa mengunjungi Taman Negara Bromo Tengger Semeru (TNBTS), dengan alasan risiko keselamatan susulan kerapnya kemalangan di laluan berbahaya menuju ke destinasi gunung yang popular itu.

Amaran tersebut dikeluarkan menjelang cuti panjang empat hari sempena sambutan Aidiladha pada 6 Jun, ketika pihak berkuasa tempatan bersiap sedia menerima kemasukan pelancong ke kawasan tersebut.

Ketua Agensi Pengangkutan Probolinggo, Encik Edy Suryanto, berkata nasihat itu dikeluarkan selepas penilaian oleh Forum Trafik dan Pengangkutan Darat, yang mendapati bahawa banyak kemalangan jalan raya menuju Gunung Bromo berpunca daripada penggunaan motosikal automatik di kawasan cerun yang berbahaya.

“Motosikal automatik tidak direka untuk keadaan ekstrem sebegini. Sistem brek dan cengkamannya tidak mencukupi untuk laluan curam, menyebabkan kegagalan brek dan kemalangan,” kata Encik Edy pada 8 Jun, seperti dipetik Kompas.com.

Encik Edy menyatakan bahawa nasihat tersebut kini dikuatkuasakan di laluan utama menuju Gunung Bromo, khususnya di daerah Sukapura. Bagi meningkatkan kesedaran awam, Agensi Pengangkutan Probolinggo juga telah memasang sepanduk maklumat di lokasi strategik sepanjang laluan tersebut.

Salah satu sepanduk memaparkan gambar motosikal automatik putih yang terlibat dalam kemalangan, berserta amaran berbunyi: “Jangan biarkan percutian anda berakhir dengan bencana. Hentikan penggunaan motosikal automatik di Taman Negara Bromo Tengger Semeru. Motosikal automatik tidak direka untuk jalan curam dan ekstrem seperti di kawasan Bromo. Gunakan motosikal manual demi keselamatan anda.”

Encik Achmad Wildan, penyiasat kanan di Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional, berkata motosikal automatik tidak direka untuk menggunakan brek enjin secara berkesan. Tidak seperti motosikal manual, apabila pendikit dilepaskan pada motosikal automatik, transmisi akan terputus, menyebabkan enjin tidak dapat membantu memperlahankan kenderaan.

“Motosikal automatik tidak digalakkan untuk laluan menurun yang panjang. Pad brek mudah menjadi panas akibat penggunaan berterusan, yang meningkatkan risiko kegagalan brek sama ada melalui ‘brake fading’ atau ‘vapour lock’,” katanya.

‘Brake fade’ merujuk kepada penurunan kuasa membrek yang berlaku apabila sistem brek menjadi terlalu panas. Ini biasanya berlaku semasa membrek berulang-ulang atau berpanjangan, terutama di cerun curam, dengan beban berat atau pada kelajuan tinggi.

Sementara itu, ‘vapour lock’ berlaku apabila haba berlebihan menyebabkan cecair brek mendidih dan membentuk gelembung udara dalam salur brek. Ini mengganggu tekanan hidraulik dan boleh menyebabkan kegagalan brek secara tiba-tiba dan menyeluruh.

Beberapa kemalangan melibatkan motosikal telah berlaku di sekitar Gunung Bromo dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Awal Jun, dua wanita maut apabila motosikal automatik yang mereka naiki terbabas di daerah Sukapura. Kemalangan tersebut dilaporkan berpunca daripada kegagalan brek, menyebabkan penunggang hilang kawalan dan merempuh pagar rumah.

Pada April lalu, seorang lelaki maut dan seorang wanita cedera parah selepas motosikal automatik mereka mengalami kegagalan brek dan melanggar monumen di kampung Ngadisari, juga dalam daerah Sukapura.

Pegawai kampung Ngadisari berkata mereka telah memaklumkan pelancong yang melalui kawasan itu mengenai nasihat agar tidak menggunakan motosikal automatik ke Gunung Bromo, namun penguatkuasaan dasar tersebut kekal mencabar.

“Kami telah menubuhkan pusat pemeriksaan sementara untuk menghalang penggunaan motosikal automatik dan mendidik pengunjung mengenai risiko menunggang kenderaan tersebut di kawasan ekstrem taman ini. Namun, tanpa peraturan yang lebih tegas dan sokongan lebih besar daripada pentadbiran Probolinggo, kami kewalahan,” kata ketua kampung Ngadisari, Sunaryo, pada 9 Jun.

Gunung Bromo merupakan salah satu destinasi pelancongan paling ikonik di Indonesia, terkenal dengan landskap gunung berapi yang menakjubkan dan pemandangan matahari terbit yang memukau.

Pada 2024, kira-kira 485,000 pengunjung datang ke gunung dan taman negara sekitarnya, termasuk hampir 20,000 pelancong asing. - The Jakarta Post

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg