Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Taman Negara Bromo nafi tutup laluan gunung untuk lindungi ladang ganja

Mar 20, 2025 | 10:51 AM
Polis Indonesia merampas kira-kira 38,000 pokok ganja dalam satu operasi besar-besaran di kawasan Taman Negara Bromo Tengger Semeru (TNBTS), Jawa Timur, pada 24 September 2024.
Polis Indonesia merampas kira-kira 38,000 pokok ganja dalam satu operasi besar-besaran di kawasan Taman Negara Bromo Tengger Semeru (TNBTS), Jawa Timur, pada 24 September 2024. - Foto Sektor Polis Lumajang

LUMAJANG: Pihak pengurusan Taman Negara Bromo Tengger Semeru (TNBTS) di Jawa Timur menafikan dakwaan bahawa penutupan laluan pendakian ke Gunung Semeru baru-baru ini mempunyai kaitan dengan penemuan ladang ganja di kawasan taman berkenaan.

Tuduhan itu timbul susulan penemuan kira-kira 6,000 meter persegi tanaman ganja di 59 lokasi terpencil dalam kawasan taman berkenaan oleh Polis Lumajang pada September 2024, yang turut membawa kepada penahanan enam individu dari sebuah kampung berdekatan.

Bagaimanapun, menurut ketua pengurusan TNBTS, Rudijanta Tjahja Nugraha, penutupan laluan Gunung Semeru adalah rutin tahunan yang dilakukan demi keselamatan pengunjung, terutamanya semasa musim hujan.

“Kami sentiasa menutup laluan pendakian Gunung Semeru setiap musim hujan yang biasanya memuncak pada awal tahun. Risiko angin kencang, tanah runtuh, pokok tumbang dan ribut sangat tinggi, jadi keselamatan pengunjung menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan rasmi pada 8 Mac.

Beberapa video tular di media sosial baru-baru ini mendakwa bahawa penutupan tersebut bertujuan untuk memberi laluan kepada pihak tertentu “menuai” tanaman ganja tersembunyi di kawasan taman.

Malah, netizen juga mendakwa pihak taman mengenakan bayaran 2 juta rupiah ($161) untuk penggunaan dron dan mewajibkan pelantikan pemandu arah rasmi bagi menutup operasi haram tersebut daripada pengetahuan pelancong, lapor The Jakarta Post.

Encik Rudijanta menegaskan bahawa ladang ganja yang ditemui terletak jauh dari laluan Gunung Semeru mahupun Gunung Bromo, iaitu sekitar 11 hingga 13 kilometer dari lokasi pelancongan popular itu, serta tersembunyi di dalam semak tinggi di lereng yang curam.

“Dakwaan bahawa pengunjung akan menemui ladang ganja semasa mendaki adalah tidak benar. Lokasinya sangat terpencil dan tidak boleh diakses melalui laluan utama pendakian,” jelasnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa larangan penggunaan dron telah dikuatkuasakan sejak 2019 lagi untuk mengelakkan gangguan kepada pendaki serta bagi menghormati beberapa lokasi suci masyarakat Tengger.

Berkenaan yuran penggunaan dron, Encik Rudijanta menjelaskan bahawa peraturan itu disemak semula pada Oktober 2024 selaras dengan arahan pemerintah pusat yang mewajibkan caj 2 juta rupiah di semua taman negara di Indonesia.

Manakala keperluan untuk menggunakan pemandu arah bertauliah bertujuan menyokong komuniti tempatan serta meningkatkan pengalaman pengunjung.

Menteri Perhutanan, Raja Juli Antoni, turut mengesahkan bahawa pihak taman telah bekerjasama rapat dengan polis dalam menghapuskan tanaman ganja yang ditemui.
“Tidak ada seorang pun pegawai taman negara yang terlibat dalam penanaman atau pengurusan ladang ganja itu,” tegasnya.

Ketua Bahagian Tadbir Urus TNBTS, Cik Septi Eka Wardhani, mengesahkan bahawa semua pokok ganja telah dibersihkan sepenuhnya dan kawasan tersebut akan ditanam semula dengan pokok endemik seperti kuku harimau dan ru gunung.

Sementara itu, enam suspek yang ditahan kini sedang dibicarakan di bawah Artikel 111 Undang-Undang Narkotik 2009, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun.
Pihak berkuasa juga masih memburu seorang lagi suspek utama yang dikenali sebagai Edi, dipercayai dalang utama aktiviti tersebut. Edi disyaki membekalkan benih ganja dan baja kepada suspek, serta menunjukkan lokasi tanaman di taman negara.

“Edi menjanjikan bayaran sebanyak 4 juta rupiah bagi setiap kilogram ganja yang dituai, dan membayar 150,000 rupiah kepada pekerja setiap kali mereka datang merawat ladang,” jelas kenyataan polis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg