LUMAJANG, JAWA TIMUR: Gunung Semeru yang terletak di wilayah Jawa Timur, Indonesia kembali menunjukkan aktiviti vulkanik berbahaya apabila ia meletus sekali lagi pada 10 Disember pada jam 4.52 pagi waktu tempatan. Letusan itu menghamburkan abu panas setinggi 500 meter, sekali gus mencetuskan amaran baru kepada penduduk di kawasan sekitar.
Pegawai pos pemantau gunung api, Encik Yadi Yuliandi, berkata penduduk dilarang sama sekali melakukan aktiviti di sektor tenggara sepanjang Besuk Kobokan dalam jarak 13 kilometer dari puncak.
“Awan panas dan aliran lahar berpotensi meluncur sehingga 17 kilometer dari puncak. Kami juga mengingatkan penduduk supaya tidak berada dalam radius 5 kilometer dari kawah kerana risiko lontaran batu pijar sangat tinggi,” kata Yadi. Abu berwarna putih keabu-abuan dengan intensiti tebal itu dilaporkan berarak ke arah barat daya.
Selain abu, lava pijar turut kelihatan mengalir jelas dari puncak gunung setinggi 3,676 meter itu, gunung tertinggi di Pulau Jawa. Status berjaga-jaga Gunung Semeru berada pada tahap ketiga tertinggi.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Geologi (PVMBG) mengulangi larangan aktiviti di sekitar Besuk Kobokan dan menasihati penduduk agar waspada terhadap potensi aliran lava, awan panas serta lahar di sungai-sungai berhampiran seperti Besuk Bang, Besuk Kembar dan Besuk Sat.
Gunung Semeru menunjukkan peningkatan ketara dalam aktivitinya. Pada 8 Disember sahaja, pihak pemantau merekodkan 171 letusan sepanjang hari dan awal pagi. Letusan sebelum ini direkodkan pada 5 Disember dan 19 November.
Letusan tersebut disusuli gempa letusan yang berlangsung antara 62 hingga 180 saat, gegaran guguran batu, serta keluaran gas dan gempa vulkanik.
Sementara itu, di daerah Lumajang, puluhan rumah musnah selepas lahar sejuk dari Gunung Semeru melanda beberapa kawasan pada 6 Disember.
Ketua Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Lumajang, Encik Isnugroho, berkata:
“Sekurang-kurangnya 13 rumah, sebuah warung dan sebuah masjid mengalami kerosakan teruk. Bahan vulkanik bercampur lumpur setinggi empat meter menimbus bangunan sehingga hanya bumbung kelihatan.”
Tiga motosikal turut musnah, manakala bekalan bantuan kecemasan masih berjalan kerana sebahagian penduduk terputus hubungan. BPBD menghantar bantuan makanan, air dan keperluan asas sejak 6 Disember namun keadaan geografi menyukarkan penghantaran.
Kampung Sumberlangsep yang mempunyai 512 penduduk kini sebahagiannya berpindah ke tiga pusat pemindahan di kawasan bukit. Namun 137 keluarga masih bertahan di bukit, bimbang berlaku gelombang lahar susulan. Pegawai kampung, Encik Ali Murtopo, berkata: “Penduduk takut kerana lahar dari Semeru membawa bahan panas dan disertai letusan kecil. Mereka belum berani turun.”
Setiausaha Daerah Lumajang, Agus Triyono, berkata bantuan diagih selepas pegawai terpaksa merentas Sungai Regoyo yang dipenuhi lahar sejauh 300 meter.
Bupati (Ketua daerah) Lumajang, Cik Indah Amperawati, sekali lagi menggesa penduduk mempertimbangkan berpindah ke kawasan lebih selamat di Sumbermujur.
“Kami sudah mencadangkan perpindahan sebelum ini, tetapi mereka menolak kerana bergantung kepada pertanian. Kami akan cadangkan semula demi keselamatan mereka,” katanya.
Pemerintah daerah kini bekerjasama dengan BNPB untuk membina jambatan gantung sepanjang 270 meter bagi memulihkan akses dan memastikan usaha menyelamat dapat dipertingkatkan. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg