Perjalanan menaiki jip pada awal pagi merentasi hamparan pasir gunung berapi menjadi antara pengalaman paling diingati pelancong yang mengunjungi kawah gunung berapi indah Gunung Bromo untuk menyaksikan matahari terbit dari ketinggian lebih 2,000 meter di Jawa Timur.

Perjalanan itu sering memberikan rasa pengembaraan apabila pemandu jip tempatan perlu bergantung pada pengalaman mereka mengemudi laluan berpasir dalam keadaan penglihatan yang sangat terhad akibat kabus tebal, selain ketiadaan laluan trafik yang jelas.

Namun, pengalaman mendebarkan itu turut membawa kesan negatif.

Selain risiko keselamatan kepada pelancong, laluan tidak terkawal yang ditinggalkan ratusan jip di kawasan savana boleh mengancam kawasan pemuliharaan yang merupakan sebahagian daripada Taman Nasional Bromo Tengger Semeru (TNBTS).

Kawasan itu juga dianggap suci oleh masyarakat Hindu Tengger yang tinggal di kampung sekitar bibir kawah gunung berapi.

“Saya pernah sesat dan terkandas di tengah dataran pasir selepas melalui kawasan berlumpur dan laluan yang dipenuhi air,” kata pemandu jip masyarakat Tengger dari Kampung Ranu Pani di Lumajang, Encik Wagito, kepada Berita Harian (BH) semasa lawatan ke sana.

Ketua TNBTS, Encik Rudijanta Tjahja Nugraha, berkata pihak berkuasa kini sedang menyusun semula laluan kenderaan di kawasan kawah gunung berapi dengan mengarahkan semua kenderaan menggunakan laluan khas sepanjang 13 kilometer tanpa membina jalan baharu.

“Ia juga akan mewujudkan pengalaman pelawat yang lebih teratur sambil mengurangkan tekanan terhadap alam sekitar kerana laluan tidak terkawal ini lama-kelamaan bersilang antara satu sama lain dan membentuk corak seperti sarang labah-labah di kawasan kawah gunung berapi.

“Keadaan itu akhirnya boleh menjejaskan savana, habitat hidupan liar dan keadaan tanah di sekitar Bromo,” katanya kepada BH.

Projek yang dikenali sebagai Jalan Lingkar Kawah Gunung Berapi Tengger itu dimulakan pada 13 April lalu menerusi majlis pecah tanah yang dihadiri Gabenor Jawa Timur, Cik Khofifah Indar Parawansa.

Sehingga Mei lalu, lebih 21,000 meter persegi kawasan telah dibersihkan dan lebih 750 penanda sempadan laluan dipasang bagi membina jalan selebar 18 meter yang turut dilengkapi tiga kawasan rehat.

Gunung Bromo merupakan antara destinasi pelancongan paling popular di Indonesia dengan pemandangan kawah gunung berapi yang ikonik.

Kebanyakan pelancong memulakan perjalanan menaiki jip seawal jam 2 pagi merentasi dataran pasir sebelum mendaki beberapa lokasi bukit bagi menyaksikan matahari terbit, lautan awan pagi yang menyelubungi kawah Gunung Bromo yang mengeluarkan debu gunung berapi serta Gunung Semeru di kejauhan yang memuntahkan awan abu.

Selepas matahari terbit, pelancong akan kembali menaiki jip masing-masing untuk memasuki kawasan kawah gunung berapi dan mendaki 250 anak tangga menuju ke bibir kawah.

Pelawat boleh memasuki kawasan Bromo melalui empat daerah yang mengelilingi kawah gunung berapi iaitu Lumajang, Pasuruan, Malang dan Probolinggo, dengan Malang dan Probolinggo menjadi laluan paling sesak serta mudah diakses.

Kemasukan pelancong yang semakin meningkat turut menjana pendapatan kepada penduduk kampung berhampiran bibir kawah yang menyediakan perkhidmatan pelancongan dan hospitaliti.

Ia juga memberi hasil kepada pemerintah empat daerah terbabit.

Cik Khofifah berkata jalan lingkar itu akan menghubungkan kampung sekitar kawah gunung berapi Bromo selain menjadi laluan alternatif untuk mengagihkan aliran pelancong supaya tidak tertumpu di satu lokasi sahaja.

Beliau berkata projek itu juga dijangka mengurangkan tekanan terhadap alam sekitar dan membolehkan manfaat ekonomi diagihkan lebih seimbang kepada masyarakat tempatan.

Menurutnya, projek itu adalah sebahagian usaha memperkenalkan model pengurusan kawasan pemuliharaan moden tanpa mengabaikan perlindungan alam sekitar, kesejahteraan masyarakat dan pemeliharaan adat budaya Tengger.

“Kami optimis pada masa depan Jalan Lingkar Kawah Gunung Berapi Tengger akan menjadi wajah baharu pengurusan kawasan Bromo yang lebih teratur, lebih baik dan berdaya saing di peringkat global, sambil terus berpegang pada nilai tempatan,” katanya.

Encik Rudijanta berkata projek itu dijangka siap pada Oktober walaupun berdepan cabaran bentuk muka bumi kerana beberapa bahagian laluan mempunyai cerun curam.

“Agak mencabar untuk mengendalikan kenderaan di kawasan curam terutama apabila basah dan licin, tetapi saya gembira akhirnya kami akan mempunyai satu laluan khas dan pemandu jip tidak perlu lagi mencari laluan sendiri di dataran pasir,” kata Encik Wagito.

Jumlah pelancong ke kawasan kawah gunung berapi Bromo terus meningkat setiap tahun daripada 180,270 orang pada 2021 kepada 910,613 orang pada 2025.

Peningkatan paling ketara berlaku antara 2024 dengan 2025 dengan kenaikan hampir 87 peratus.

Kemasukan pelancong yang tinggi menyebabkan kesesakan di pintu masuk dan pihak berkuasa turut mengesan ketidakpadanan antara jumlah tiket dijual dengan jumlah sebenar pelawat.

Justeru, pengurusan taman negara akan memperkenalkan sistem tiket masuk dan perkhidmatan pengangkutan pelancong yang lebih bersepadu.

“Kami mahu mewujudkan pengalaman pelancongan yang lebih teratur dan efisien sambil melindungi usaha pemuliharaan taman negara dengan menilai kapasiti kawasan dan jumlah pelawat bagi menentukan kuota lawatan yang tepat berdasarkan keadaan semasa di lapangan,” kata Encik Rudijanta. - ISMIRA LUTFIA TISNADIBRATA