Pemandangan kawah gunung berapi, terutama yang masih aktif, menjadi tarikan utama kepada pendaki termasuk warga asing yang sanggup menempuh perjalanan mencabar semata-mata untuk melihat kawah gunung berapi di Indonesia dari dekat.

Berbeza dengan Gunung Rinjani setinggi 3,726 meter di Pulau Lombok yang sangat popular dalam kalangan pelancong asing, pendakian ke Tasik Ranu Kumbolo di kaki Gunung Semeru di Jawa Timur tidak begitu menarik ramai pendaki asing.

Gunung Semeru setinggi 3,676 meter ialah puncak tertinggi di Pulau Jawa dan kini berada pada tahap amaran tiga, iaitu tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran gunung berapi Indonesia yang mempunyai empat tahap.

“Pendaki asing, terutama dari negara barat, biasanya mencari pengalaman mencabar dan bukan sekadar menikmati pemandangan.

“Mereka mahu sampai ke puncak dan melihat kawah gunung berapi dari dekat,” kata malim gunung yang juga porter atau pengangkat barang, Encik Ade Kustaman, 44 tahun, kepada Berita Harian (BH) selepas pendakian ke Tasik Ranu Kumbolo pada 21 Mei.

“Kami jarang menerima pendaki asing di Ranu Kumbolo. Kalau ada pun, biasanya dari Singapura dan Malaysia,” kata seorang lagi pemandu dan penganjur pendakian gunung yang berpangkalan di Tumpang dekat Malang, Encik Rizal Aristyawan.

Sekumpulan enam pendaki dari Malaysia dilihat mendaki ke tasik itu pada 21 Mei ketika wartawan BH sedang turun dari tapak perkhemahan di tepi tasik.

Ranu Kumbolo ialah tasik seluas 15 hektar dengan pemandangan indah yang terletak pada ketinggian 2,400 meter dari aras laut di bahagian utara gunung itu dan kira-kira lapan kilometer dari kawah, jauh di luar zon larangan gunung berapi aktif berkenaan.

Bahan dari gunung berapi Semeru pula mengalir di cerun bahagian tenggara menuju ke wilayah Lumajang.

Gunung itu ditutup untuk pendakian ke puncak sejak 2019.

Permit pendakian dibuka semula secara separa hanya untuk pendakian ke tasik sejak 2025.

Ia ditutup selama lima bulan selepas letusan besar terakhir pada November 2025 sebelum permit ke tasik dibuka semula pada April.

Terdapat peraturan ketat untuk mendaki ke tasik itu selain kuota harian seramai 250 pendaki yang biasanya cepat penuh sebaik pengurusan Taman Nasional Bromo Tengger Semeru (TNBTS) membuka pendaftaran dalam talian.

Pendakian hanya dibenarkan selama dua hari satu malam di tapak perkhemahan tepi tasik.

Pendaki wajib menggunakan khidmat malim gunung tempatan bertauliah dan berdaftar dengan taman negara.

Mereka juga perlu mula turun sekitar 9 hingga 11 pagi dan dijangka tiba di kem pangkalan selewat-lewatnya 3 petang.

Pendakian biasa ke Ranu Kumbolo mengambil masa sekitar tiga hingga empat jam untuk naik dan turun.

“Kuota itu penting bagi mengurangkan sampah, manakala petunjuk jalan diperlukan untuk menangani sebarang insiden membabitkan pendaki seperti hipotermia (suhu badan jauh lebih rendah daripada paras normal) atau sakit secara tiba-tiba akibat masalah kesihatan sedia ada.

“Sejak itu, jumlah insiden menjadi sangat rendah,” kata Encik Rizal.

Seorang pendaki Switzerland berusia 26 tahun yang mendaki secara haram pada 2016 dilaporkan hilang dan tidak pernah ditemui sehingga hari ini.

Pada 21 Mei lalu, seorang pendaki asing dipercayai warga Eropah turut dihalang oleh malim gunung ketika cuba menuju ke tapak perkhemahan di tepi tasik tanpa kebenaran.

Menurut porter, Encik Dayu Adiwijaya, yang bercakap dengan pendaki solo itu, lelaki berkenaan tidak mengetahui pendaki wajib mendaftar dalam talian sebelum dibenarkan mendaki ke tasik itu.

Malim gunung juga perlu memastikan pendaki tidak bergerak melepasi kawasan pendakian yang dibenarkan di sekitar tasik.

Porter atau pemandu boleh disenarai hitam oleh masyarakat malim gunung berdaftar dan dikenakan tindakan jika membiarkan pendaki mengambil risiko berbahaya.

“Kami perlu memastikan pendaki mengikut arahan kami. Mereka tidak boleh bergerak sendiri,” kata malim gunung berdaftar dikenali sebagai Encik Sentot kepada Berita Harian.

Malim gunung juga perlu membimbing pendaki mengenai langkah keselamatan ketika berlaku kejadian di gunung.

Encik Dayu berkata malim gunung dan pendaki perlu kekal bertenang apabila berlaku letusan gunung berapi.

Menurutnya, apabila kawah mula memuntahkan lahar, batu dan abu gunung berapi, mereka perlu segera memerhatikan arah jatuhnya debu dan batu bagi membolehkan keputusan selamat diambil bagi mengelakkan laluan berbahaya.

Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada letusan besar Gunung Dukono di Halmahera Utara pada 8 Mei lalu ketika kira-kira 20 pendaki, termasuk tujuh warga Singapura, berada di puncak gunung itu.

Dua warga Singapura dan seorang warga Indonesia maut selepas tertimbus bahan gunung berapi.

Namun, Encik Suhartono berkata perkara paling penting dalam menghadapi ancaman gunung berapi adalah sistem amaran awal yang berkesan.

Menurutnya, amaran bukan sahaja penting untuk pendaki, malah masyarakat yang tinggal di kaki gunung juga perlu memahami keadaan dan perubahan kegiatan gunung berapi.

Selain maklumat rasmi daripada pihak berkuasa seperti agensi meteorologi dan geologi, penduduk tempatan biasanya mempunyai pengetahuan tersendiri mengenai corak kegiatan gunung berapi berdasarkan pengalaman turun-temurun.

Encik Suhartono ialah malim gunung dalam masyarakat Tengger yang berasal dari kawasan pergunungan Bromo Tengger Semeru.

Walaupun keputusan untuk membuka atau menutup permit pendakian Gunung Semeru membabitkan pelbagai pihak termasuk agensi pemerintah dan penduduk tempatan, seorang penduduk Tengger, Encik Daim, berkata masyarakat peribumi Tengger tetap mempunyai kata putus dalam keputusan berkenaan.

“Jika masyarakat Tengger terutama golongan warga emas berasa keadaan masih tidak selamat, laluan pendakian tidak akan dibuka semula walaupun agensi pemerintah mungkin berkata sebaliknya,” kata Encik Daim kepada BH.

“Bagi kami, tasik itu ialah tempat suci dan air di kawasan tinggi gunung dianggap simbol kehidupan dan ketenangan,” tambah beliau.