Topik diikuti
Pergi ke BHkuGus Kikin berdepan cabaran pisahkan Nahdlatul Ulama daripada politik
Cicit pengasas pertubuhan turut hadapi tekanan pulihkan perpaduan dalaman serta baiki ekon pengikut
JAWA TIMUR: Pemilihan Encik Abdul Hakim Mahfudz atau Gus Kikin sebagai Ketua Umum Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (PBNU) bagi tempoh 2026 hingga 2031 membuka lembaran baharu bagi pertubuhan Islam terbesar Indonesia itu.
Namun, di sebalik latar belakangnya sebagai cicit pengasas NU, pengasuh pesantren dan usahawan berpengalaman, tugas yang menanti Gus Kikin bukan mudah.
Beliau mengambil alih NU ketika pertubuhan itu berusaha memulihkan perpaduan dalaman selepas pertikaian kepimpinan, sambil berdepan persoalan lebih besar, iaitu sejauh manakah NU mampu mengekalkan kebebasannya sambil memainkan peranan membina dalam politik kebangsaan dan menjalin kerjasama dengan pemerintah.
Gus Kikin dipilih sebulat suara pada 31 Ogos oleh sembilan ulama kanan dalam Ahlul Halli wal-Aqdi (Ahwa) pada sidang ke-35 NU di Jombang, Jawa Timur, Indonesia.
Sistem pemilihan tersebut mencatat sejarah kerana buat kali pertama, Ketua Umum PBNU dipilih secara tidak langsung oleh sembilan ulama, dan bukan menerusi undian langsung lebih 500 perwakilan.
Perubahan itu dikatakan bertujuan mengurangkan campur tangan luar dan politik wang dalam pemilihan pucuk pimpinan.
Namun, paradoksnya, mekanisme yang mahu menjauhkan NU daripada pengaruh luar itu kini menimbulkan persoalan sama ada kuasa memilih terlalu tertumpu pada sekumpulan kecil ulama.
Enam daripada sembilan anggota Ahwa berasal dari Jawa Timur, wilayah yang dilihat menjadi pangkalan kekuatan Gus Kikin.
Penyelidik politik, Encik Agung Baskoro, berkata keadaan itu tidak semestinya bermakna semua ulama Jawa Timur menyokong calon sama, tetapi pemilihan melalui sembilan individu lebih mudah dipengaruhi berbanding proses yang melibatkan ratusan perwakilan.
Persoalan itu penting kerana NU bukan sekadar pertubuhan keagamaan.
Dengan jutaan pengikut yang dikenali sebagai Nahdliyin di seluruh Indonesia, pengaruh sosial NU turut membawa nilai politik yang besar, terutama menjelang pilihan raya 2029.
Daripada dunia korporat ke niaga
Pemilihan Gus Kikin, 67 tahun, menarik perhatian kerana perjalanan hidupnya berbeza daripada gambaran lazim seorang ulama yang meluangkan sebahagian besar kehidupan dalam lingkungan pesantren.
Dilahirkan di Jombang pada 17 Ogos 1959, beliau merupakan cicit pengasas NU, Kiai Hasyim Asy’ari.
Melalui ibunya, Nyai Hj Abidah Ma’shum, susur galurnya bersambung kepada anak sulung Kiai Hasyim, Nyai Hj Khoiriyah Hasyim.
Daripada sebelah bapanya pula, beliau mempunyai hubungan keturunan dengan Kiai Anwar Alwi, pengasas Pondok Pesantren Tarbiyatun Nasyi’in di Paculgowang, Jombang.
Namun, Gus Kikin pada usia muda memilih jalan yang jauh berbeza.
Selepas pendidikan sekolah dan pesantren, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang pelayaran di Jakarta.
Pengalaman itu membawanya belayar mengelilingi dunia beberapa kali sebelum membina kerjaya dengan syarikat perkapalan milik negara, Djakarta Lloyd.
Pada usia sekitar 30 tahun, beliau sudah diberi tanggungjawab mengetuai cawangan syarikat itu di Cilegon.
Beliau kemudian meninggalkan sektor tersebut dan memasuki dunia perniagaan, membangunkan syarikat dalam bidang perkapalan, logistik, kontraktor, teknologi maklumat, komoditi, media serta minyak dan gas.
Latar belakang itu kini boleh menjadi kekuatan Gus Kikin.
NU mempunyai rangkaian pesantren, institusi pendidikan dan masyarakat akar umbi yang sangat luas.
Namun, cabaran yang sering dibangkitkan adalah bagaimana kekuatan sosial itu boleh diterjemahkan kepada peningkatan ekonomi pengikut NU.
Pengarah Eksekutif, Tinjauan Politik Indonesia (IPR), Encik Iwan Setiawan, berkata kepimpinan baharu perlu menjadikan pemerkasaan ekonomi Nahdliyin sebagai agenda penting.
“NU bukan sahaja perlu menjadi kekuatan moral dan keagamaan, bahkan juga harus menjadi kekuatan ekonomi pengikutnya,” katanya.
Menurut beliau, anggota NU perlu dibantu beralih daripada sekadar pengguna kepada peserta ekonomi yang lebih kukuh menerusi perusahaan kecil dan sederhana, pesantren, pertanian, perdagangan, ekonomi digital dan akses kepada pembiayaan.
Pengalaman korporat Gus Kikin boleh memberinya kelebihan untuk melaksanakan agenda tersebut.
Perjalanan Gus Kikin kembali ke dunia pesantren bermula apabila Kiai Salahuddin Wahid atau Gus Sholah memintanya menjadi Timbalan Pengasuh Pondok Pesantren Tebuireng pada 2016.
Selepas Gus Sholah meninggal dunia pada 2020, Gus Kikin mengambil alih sebagai pengasuh kelapan pesantren bersejarah itu.
Tebuireng mempunyai kedudukan istimewa dalam sejarah NU kerana diasaskan KH Hasyim Asy’ari dan menjadi antara pusat utama pemikiran Islam tradisional Indonesia.
Gus Kikin kemudian memasuki kepimpinan pusat NU pada 2022 dalam bidang ekonomi sebelum mengetuai Pengurus Wilayah NU Jawa Timur.
Tetapi pengalaman beliau sebagai ulama kanan yang lebih singkat berbanding kerjaya perniagaannya turut mendapat perhatian.
Pengamat NU dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) di Singapura, Dr Alexander Raymond Arifianto, berkata rekod Gus Kikin lebih panjang sebagai ahli perniagaan berbanding ulama.
Namun, gabungan dua dunia itu juga boleh menjadi aset sekiranya Gus Kikin berjaya menggunakan pengalaman pengurusannya untuk memperkukuh institusi NU tanpa menghakis tradisi keagamaannya.
Ujian terbesar: Politik
Cabaran lebih besar ialah hubungan NU dengan politik.
Gus Kikin sendiri menegaskan selepas dipilih, bahawa NU bukan untuk politik, sebaliknya merupakan pertubuhan keagamaan dan kemasyarakatan.
Namun, memisahkan NU daripada politik lebih mudah disebut daripada dilaksanakan.
Tokoh NU sejak sekian lama mempunyai kedudukan penting dalam pemerintah dan pilihan raya Indonesia.
Beberapa tokohnya kini berada dalam Kabinet Presiden Prabowo Subianto, manakala tokoh berlatarbelakangkan NU sering menjadi calon naib presiden dalam pilihan raya.
Hubungan rapat itu turut mencetuskan kontroversi apabila NU menerima konsesi perlombongan arang batu daripada pemerintah mantan presiden Encik Joko Widodo, yang dianggap pengkritik sebagai ganjaran politik.
Kehadiran Encik Prabowo pada pembukaan dan penutupan sidang ke-35 NU sekali lagi memperlihatkan pentingnya NU kepada pemerintah.
Pada majlis penutupan, Rais A’am (Ketua Tertinggi) PBNU, Encik Miftachul Akhyar, turut menyerahkan kad keanggotaan NU seumur hidup kepada Encik Prabowo, yang menyifatkannya sebagai “penghormatan besar”.
Bagi pengkritik, hubungan sedemikian menyebabkan seruan supaya NU kembali kepada khittah – asas perjuangannya sebagai pertubuhan keagamaan dan kemasyarakatan – semakin penting.
Menurut Encik Iwan, NU masih boleh memainkan peranan dalam politik kebangsaan, tetapi harus bertindak sebagai kekuatan moral dan masyarakat sivil, bukannya kenderaan politik.
“NU perlu menjadi rakan yang membina tetapi tetap kritikal terhadap pemerintah.
“Apabila sesuatu dasar pemerintah membawa manfaat, NU wajar memberikan sokongan.
“Namun, jika ada perkara yang perlu diperbaiki, NU harus tampil memberikan pandangan dan saranan,” katanya.
Apa yang dimaksudkan Encik Iwan adalah NU tidak perlu menjadi pembangkang, tetapi juga tidak boleh menjadi parti bawahan pemerintah.
Pilihan raya 2029
Persoalan itu semakin penting kerana pilihan raya 2029 sudah mula membayangi politik Indonesia.
Pengerusi Forum Aktivis NU Jawa Timur, Encik Sudarsono Rahman, mendakwa persaingan kepentingan untuk mendapatkan sokongan NU sudah dapat dilihat dalam sidang terbaharu.
Sebabnya mudah – sesiapa yang mempunyai pengaruh terhadap rangkaian NU mempunyai akses kepada pangkalan masyarakat yang amat besar.
Justeru, kejayaan Gus Kikin sepanjang lima tahun akan dinilai bukan hanya berdasarkan kemampuannya menyatukan semula NU selepas konflik dalaman.
Beliau juga perlu membuktikan sistem pemilihan baharu tidak menjadikan NU kurang demokratik, memperkukuh ekonomi Nahdliyin dan pada masa sama menetapkan sempadan lebih jelas antara kerjasama dengan pemerintah dengan pergantungan politik.
Latar belakang Gus Kikin menawarkan sesuatu yang jarang dimiliki seorang pemimpin NU iaitu keturunan langsung daripada keluarga pengasas, pengalaman pesantren dan pengalaman puluhan tahun dalam dunia korporat.
Tetapi warisan keluarga sahaja tidak mencukupi.
Memasuki abad keduanya, persoalan terbesar NU bukan lagi sekadar siapakah yang memimpinnya, tetapi apakah pertubuhan itu mampu menggunakan pengaruh besarnya untuk kepentingan masyarakat tanpa pengaruh politik akhirnya menguasai arah perjuangannya.
Di situlah ujian sebenar kepimpinan Gus Kikin bermula. – Agensi berita.
“
NU bukan sahaja perlu menjadi kekuatan moral dan keagamaan, bahkan juga harus menjadi kekuatan ekonomi pengikutnya... NU perlu menjadi rakan yang membina tetapi tetap kritikal terhadap pemerintah. Apabila sesuatu dasar pemerintah membawa manfaat, NU wajar memberikan sokongan. Namun, jika ada perkara yang perlu diperbaiki, NU harus tampil memberikan pandangan dan saranan.