JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menahan tiga orang hakim yang sebelum ini membebaskan tiga syarikat kelapa sawit daripada tuduhan rasuah berkaitan permit eksport, kata seorang pegawai pada 14 April, susulan penahanan ketua hakim sebuah mahkamah tempatan atas tuduhan rasuah dalam kes yang sama.
Mahkamah pada bulan Mac lalu membebaskan tiga syarikat — Wilmar Group, Musim Mas Group dan Permata Hijau Group yang berpangkalan di Sumatera Utara — daripada tuduhan salah laku dalam mendapatkan permit eksport pada 2022.
Jurucakap Pejabat Peguam Negara, Encik Harli Siregar, berkata ketiga-tiga hakim yang membuat keputusan itu ditahan pada malam 13 April.
Pada 12 April lalu, pendakwa raya menahan Muhammad Arif Nuryanta, Ketua Hakim Mahkamah Daerah Jakarta Selatan, yang didakwa menerima rasuah berjumlah 60 bilion rupiah ($4.68 juta) untuk mengatur keputusan pembebasan tersebut melalui dua orang peguam mewakili syarikat-syarikat itu.
“Wang sogokan itu diberikan supaya para hakim membuat keputusan bahawa perbuatan itu bukan jenayah,” kata Encik Siregar dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa seorang kerani mahkamah dan dua peguam turut ditahan.
Siregar berkata sebanyak AS$1.07 juta ($1.41 juta) turut didakwa telah dibayar kepada tiga orang hakim yang terlibat.Reuters tidak dapat menghubungi ketiga-tiga hakim atau peguam mereka untuk mendapatkan maklum balas.
Pejabat Peguam Negara Indonesia juga telah memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah pada Mac lalu yang membebaskan ketiga-tiga syarikat berkenaan.
Wilmar Group, Musim Mas Group dan Permata Hijau Group juga tidak memberikan sebarang maklum balas segera terhadap permintaan komen daripada Reuters.
Encik Nuryanta merupakan timbalan ketua mahkamah ketika keputusan pembebasan itu diumumkan, namun beliau tidak terlibat secara langsung dalam mendengar kes tersebut.
Indonesia, yang menyumbang kira-kira 60 peratus bekalan minyak sawit global, mengenakan kawalan eksport ketat pada 2022, termasuk larangan eksport selama tiga minggu, dalam usaha untuk mengawal kenaikan harga minyak masak domestik.
Ketika tuduhan rasuah terhadap syarikat-syarikat itu mula dibawa ke mahkamah, pihak pendakwa sebelum ini menuntut denda dan bayaran sehingga 11 trilion rupiah. — Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg