Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skandal petroleum: Ujian besar Prabowo tangani ‘mafia minyak’

Sembilan individu termasuk eksekutif kanan syarikat subsidiari Pertamina, suspek dalam kes penyelewengan sebabkan kerugian 193.7 trilion rupiah ($15.7b)
Mar 24, 2025 | 5:30 AM
Salah sebuah stesen minyak milik syarikat minyak negara Indonesia, Pertamina, di Surabaya.
Salah sebuah stesen minyak milik syarikat minyak negara Indonesia, Pertamina, di Surabaya. - Foto AFP

JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, berikrar untuk membanteras amalan rasuah dan manipulasi dalam industri minyak dan gas negara.

Ini susulan sembilan individu, termasuk eksekutif kanan dari syarikat-syarikat subsidiari Pertamina, dinamakan sebagai suspek dalam kes penyelewengan urus niaga minyak mentah dan bahan api yang menyebabkan kerugian negara dianggarkan mencecah 193.7 trilion rupiah ($15.7 bilion) dari 2018 hingga 2023.

Langkah itu menjadi ujian penting terhadap komitmen pentadbiran baharu Encik Prabowo dalam memerangi rasuah, khususnya dalam sektor tenaga yang telah lama dilabel sebagai ‘lubuk mafia’.

Kes itu bukan sahaja menyingkap penyelewengan sistemik bahkan juga membuka semula persoalan sama ada tindakan tegas akan diambil terhadap individu berprofil tinggi yang mendapat keuntungan besar daripada rangkaian korupsi itu.

Pada 18 Mac, Pejabat Peguam Negara Indonesia (AGO) menahan tujuh suspek utama, termasuk Encik Kerry Andrianto Riza, anak kepada jutawan minyak Encik Riza Chalid, yang pernah digelar “raja minyak” oleh media tempatan.

Mereka didakwa mengatur skim yang memaksa kilang penapisan mengimport minyak mentah dan produk petroleum dari luar, walaupun undang-undang menghendaki Pertamina mendapatkan bekalan daripada kontraktor domestik terlebih dahulu.

Siasatan mendapati suspek terlibat dalam kegiatan import yang dimanipulasi antara 2018 dengan 2023, dengan tiga individu daripada syarikat swasta turut didakwa memperoleh keuntungan haram daripada penghantaran minyak tersebut.

Turut ditahan ialah dua ahli perniagaan swasta dan empat eksekutif kanan Pertamina, Encik Riva Siahaan (Presiden Direktur PT Pertamina Patra Niaga); Encik Yoki Firnandi (Ketua Pegawai Eksekutif PT Pertamina International Shipping); Encik Sani Dinar Saifuddin (Pengarah Pengoptimuman Produk PT Kilang Pertamina International) dan Encik Agus Purwono (Naib Presiden Pengurusan Bahan Mentah KPI).

Dua ahli perniagaan tersebut ialah Encik Gading Ramadhan Joedo dan Encik Dimas Werhaspati, yang dikaitkan dengan syarikat Jenggala Maritim Nusantara dan Orbit Terminal Merak.

AGO mendakwa suspek melanggar peraturan menteri yang mewajibkan minyak mentah tempatan ditapis di kemudahan dalam negara.

Sebaliknya, mereka mendakwa minyak itu tidak sesuai untuk penapisan tempatan, lalu mengeksportnya dan mengimport minyak mentah dari pasaran antarabangsa pada harga lebih tinggi.

Tujuannya ialah meraih keuntungan peribadi.

Untuk memaksimumkan keuntungan, mereka mengenakan caj pengangkutan sebanyak 13 hingga 15 peratus melalui Pertamina International Shipping dan turut mengurangkan kapasiti penapisan secara sengaja, bagi mewujudkan permintaan buatan terhadap bahan api import.

Tambahan pula, bahan api bermutu rendah dengan nilai oktana RON-90 diimport tetapi dicaj kepada Pertamina pada harga bahan api RON-92, sebelum dijual kepada orang awam sebagai Pertamax.

“Ini bukan hanya soal rasuah, malah manipulasi sistematik yang melemahkan dasar tenaga negara selama bertahun-tahun,” kata seorang penyelidik dari sebuah universiti di Indonesia yang enggan dinamakan.

Siasatan terkini turut mengingatkan kembali kepada kegagalan pentadbiran terdahulu.

Walaupun Presiden Joko Widodo pernah menubuhkan pasukan khas antimafia minyak dan mendedahkan penyelewengan dalam anak syarikat Pertamina, Petral, hanya seorang individu – bekas Presiden Direktur Petral, Bambang Irianto – yang didakwa secara rasmi.

Presiden Prabowo, dalam ucapan sulungnya pada Oktober, menggariskan agenda tenaga sebagai keutamaan nasional, termasuk rancangan melarang eksport minyak mentah dan memastikan semua penapisan dilakukan di dalam negara.

Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Encik Bahlil Lahadalia, menyokong usaha itu dengan menyatakan bahawa mutu bahan api akan terus dikawal ketat.

“Rakyat tidak perlu ragu terhadap mutu bahan api Pertamina kerana kami komited memastikan standard mutu dijaga,” kata Encik Bahlil dalam sidang media 13 Mac.

Beliau turut menambah bahawa pihak kementerian melalui Pusat Ujian Minyak dan Gas (Lemigas) akan memperketat proses pemantauan, termasuk memeriksa kapal pengangkut minyak dan proses pencampuran bahan api di kilang sebelum disalurkan kepada pengguna.

Sementara itu, sumber dalaman Pertamina meluahkan kebimbangan kerana tidak mendapat maklumat jelas daripada pihak AGO berkenaan bahan bukti dan arah siasatan.

“Kami tidak tahu sama ada ini benar-benar kes kukuh atau ada tujuan lain,” kata salah seorang sumber.

Namun Pertamina menegaskan bahawa syarikat itu akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan memastikan perkhidmatan pengedaran tenaga kepada rakyat berjalan seperti biasa.

Pertamina turut mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka serta berjanji untuk memperkukuh reformasi tadbir urus susulan siasatan rasuah yang membabitkan pegawainya.

Seorang lagi pegawai kanan berkata: “Kami benar-benar keliru apakah yang sedang dicari oleh penyiasat. Amalan mencampur bahan api untuk mencapai nilai RON tertentu adalah normal dalam industri ini.”

Pertamina turut mengumumkan bahawa mereka sedang menubuhkan pasukan penilaian dalaman untuk menilai semula semua proses dalaman dan memperkukuh pematuhan tatakelola.

Penamaan Encik Kerry Andrianto, anak kepada tokoh kontroversial Encik Riza Chalid, sebagai suspek turut menimbulkan persoalan politik, memandangkan Riza pernah menjadi penyokong kuat Encik Prabowo dalam pilihan raya presiden 2014.

Pemerhati industri melihat tindakan itu sebagai petunjuk bahawa pengaruh lama Encik Riza dalam urusan minyak import mungkin semakin terhakis.

“Riza Chalid pernah menguasai rantaian bekalan minyak Indonesia sejak era Suharto.

“Jika tindakan ini benar-benar diteruskan hingga ke akar umbi, ia akan menjadi perombakan besar dalam landskap politik tenaga negara,” kata seorang pengimport minyak yang enggan dinamakan.

Namun begitu, ramai masih sangsi sama ada pentadbiran Encik Prabowo benar-benar akan melangkaui penangkapan beberapa individu sahaja dan membongkar keseluruhan rangkaian mafia minyak yang telah berakar selama beberapa dekad.

Pada 14 Mac, Encik Prabowo mengumumkan rancangan untuk membiayai pembinaan sebuah penjara berkeselamatan tinggi di sebuah pulau terpencil bagi menempatkan pegawai yang terlibat dalam rasuah.

Daya usaha itu dibuat susulan peningkatan kes rasuah berprofil tinggi, termasuk skandal membabitkan syarikat milik pemerintah seperti Pertamina serta dakwaan terhadap ahli politik terkenal.

Beliau turut menegaskan kesediaannya untuk berdepan dengan golongan makan suap, sambil berkata:

“Saya tidak takut kepada mafia. Polis dan tentera bersama saya, malah guru juga akan menyokong perjuangan ini.”

Encik Prabowo menegaskan keperluan untuk membanteras rasuah bagi mengelakkan lebih banyak kemudaratan kepada negara, sambil menambah: “Jika perlu, kita akan buang mereka dari Indonesia.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg