Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indon sekat Israel tandingi gimnastik dunia di Jakarta

Oct 10, 2025 | 2:29 PM
Lelaki yang dikenali sebagai ‘Silver Men’ memegang plakad semasa tunjuk perasaan solidariti bersama rakyat Palestin di Gaza sempena ulang tahun kedua perang yang tercetus selepas serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023, di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta, Indonesia, pada 7 Oktober 2025.
Lelaki yang dikenali sebagai ‘Silver Men’ memegang plakad semasa tunjuk perasaan solidariti bersama rakyat Palestin di Gaza sempena ulang tahun kedua perang yang tercetus selepas serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023, di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta, Indonesia, pada 7 Oktober 2025. - Foto REUTERS

Pemerintah Indonesia membatalkan visa 12 wakil Israel yang dijadual menyertai Kejohanan Gimnastik Dunia 2025 di Jakarta pada penghujung Oktober ini, susulan bantahan kuat daripada pertubuhan agama, ahli politik dan masyarakat umum terhadap penyertaan mereka.

Pengerusi Persekutuan Gimnastik Indonesia (FGCI), Cik Ita Yuliati Irawan, mengesahkan perkara itu dalam satu sidang media pada 10 Oktober. “Kami boleh sahkan bahawa mereka tidak akan mengambil bahagian kerana visa mereka telah ditolak,” katanya.

Menteri Imigresen dan Hal Ehwal Masyarakat, Encik Agus Andrianto, turut mengesahkan pembatalan itu pada 9 Oktiber menjelaskan bahawa pejabatnya telah membatalkan semua visa selepas FGCI menarik balik surat tajaan yang digunakan bagi memohon visa atlet Israel.

“Surat penajaan daripada FGCI telah dibatalkan, maka semua visa yang telah dikeluarkan juga ditarik balik,” katanya.

Menteri Penyelaras bagi Undang-undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Institusi Pemulihan, Encik Yusril Ihza Mahendra, pada 9 Oktober menegaskan bahawa keputusan tersebut selaras dengan pendirian tegas Indonesia yang menolak kekejaman berterusan Israel terhadap rakyat Palestin, khususnya di Gaza.

“Pendirian ini konsisten dengan sikap Indonesia yang mengutuk keras tindakan Israel terhadap rakyat Palestin,” kata Encik Yusril.

Beliau menjelaskan bahawa langkah pemerintah itu turut menggambarkan suara majoriti rakyat yang menolak keras penyertaan atlet Israel, termasuk desakan daripada Majlis Ulama Indonesia (MUI), pemerintah tempatan dan parti-parti politik.

“Pendekatan ini seiring dengan harapan rakyat Indonesia, sebagaimana ditunjukkan oleh penolakan tegas pelbagai pihak, termasuk MUI, pemerintah daerah, serta organisasi masyarakat,” katanya.

Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, sebelum ini telah berulang kali menegaskan pendirian Indonesia untuk tidak mengadakan sebarang hubungan diplomatik dengan Israel selagi negara itu belum mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat.

Dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada 26 September, Encik Prabowo berkata: “Indonesia kekal teguh dengan prinsipnya. Kami tidak akan membuka hubungan diplomatik atau apa jua bentuk kerjasama antarabangsa dengan Israel selagi Palestin belum diiktiraf sebagai negara yang merdeka dan berdaulat.”

Gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung, turut menyokong keputusan pemerintah pusat itu, dengan menegaskan bahawa kehadiran atlet Israel hanya akan menimbulkan kemarahan awam.

“Sebagai Gabenor Jakarta, saya tidak akan membenarkan mereka datang dalam keadaan sekarang. Tiada manfaatnya dan hanya akan menimbulkan keresahan rakyat,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa ibu kota kini sedang berdepan kesesakan lalu lintas akibat projek infrastruktur yang berterusan dan masih memulihkan kemudahan awam yang rosak semasa tunjuk perasaan besar-besaran pada Ogos lalu.

MUI juga menegaskan bahawa langkah melarang penyertaan atlet Israel penting bagi mengekalkan ketenteraman awam dan menunjukkan konsistensi sokongan terhadap kemerdekaan Palestin.

“Komitmen ini tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak. Acara seperti pertandingan gimnastik tidak sepatutnya mencetuskan kemarahan rakyat atau menjejaskan kepercayaan awam terhadap pendirian kita yang lama menyokong Palestin,” kata Pengerusi MUI bagi Hal Ehwal Luar Negara dan Kerjasama Antarabangsa, Profesor Sudarnoto Abdul Hakim.

Organisasi Islam terbesar Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU), turut menyuarakan sokongan terhadap keputusan pemerintah itu.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat NU, Encik Ahmad Fahrur Rozi, berkata Indonesia mempunyai sejarah panjang menolak penyertaan Israel dalam acara sukan antarabangsa.

“Sejarah mencatat bahawa Indonesia pernah menarik diri daripada kelayakan Piala Dunia 1958 untuk mengelak bertanding dengan Israel. Keputusan itu mencerminkan konsistensi moral bangsa kita,” katanya.

Profesor Sudarnoto turut menambah: “Saya konsisten menolak kehadiran mana-mana pasukan sukan Israel, sama ada dalam kejohanan bola sepak bawah 20 tahun atau gimnastik. Kita sepatutnya lebih bersedia menghadapi situasi seperti ini dari awal.”

Kejohanan Gimnastik Dunia 2025 dijadual berlangsung pada 19 hingga 25 Oktober ini dengan penyertaan daripada 86 negara. Ini merupakan kali pertama Indonesia menjadi tuan rumah selepas menerima hak penganjuran daripada Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) pada Mei 2024.

Keputusan untuk menolak penyertaan atlet Israel dilihat konsisten dengan tindakan Indonesia pada 2024 apabila negara itu kehilangan hak menganjur Piala Dunia Bawah-20 Fifa 2023 selepas menolak kehadiran pasukan bola sepak Israel.

Dengan keputusan terbaru ini, Indonesia sekali lagi menegaskan bahawa sokongannya terhadap perjuangan Palestin bukan sekadar diplomatik tetapi sebahagian daripada prinsip nasional dan suara rakyat.

“Keputusan ini menunjukkan keutuhan pendirian Indonesia dalam mempertahankan nilai kemanusiaan dan solidariti terhadap Palestin,” kata Encik Yusril.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg