Kenaikan suhu sejak kebelakangan ini dijangka menyebabkan sehingga 40,000 kematian akibat cuaca panas melampau di Asia Tenggara, dengan hampir separuh daripadanya berkemungkinan berlaku di Indonesia.

Demikian menurut laporan terkini Makmal Kesan Iklim di Universiti Chicago.

Laporan itu menganggarkan sekitar 19,300 kematian akibat cuaca panas boleh berlaku di Indonesia dalam tempoh sembilan bulan pertama fenomena ‘Super El Nino’ pada tahun ini dari Jun 2026 – apabila ia bermula – hingga Februari 2027.

Laporan yang diterbitkan pada 23 September itu menganggarkan jumlah kematian di Asia Tenggara merupakan sebahagian daripada 451,000 kematian di seluruh dunia yang dikaitkan dengan cuaca panas melampau.

Angka itu belum mengambil kira kesan kemarau, kebakaran hutan dan banjir yang dijangka berlaku akibat suhu lebih tinggi serta perubahan corak hujan ketika El Nino kali ini berpotensi menjadi yang paling kuat pernah direkodkan.

Penyelidik yang terlibat dalam laporan itu berkata kematian akibat cuaca panas semasa El Nino dijangka tertumpu terutama di negara-negara Selatan Global.

Indonesia berada di tempat kedua dari segi jumlah kematian akibat cuaca panas yang diunjurkan, selepas Nigeria yang dijangka mencatat 31,400 kematian.

Pengasas Bersama Makmal Kesan Iklim, Profesor Michael Greenstone, menyifatkan angka itu sebagai “mengejutkan”.

Ini kerana di sebalik unjuran ratusan ribu kematian itu adalah nyawa manusia – termasuk ibu bapa, anak-anak, warga emas dan mereka yang menjalani kehidupan harian seperti bekerja serta menjaga keluarga.

“Kita sudah lama mampu meramalkan kesan suhu terhadap tanaman, dan kini kita boleh meramalkan kesannya terhadap akibat paling buruk – kematian,” kata Profesor Greenstone, yang juga profesor ekonomi di Universiti Chicago.

Cuaca panas melampau turut memburukkan kebakaran besar hutan dan tanah gambut di beberapa kawasan di Indonesia, terutama di Kalimantan dan Sumatera.

Kebakaran itu menghasilkan jerebu tebal yang berbahaya dan menjejas jarak penglihatan serta memburukkan mutu udara.

Penduduk di kawasan terjejas terpaksa hidup dalam keadaan udara tidak sihat atau berbahaya sejak beberapa bulan lalu.

Seorang aktivis tempatan di Palangka Raya, ibu kota wilayah Kalimantan Tengah yang diselubungi jerebu berbahaya, berkata beberapa kematian berlaku sejak kebelakangan ini.

Beliau percaya pendedahan berpanjangan kepada jerebu berbahaya mungkin memburukkan keadaan kesihatan sesetengah penduduk, terutama mereka yang sudah menghidap penyakit pernafasan dan penyakit lain.

Namun, beliau mengakui tiada pengesahan bahawa kematian tersebut berpunca daripada jerebu atau cuaca panas.

Pengarah Urusan, Yayasan Ranu Welum – organisasi bukan meraih untung yang diterajui peribumi di Palangkaraya, Kalimantan Tengah, Indonesia, Encik Sarasi Silvester Sinurat, berkata pihaknya tidak dapat menentukan sama ada kematian tersebut mempunyai kaitan dengan cuaca panas melampau.

Namun, beliau menjelaskan bahawa lonjakan suhu dan kemarau berpanjangan memburukkan lagi kebakaran besar hutan serta tanah gambut, yang kini sukar dipadamkan berikutan ketiadaan hujan dan kekurangan bekalan air.

“Cuaca panas melampau sememangnya memburukkan keadaan yang sudah kritikal, sama ada penyakit pernafasan akut, kekurangan zat makanan, selain kesukaran mendapatkan rawatan sewajarnya akibat kemiskinan serta kekurangan peralatan dan bekalan perubatan,” katanya kepada Berita Harian.

“Saya tidak pasti sama ada ini boleh dianggap sebagai kematian akibat cuaca panas atau mempunyai kaitan dengannya, tetapi baru-baru ini seorang pelajar tempatan maut dalam kemalangan jalan raya selepas dilanggar penunggang motosikal yang memandu dalam keadaan jarak penglihatan amat rendah akibat jerebu yang sangat tebal,” tambahnya.

Ketua Pusat Krisis Kesihatan Kementerian Kesihatan Indonesia, Encik Agus Jamaludin, mengakui selain kesan terhadap alam sekitar, El Nino 2026 ini boleh meningkatkan risiko kesihatan dengan menyumbang kepada penyakit berjangkit, kekurangan air bersih dan kekurangan zat makanan.

“Ia boleh menjejas vektor pembawa penyakit dan mencetuskan kemarau, yang berpotensi menyebabkan kekurangan bekalan air bersih dan makanan.

“Keadaan ini akhirnya menjejas kesihatan awam,” kata Encik Agus dalam satu webinar mengenai persediaan menghadapi krisis kesihatan dan tindak balas terhadap kesan El Nino di Jakarta.

Menurutnya, Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah memerlukan tahap kesiapsiagaan lebih tinggi kerana wilayah tersebut kerap menjadi kawasan berlakunya kebakaran hutan dan tanah.

Keperluan itu turut mengambil kira masalah kesihatan akibat jerebu yang pernah menjejas ratusan ribu penduduk, malah pada suatu ketika, melebihi sejuta orang, semasa kebakaran besar hutan dan tanah berlaku pada 2015, 2019 dan 2023.

Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofizik (BMKG) Indonesia meramalkan musim hujan 2026-2027 akan bermula lebih lewat daripada biasa dan lebih singkat.

Ketua BMKG, Encik Teuku Faisal Fathani, berkata pada 22 September bahawa keadaan itu berpunca daripada gabungan El Niño dan Lautan Hindi Dwikutub (IOD) iaitu fenomena iklim yang melibatkan perbezaan suhu permukaan laut antara bahagian barat dengan timur Lautan Hindi.

Kedua-dua fenomena yang berlaku serentak itu menyebabkan musim kemarau berpanjangan di sebahagian besar Indonesia.

Negara Asia Tenggara lain yang disenaraikan dalam kelompok 50 negara dengan unjuran kematian akibat cuaca panas tertinggi ialah Filipina, Vietnam, Thailand, Kemboja, Myanmar dan Malaysia.

Filipina, Vietnam dan Thailand masing-masing dijangka mencatat antara 5,000 dengan 6,500 kematian; manakala Kemboja diunjurkan mengalami sekitar 2,400 kematian; dan Myanmar 1,200. Malaysia pula dianggarkan mencatat 735 kematian akibat cuaca panas.

Penyelidik turut menggambarkan El Nino 2026 sebagai “gambaran masa depan kita” kerana cuaca panas melampau yang dialami sekarang mungkin menjadi keadaan biasa dalam tempoh kira-kira 20 tahun akan datang.

Mereka berkata unjuran itu perlu diambil kira dalam merancang pelaburan baharu dan strategi penyesuaian jangka panjang, termasuk sistem ramalan suhu yang lebih tepat serta akses lebih luas kepada teknologi penyejukan.

“Meningkatkan tindak balas kecemasan dan memastikan usaha kita disasarkan dengan lebih baik boleh menyelamatkan banyak nyawa pada 2026.

Tetapi 20 tahun dari sekarang, apabila suhu melampau hari ini menjadi keadaan biasa, kita tidak mahu sentiasa berada dalam keadaan kecemasan,” kata penulis bersama laporan itu, Profesor Tamma Carleton, yang juga Penolong Profesor di Universiti California, Berkeley.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti