Topik diikuti
Pergi ke BHkuKebakaran hutan sebab jangkitan pernafasan memuncak di Indonesia
Ribuan pekerja perubatan dihantar ke kawasan terjejas, beratus unit bantuan oksigen dibekalkan
Kebakaran hutan sebab jangkitan pernafasan memuncak di Indonesia
JAKARTA: Jangkitan pernafasan yang disebabkan oleh pencemaran kebakaran hutan di Indonesia telah meningkat lebih dua kali ganda dalam masa lebih seminggu, menurut data kementerian kesihatan negara itu pada 10 September.
Kebakaran telah marak di kawasan hutan dan tanah gambut yang luas di seluruh negara, menyebabkan pelepasan asap berbahaya meningkat mendadak, terutamanya di wilayah yang paling teruk terjejas di pulau Sumatera dan Kalimantan.
Musim kebakaran hutan pada tahun ini adalah yang paling teruk dalam tempoh 11 tahun apabila keadaan cuaca “super-El Niño” meningkatkan suhu dan menyebabkan kemarau yang teruk.
Pelepasan akibat kebakaran dari negara itu kini menyumbang sebanyak sepertiga daripada jumlah global.
Bilangan orang yang menghidap penyakit pernafasan berkaitan kebakaran hutan meningkat kepada 113,336 setakat 9 September, berbanding 50,891 pada 1 September, menurut angka yang dibentangkan oleh jurucakap kementerian kesihatan, Cik Widyawati, dalam satu sidang akhbar.
Lebih daripada 12.5 juta orang telah terdedah kepada jerebu yang disebabkan oleh kebakaran merentasi tujuh wilayah, tambah Cik Widyawati, yang hanya menggunakan satu nama.
Hampir sejuta pelitup muka dan beratus-ratus unit bantuan oksigen telah dihantar untuk membantu penduduk menghadapi pencemaran, dan beribu pekerja perubatan telah ditempatkan di kawasan yang terjejas, katanya.
“Proses menempatkan kakitangan perubatan tambahan dan pelbagai bekalan sedang berjalan. Kami akan terus memantau kawasan mana yang memerlukan lebih banyak pekerja penjagaan kesihatan dan menghantar mereka ke sana,” tambah beliau.
Singapura dan Malaysia juga telah mencatatkan tahap mutu udara yang tidak sihat disebabkan oleh jerebu merentas sempadan.
Untuk membantu Indonesia memerangi kebakaran tersebut, Jepun telah menghantar tiga buah helikopter CH-47 Chinook dan mula menjalankan penerbangan percubaan pada 10 September, kata Encik Berton Panjaitan, jurucakap agensi mitigasi bencana Indonesia.
Helikopter tersebut akan membantu operasi pengeboman air oleh pihak tentera Indonesia yang bermula sama ada pada 11 September atau 12 September di Kalimantan Barat, Borneo, katanya.
Malaysia, yang berkongsi sempadan darat dengan Indonesia di Borneo, juga telah menawarkan bantuan dengan keupayaan memadam kebakaran dari udara, menurut surat daripada menteri alam sekitar negara itu kepada rakan sejawatannya di Indonesia.
Encik Panjaitan berkata Jakarta sedang menjalankan penyelarasan antara agensi untuk membincangkan tawaran Malaysia itu.
Berdasarkan data pemerintah dari Januari hingga Julai tahun ini, kebakaran telah memusnahkan sekitar 202,000 hektar tanah.
Yayasan Konservasi Alam Nusantara (YKAN) telah menganggarkan bahawa 600,000 hektar tanah lagi telah rosak akibat kebakaran pada Ogos. – Reuters.

