Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia, India perkukuh hubungan melalui pemulihan Candi Prambanan
Indonesia, India perkukuh hubungan melalui pemulihan Candi Prambanan
Projek pemulihan antara 16 perjanjian dua hala yang diumum kedua-dua pemimpin dalam sidang media bersama di Istana Presiden di Jakarta
Indonesia, India perkukuh hubungan melalui pemulihan Candi Prambanan
Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, mengakhiri lawatan tiga harinya ke Indonesia pada 8 Julai lalu dengan mengunjungi Prambanan, kompleks candi Hindu terbesar di negara itu, dan melancarkan projek pemulihan candi berkenaan bersama Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto.
Projek itu adalah antara 16 perjanjian dua hala yang diumumkan kedua-dua pemimpin dalam sidang media bersama di Istana Presiden di Jakarta pada 7 Julai.
Encik Modi menyuarakan keyakinan bahawa projek itu dapat disiapkan lebih awal daripada jadual.
Beliau turut memuji Encik Prabowo, sebagai bekas tentera, atas strateginya merancang projek pemulihan tersebut.
Menurut Encik Modi, beliau menjangka akan kembali ke Indonesia dalam tempoh tiga tahun untuk merasmikan siapnya projek pemulihan itu bersama Encik Prabowo.
Beliau turut menjangka jumlah pelancong dari India akan meningkat dengan ketara selepas kerja pemulihan bersama itu selesai.
“Sahabat saya, Presiden Prabowo, juga meminta saya berjanji bahawa kita akan menyiapkan kerja ini sebelum 2029, dan saya perlu membuat lawatan semula ke Indonesia untuk merasmikan kompleks candi ini selepas pemulihan,” kata Encik Modi.
“Di hadapan anda semua, izinkan saya mengulangi janji saya: Dengan usaha bersama, kita akan menyiapkan kerja ini sebelum 2029 dan bersama-sama meraikan pemulihan serta perasmiannya sebagai satu perayaan besar.”
Sebelum melawat candi itu untuk melancarkan projek berkenaan, Encik Prabowo membawa Encik Modi meninjau kompleks candi tersebut dari udara dengan menaiki helikopter.
Dalam ucapannya, Encik Prabowo berkata lawatan Encik Modi menyerlahkan kedudukan candi itu sebagai lambang hubungan kukuh antara tamadun Indonesia dengan India yang terjalin sejak lebih 1,000 tahun lalu.
Beliau berkata perkara itu dapat dilihat pada ukiran Ramayana di dinding candi, yang menurutnya “menjadi bukti hubungan ketamadunan yang erat antara dua negara kita”.
“Pada kesempatan yang baik ini, saya menyambut baik perjanjian mengenai pemuliharaan dan pemulihan Kompleks Candi Prambanan antara pemerintah Republik Indonesia dengan pemerintah Republik India,” kata Encik Prabowo.
Projek pemulihan itu tertangguh selama empat tahun sejak projek terakhir bagi memulihkan candi penjaga, juga dikenali sebagai candi perwara, disiapkan pada 2022.
Program pemuliharaan itu akan dilaksanakan melalui pemulihan 224 candi perwara, atau candi sampingan, dalam kompleks Candi Prambanan.
Usaha pemuliharaan itu akan menggunakan pendekatan saintifik, termasuk kajian arkeologi, dokumentasi digital, pembinaan semula berasaskan kecerdasan buatan (AI), pertukaran pengetahuan dan peningkatan keupayaan pemuliharaan antara kedua-dua negara.
Ketua Agensi Muzium dan Warisan Budaya (MCB), Cik Esti Nurjadin, sebagai pemilik aset Kompleks Candi Prambanan, berkata kerjasama pemuliharaan antara Indonesia dengan India akan dilaksanakan sambil mengekalkan nilai yang menjadikan Prambanan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Badan PBB itu mengiktiraf Candi Prambanan sebagai Tapak Warisan Dunia pada 1991.
“Semua kerja akan mengutamakan keaslian, integriti dan pendekatan saintifik.
“Selain itu, kejayaan kerjasama ini bukan sahaja akan diukur berdasarkan jumlah candi sampingan yang dipulihara, bahkan juga melalui peningkatan keupayaan pemulihara Indonesia, pembangunan amalan pemuliharaan berasaskan sains dan pemeliharaan nilai warisan dunia Prambanan,” kata Cik Esti.
Prambanan dibina pada abad kesembilan dan terletak di Kabupaten Sleman, 17 kilometer ke timur Yogyakarta, di sempadan pentadbiran wilayah itu dengan Jawa Tengah.
Awal 2026 ini, India menghantar pasukan daripada Jabatan Arkeologi India (ASI) untuk membuat lawatan awal ke kompleks candi itu bagi menilai projek pemulihan tersebut.
