Topik diikuti
Pergi ke BHkuTanglung Vesak di Borobudur cermin toleransi antara agama di Indonesia
Tanglung Vesak di Borobudur cermin toleransi antara agama di Indonesia
Di tengah-tengah dunia yang kian terpolarisasi akibat isu agama dan identiti, suasana di Borobudur memperlihat naratif berbeza mengenai hubungan antara agama di Indonesia
Tanglung Vesak di Borobudur cermin toleransi antara agama di Indonesia
MAGELANG: Ribuan tanglung kertas yang dilepaskan ke langit malam di Candi Borobudur bukan sekadar simbol sambutan Hari Vesak.
Ia turut menjadi gambaran bagaimana Indonesia cuba menampilkan dirinya sebagai negara Muslim terbesar dunia yang tetap meraikan kepelbagaian agama dan budaya secara terbuka.
Cahaya jingga daripada tanglung yang berterbangan di ruang udara Magelang, Jawa Tengah, pada malam 31 Mei mencipta suasana penuh simbolik di atas Candi Borobudur, kuil Buddha terbesar dunia yang juga tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Sambutan Hari Vesak 2570 Tahun Buddha kali ini bukan sahaja menghimpunkan anggota masyarakat beragama Buddha tempatan dan antarabangsa, malah menarik kehadiran masyarakat pelbagai agama termasuk umat Islam yang merupakan majoriti penduduk Indonesia.
Di tengah-tengah dunia yang semakin terpolarisasi akibat isu agama dan identiti, suasana di Borobudur memperlihatkan naratif berbeza mengenai hubungan antara agama di Indonesia.
Walaupun penganut Buddha di Indonesia hanya sekitar 1.99 juta orang atau 0.72 peratus daripada keseluruhan penduduk negara itu, sambutan Vesak tetap berlangsung secara besar-besaran dengan sokongan pelbagai pihak termasuk pemerintah dan masyarakat umum.
Apa yang lebih menarik perhatian ialah bagaimana acara tersebut disusun tanpa menjejas amalan agama masyarakat Islam yang turut hadir dalam kapasiti berbeza sebagai pengunjung, petugas keselamatan, sukarelawan dan kakitangan acara.
Sepanjang hari, bacaan mantera sami Buddha dihentikan seketika apabila azan berkumandang dari masjid berhampiran.
Di sebuah surau kecil berhampiran kawasan pelepasan tanglung, pengunjung dan petugas mengambil peluang menunaikan solat maghrib sebelum acara tersebut bersambung.
Perkara itu mungkin kelihatan kecil, namun, bagi ramai pemerhati, ia membawa makna besar dalam konteks masyarakat majmuk Indonesia.
Ketua Pegawai Eksekutif, InJourney Destination Management, Cik Febrina Intan, berkata:
“Sambutan ini mesti inklusif. Borobudur bukan hanya milik penganut Buddha semata-mata. Ia milik semua rakyat Indonesia.”
Kenyataan itu mencerminkan usaha Indonesia membina identiti kebangsaan yang menekankan konsep hidup bersama walaupun berbeza agama dan budaya.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Indonesia berdepan cabaran berkaitan polarisasi agama dan peningkatan pengaruh kelompok konservatif.
Namun, acara seperti Vesak di Borobudur sering dijadikan contoh bagaimana nilai toleransi masih mempunyai ruang kuat dalam masyarakat.
Cik Febrina turut menceritakan bagaimana sami Buddha dari Indonesia, Thailand, Laos dan Malaysia disambut mesra masyarakat lain sepanjang perjalanan kerohanian mereka sejauh 666 kilometer dari Bali ke Borobudur.
“Ini menunjukkan bagaimana kita saling menghormati tanpa mengira latar belakang agama,” katanya.
Sami dari Malaysia, Encik Phra Pijananda Analayo, yang menyertai perjalanan tersebut berkata pengalaman sepanjang perjalanan amat positif walaupun rombongan terpaksa berjalan dalam cuaca panas tropika selama hampir 20 hari.
“Suasana sentiasa meriah sepanjang perjalanan kami. Masyarakat Indonesia daripada pelbagai agama menyambut kami di sepanjang laluan,” katanya.
Menurut beliau, rombongan sami bermalam di kuil-kuil sepanjang perjalanan sebelum menaiki feri dari Bali ke Jawa Timur untuk meneruskan perjalanan ke Borobudur.
Sambutan Vesak kali ini turut memperlihatkan bagaimana acara keagamaan kini menjadi sebahagian daripada diplomasi budaya Indonesia.
Selain sami dan penganut Buddha, ramai pelancong asing hadir menyaksikan upacara tersebut termasuk dari Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Tenggara.
Seorang jurulatih yoga dari Ohio di Amerika, Encik Brent Coldiron, berkata pengalaman menyertai sambutan Vesak di Borobudur memberi kesan mendalam kepadanya.
“Saya sangat menghargai ajaran Buddha tentang melepaskan keterikatan, mempunyai harapan dan mencipta kebahagiaan untuk semua,” katanya kepada Berita Harian.
Menurutnya, antara mantera kegemarannya adalah. ‘Lokah Samastah Sukhino Bhavantu’ yang bermaksud ‘semoga semua makhluk sentiasa bahagia dan bebas’.
Kehadiran tokoh politik utama Indonesia turut menunjukkan kepentingan simbolik sambutan tersebut.
Naib Presiden Indonesia, Encik Gibran Rakabuming Raka, bersama beberapa menteri termasuk Menteri Agama, Encik Nasaruddin Umar, hadir menyertai pelepasan tanglung di Borobudur.
Encik Gibran menggesa masyarakat Buddha agar terus menjadi pelopor keamanan dan memperkukuh toleransi antara agama sebagai asas pembangunan negara.
“Malam sambutan Vesak di Borobudur ini bukan sekadar perayaan agama, malah simbol kuat bahawa Indonesia ialah rumah bersama yang menjunjung keamanan dan menghargai kepelbagaian,” katanya.
Presiden Prabowo Subianto pula dalam ucapan video berkata semangat Vesak 2026 ini perlu menjadi inspirasi kepada rakyat Indonesia agar terus mengutamakan dialog, persaudaraan dan keharmonian.
“Semangat Vesak tahun ini (2026) harus memberi inspirasi kepada kita semua supaya terus memperkukuh persaudaraan, menyebarkan kebaikan dan menjaga keharmonian dalam kehidupan berbangsa dan bernegara,” ujarnya.
Menteri Agama, Encik Nasaruddin Umar, berkata sambutan Vesak di Borobudur mencerminkan tahap keharmonian agama yang tinggi di Indonesia.
Beliau merujuk kepada Indeks Kerukunan Umat Beragama (KUB) Indonesia yang kini berada pada skor 77.89, tertinggi sejak kajian itu diperkenalkan pada 2015.
“Ini menunjukkan perpaduan sosial dan toleransi antara agama di Indonesia berada dalam keadaan sangat sihat,” katanya.
Namun di sebalik gambaran positif itu, pemerhati turut melihat sambutan Vesak di Borobudur sebagai peringatan bahawa keharmonian agama tidak boleh dianggap sesuatu yang kekal tanpa usaha berterusan.
Dalam era media sosial dan politik identiti yang semakin kuat, simbol toleransi seperti di Borobudur menjadi penting bukan sahaja untuk Indonesia, bahkan juga sebagai mesej kepada dunia bahawa kepelbagaian masih boleh dirai tanpa konflik.
Di bawah langit malam Borobudur yang dipenuhi ribuan tanglung, Indonesia cuba menunjukkan bahawa perbezaan agama bukan penghalang untuk membina rasa kebersamaan sebagai sebuah negara.
