JAKARTA: Menjelang Aidilfitri 2025, Badan Makanan Nasional Indonesia (Bapanas) memperhebat Gerakan Makanan Murah (GPM) bagi memastikan kestabilan harga dan ketersediaan bahan makanan asas kepada rakyat di seluruh negara.
Ketua Bapanas, Encik Arief Prasetyo Adi, berkata sebanyak 2,158 operasi GPM telah dilaksanakan dari awal Januari hingga Mac 2025 melibatkan 31 wilayah dan 205 daerah dan kota.
Inisiatif itu memberi tumpuan kepada pengedaran barangan asas seperti beras, minyak masak dan cili api pada harga yang ditetapkan pemerintah.
“Kami komited memastikan rakyat memperoleh bahan makanan bermutu dengan harga mampu milik,” tegas Encik Arief pada 23 Mac.
Beliau turut memaklumkan bahawa inflasi makanan kekal dalam julat yang terkawal.
Menurut data Badan Pusat Statistik (BPS), inflasi makanan tidak menentu pada Februari berada pada 0.56 peratus manakala inflasi teras kekal pada 2.48 peratus.
Inflasi beras pula hanya mencatatkan kenaikan bulanan sebanyak 0.26 peratus.
Keadaan bekalan makanan strategik juga berada dalam keadaan baik, sekali gus memberikan jaminan kestabilan harga sehingga sambutan Aidilfitri yang dijangka pada 31 Mac ini.
Sementara itu, Menteri Pertanian, Encik Andi Amran Sulaiman, memberi jaminan bahawa stok makanan negara berada dalam keadaan selamat, dengan stok beras mencecah 2.2 juta tan – tertinggi dalam tempoh lapan tahun.
Beliau turut mengumumkan bahawa harga komoditi yang sebelum ini melonjak seperti cili, kini mula stabil.
“Pemerintah menjamin kestabilan harga dan bekalan makanan mencukupi menjelang Aidilfitri,” ujar beliau semasa menyertai Bazar Makanan Murah di Universiti Indonesia, Depok, pada 22 Mac.
Bazar tersebut hasil kerjasama antara Kementerian Pertanian dengan Ikatan Alumni Universiti Indonesia (Iluni UI), yang dianggap sebagai usaha prihatin untuk membantu masyarakat sekitar memperoleh barangan keperluan asas pada harga rendah.
“Inisiatif seperti ini perlu diperluas ke universiti lain untuk memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat,” tambah Encik Andi.
Sementara itu, Kementerian Pengangkutan pula sedang bersiap siaga menghadapi gelombang mudik atau pulang ke kampung sempena Aidilfitri 2025.
Menterinya, Encik Dudy Purwagandhi, menegaskan bahawa pelan menyeluruh telah dirancang bagi memastikan perjalanan rakyat berlangsung lancar dan selamat.
“Kami akan pastikan sistem pengangkutan darat, udara dan laut beroperasi dengan baik dan selamat sepanjang tempoh Aidilfitri,” kata Encik Dudy semasa lawatan ke Pelabuhan Merak di Banten.
Sebanyak 30,451 bas, 772 kapal, 404 pesawat dan 2,550 kereta api akan digunakan.
Semua kenderaan ini akan melalui pemeriksaan keselamatan secara menyeluruh.
Selain itu, pusat maklumat dan pos kawalan Aidilfitri akan beroperasi 24 jam untuk memantau semua mod pengangkutan.
Pemerintah turut melaksanakan pelbagai insentif seperti perjalanan balik kampung percuma, potongan tambang penerbangan 13-14 peratus (24 Mac hingga 7 April), diskaun tol 20 peratus dan diskaun tiket kereta api hingga 25 peratus pada tarikh terpilih.
Presiden Prabowo Subianto dalam mesyuarat Kabinet pada 21 Mac lalu, menegaskan pentingnya perancangan rapi dalam pengurusan pergerakan rakyat sempena Aidilfitri.
“Saya mahu kelancaran perjalanan di semua laluan – darat, udara, rel dan laut – dikendalikan dengan penuh tanggungjawab,” tegas Presiden Prabowo.
Dengan gabungan usaha antara agensi pemerintah, sektor swasta dan masyarakat sivil, pemerintah Indonesia menunjukkan iltizam untuk menjadikan Ramadan dan Aidilfitri 2025 lebih tenang dan sejahtera buat semua. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg