JAKARTA: Rakyat Indonesia memasuki Ramadan dengan harga makanan melambung di tengah-tengah peningkatan permintaan.
Pakar ekonomi meramalkan kenaikan selanjutnya dalam tempoh dua bulan akan datang, tetapi pemerintah berusaha untuk memberi jaminan kepada orang ramai bahawa ia akan memastikan bahan makanan asas mampu dimiliki.
Sehingga 8 Mac, empat hari sebelum Ramadan, harga beras bermutu pertengahan meningkat hampir 10 peratus kepada Rp 16,000 ($1.38) sekilogram, menurut data Bank Indonesia (BI) bagi Makanan Strategik Nasional.
Harga itu kekal melebihi paras yang ditetapkan pemerintah iaitu Rp 10,900 hingga Rp 11,800 setiap kilogram sejak 2023, apabila fenomena El Niño membawa kemarau dan kelewatan penuaian ke beberapa bahagian negara.
Harga lada cili meningkat paling tinggi pada 2024 daripada makanan ruji utama yang dipantau oleh BI, meningkat 12 peratus setakat Jumaat, 8 Mac.
Ia diikuti oleh telur, naik 11 peratus; minyak masak pukal, naik 10 peratus; dan ayam, naik 6 peratus.
Setiausaha Badan Makanan Nasional (Bapanas), Dr Gusti Ketut Astawa, memberitahu The Jakarta Post bahawa bekalan makanan penting seperti beras, ayam, daging lembu, bawang, bawang merah dan lada cili adalah “lebih daripada mencukupi” untuk memenuhi permintaan.
“Kami mempunyai stok makanan yang mencukupi untuk Ramadan, Aidilfitri dan bulan-bulan berikutnya,” kata Dr Gusti.
Agensi itu menjangkakan harga beras akan jatuh ke paras “mencukupi” semasa musim menuai yang akan memuncak pada April, katanya, sambil menambah bahawa telur sepatutnya mencatat harga yang sama.
Harga beras biasanya menjadi pengaruh terbesar inflasi makanan di Indonesia.
Agensi itu, katanya, sedang bekerjasama dengan pemerintah pusat dan pentadbiran tempatan untuk mengurangkan kenaikan harga dalam beberapa minggu akan datang, termasuk melalui program makanan berkos rendah dan memperbaiki pengagihan makanan dan penanaman tumbuhan.
“Kami meminta petani menanam cili lebih awal supaya harga turun,” kata Dr Gusti.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg