Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia langkah ke era kod jenayah baru, tamat era kolonial Belanda

Jan 12, 2026 | 5:30 AM
Indonesia, kod jenayah baru, sistem keadilan moden
Aktivis berhimpun membantah di luar bangunan Parlimen Indonesia dalam foto fail bertarikh Disember 2022, ketika Kod Jenayah baru dijadual diluluskan di Parlimen Indonesia, Jakarta, pada 5 Disember. - Foto REUTERS

JAKARTA: Pelaksanaan Kod Jenayah (KUHP) dan Kanun Tatacara Jenayah (Kuhap) baru Indonesia yang berkuat kuasa pada 5 Januari 2026 menandakan satu titik perubahan besar dalam sejarah sistem keadilan negara itu.

Pemerintah menyifatkan langkah itu sebagai “bersejarah” dan sebagai penamat kepada rangka perundangan era kolonial Belanda yang telah lama dianggap tidak lagi sejajar dengan kehidupan sosial, budaya dan politik Indonesia moden.

Namun, di sebalik naratif pembaharuan dan kemanusiaan yang diketengahkan, pelaksanaan undang-undang baru itu turut mencetuskan perdebatan hangat mengenai implikasinya terhadap kebebasan awam dan ruang demokrasi.

Menteri Penyelaras Undang-Undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Pemasyarakatan, Encik Yusril Ihza Mahendra, menyifatkan pelaksanaan KUHP yang baru itu sebagai “permulaan era sistem keadilan yang lebih berperikemanusiaan, moden dan adil, berakar pada budaya Indonesia”.

“Kita secara rasmi meninggalkan sistem undang-undang jenayah kolonial dan melangkah ke arah sistem yang lebih selaras dengan nilai masyarakat Indonesia hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Akhiri bayang-bayang kolonial

Indonesia mengambil masa lebih enam dekad untuk menggantikan Kod Jenayah warisan Belanda, dan hampir 45 tahun untuk menyemak semula Kuhap.

Usaha panjang itu mencerminkan betapa kompleksnya tugas menyeimbangkan hak asasi manusia, norma agama, tradisi tempatan dengan tuntutan demokrasi dalam negara berpenduduk Muslim terbesar di dunia.

Kod Jenayah setebal 345 muka surat itu diluluskan Parlimen pada 2022, di bawah pentadbiran mantan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, dengan tempoh peralihan selama tiga tahun sebelum dikuatkuasakan.

Menurut pemerintah, pendekatan berperingkat itu bertujuan memberi masa kepada institusi penguatkuasaan, badan kehakiman dan masyarakat awam menyesuaikan diri.

Encik Yusril menegaskan undang-undang lama bersifat “terlalu menindas, menekankan pemenjaraan dan kurang memberi perhatian kepada keadilan pemulihan serta perlindungan hak asasi manusia”.

Dalam konteks ini, beberapa peruntukan baru dilihat sebagai langkah ke hadapan.

Antaranya ialah pengembangan hukuman bukan pemenjaraan seperti khidmat masyarakat, pemantauan dan pemulihan perubatan, khususnya bagi pesalah dadah.

Langkah itu disambut baik oleh Institut Pembaharuan Keadilan Jenayah (ICJR) yang melihatnya sebagai usaha mengurangkan kesesakan penjara khususnya bagi kesalahan tertentu yang tidak melibatkan keganasan dan menjadikan hukuman lebih bersesuaian dengan kesalahan.

Menurut Encik Yusril, perubahan itu mencerminkan anjakan falsafah daripada pendekatan menghukum semata-mata kepada pemulihan dan penyepaduan sosial.

Sistem baru itu memberi ruang kepada hukuman yang lebih seimbang dan berperikemanusiaan dengan mengambil kira kepentingan mangsa, pelaku dan masyarakat, katanya.

Dalam kerangka ini, Kod Jenayah baru dilihat bukan sekadar menggantikan undang-undang kolonial, malah, turut cuba menyesuaikan sistem hukuman dengan realiti sosial semasa serta prinsip keadilan yang lebih bersifat terangkum.

Kebimbangan terhadap kebebasan bersuara

Namun, tidak semua pihak yakin pembaharuan itu akan benar-benar memperkukuh demokrasi.

Peruntukan yang menjadikan penghinaan terhadap presiden, naib presiden dan institusi negara sebagai kesalahan jenayah, walaupun hanya boleh diambil tindakan melalui aduan, terus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengkritik.

Menteri Undang-Undang, Encik Supratman Andi Agtas, menegaskan bahawa undang-undang baru masih membenarkan kritikan terhadap pemimpin negara.

“Kita perlu membezakan antara kritikan dengan penghinaan,” katanya, sambil menambah bahawa garis panduan ketat telah dikeluarkan kepada penguat kuasa.

Timbalan Menteri Undang-Undang, Encik Edward Hiariej, pula mempertahankan peruntukan mewajibkan pemberitahuan awal kepada polis bagi tunjuk perasaan di jalanan, sambil menegaskan ia bukan mekanisme permit.

“Ia soal pengurusan awam. Pemberitahuan perlu supaya polis boleh merancang dan melindungi hak pengguna jalan raya lain,” katanya, merujuk kepada kejadian ambulans terperangkap akibat bantahan mengejut di Sumatera Barat.

Pendekatan itu, menurutnya, bertujuan mengimbangi kebebasan bersuara dengan kepentingan awam.

Walaupun begitu, kumpulan hak asasi tetap ragu.

Amnesty International Indonesia menyifatkan KUHP sebagai “tamparan besar” terhadap kebebasan awam.

Pengarah Eksekutifnya, Encik Usman Hamid, memberi amaran peruntukan yang terlalu luas boleh membuka ruang penyalahgunaan kuasa.

“Undang-undang ini berpotensi menghalang bantahan aman dan menjadikan kritikan yang sah terhadap pemerintah sebagai kesalahan jenayah,” katanya.

Gabungan Masyarakat Sivil bagi Reformasi Kuhap pula berpendapat kod baru memperluas kuasa polis tanpa pengawasan kehakiman yang mencukupi, khususnya dalam soal penahanan dan siasatan awal.

Namun, pemerintah menolak dakwaan proses penggubalan tidak telus.

Sesi runding libat banyak pihak

Encik Supratman menegaskan bahawa pelbagai universiti serta kumpulan masyarakat sivil telah diadakan sesi perundingan sepanjang proses tersebut.

“Kami melibatkan hampir semua fakulti undang-undang dan gabungan masyarakat sivil. Ini adalah penglibatan awam yang bermakna,” katanya.

Satu aspek penting yang sering diketepikan dalam perdebatan adalah iltizam pemerintah untuk menilai semula pelaksanaan undang-undang itu.

Encik Yusril menyifatkan penguatkuasaan KUHP dan Kuhap sebagai “permulaan kepada penilaian berterusan”.

“Pemerintah terbuka menerima maklum balas masyarakat sivil bagi memastikan sistem keadilan yang saksama, berperikemanusiaan dan berdaulat,” katanya.

Pandangan itu turut dikongsi beberapa sarjana undang-undang yang melihat pembaharuan itu bukan sebagai produk akhir, tetapi sebagai rangka asas yang boleh diperbaiki melalui amalan, semakan kehakiman dan tekanan masyarakat awam.

Profesor Sulistyowati Irianto dari Universiti Indonesia menegaskan bahawa kunci sebenar terletak pada cara undang-undang dilaksanakan.

“Dalam negara berasaskan undang-undang, rakyat mesti dilindungi daripada tindakan sewenang-wenangnya.

“Soalnya bukan hanya apa yang tertulis, tetapi bagaimana kuasa itu digunakan,” katanya.

Pelaksanaan Kod Jenayah baru Indonesia menandakan usaha serius untuk keluar daripada bayang-bayang kolonial dan membina sistem keadilan yang lebih sesuai dengan identiti nasional.

Ia membawa bersama pembaharuan penting seperti hukuman alternatif, pendekatan pemulihan dan mekanisme aduan terhad bagi isu sensitif.

Namun, pada masa yang sama, kebimbangan terhadap kebebasan bersuara, hak berhimpun dan pengawasan kuasa penguatkuasaan tidak boleh dipandang ringan.

Dalam hal ini, kejayaan sebenar pembaharuan undang-undang Indonesia tidak hanya bergantung pada teks undang-undang, tetapi pada komitmen politik, kebebasan kehakiman dan keberanian masyarakat sivil untuk terus mengawasi pelaksanaannya.

Seperti yang ditegaskan Encik Yusril, reformasi itu adalah “permulaan”.

Sama ada ia benar-benar membawa Indonesia ke arah sistem keadilan yang lebih berperikemanusiaan dan demokratik, atau sebaliknya, akan ditentukan oleh cara negara itu mengurus keseimbangan antara kuasa dengan kebebasan dalam tahun-tahun mendatang. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg