Indonesia larang kanak-kanak bawah 16 tahun guna media sosial

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia larang kanak-kanak bawah 16 tahun guna media sosial

Mar 6, 2026 | 6:54 PM

Indonesia larang kanak-kanak bawah 16 tahun guna media sosial

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
media sosial, kanak-kanak, Indonesia
Seorang kanak-kanak menggunakan telefon pintar ketika pemerintah Indonesia mengumumkan larangan akses media sosial bagi pengguna bawah 16 tahun. Langkah yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 28 Mac 2026 itu bertujuan melindungi kanak-kanak daripada ancaman dalam talian seperti pornografi, buli siber, penipuan internet dan ketagihan digital. - Foto REUTERS

JAKARTA: Pemerintah Indonesia mengumumkan larangan akses media sosial kepada kanak-kanak berusia bawah 16 tahun sebagai langkah melindungi mereka daripada pelbagai ancaman di alam digital termasuk pornografi, buli siber, penipuan dalam talian dan ketagihan Internet.

Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia, Cik Meutya Hafid, berkata larangan itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 28 Mac 2026.

“Semua akaun milik kanak-kanak di bawah 16 tahun pada platform berisiko tinggi akan mula dinyahaktifkan, termasuk YouTube, TikTok, Facebook, Instagram, Threads, X, Bigo Live dan Roblox,” katanya dalam satu kenyataan pada 6 Mac.

Beliau berkata langkah itu diambil bagi membantu ibu bapa melindungi anak-anak mereka daripada risiko yang semakin meningkat di dunia digital. “Pemerintah campur tangan supaya ibu bapa tidak perlu berjuang sendirian menentang kuasa algoritma gergasi teknologi,” katanya.

Larangan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga semua platform digital mematuhi peraturan baharu yang ditetapkan pemerintah.

Menurut Cik Meutya, dasar tersebut diperkenalkan melalui Peraturan Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital No. 9 Tahun 2026 yang digubal berasaskan Peraturan Pemerintah No. 17 Tahun 2025 mengenai Tadbir Urus Sistem Elektronik untuk Perlindungan Kanak-kanak, yang dikenali sebagai PP Tunas.

Peraturan itu melarang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada memiliki akaun di platform digital yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi.

“Hari ini kami mengeluarkan peraturan menteri yang berasal daripada PP Tunas. Melalui peraturan ini, pemerintah menangguhkan akses akaun bagi kanak-kanak bawah 16 tahun di platform digital berisiko tinggi termasuk media sosial dan perkhidmatan rangkaian sosial,” katanya pada sidang media di Jakarta.

Cik Meutya mengakui bahawa pelaksanaan peraturan tersebut mungkin menimbulkan sedikit kesulitan pada peringkat awal.

Beliau berkata kanak-kanak mungkin akan mengadu atau tidak berpuas hati dengan sekatan baharu tersebut, manakala ibu bapa mungkin mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan itu.

Namun menurutnya, langkah tersebut perlu diambil bagi melindungi generasi muda daripada pelbagai ancaman digital yang semakin meluas di Indonesia.

“Kami memahami bahawa peraturan ini mungkin menyebabkan sedikit ketidakselesaan pada awalnya, tetapi kami percaya ini adalah langkah terbaik yang perlu diambil pemerintah dalam situasi kecemasan digital,” katanya.

Beliau menambah bahawa langkah itu bertujuan memastikan teknologi digunakan secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan perkembangan kanak-kanak. “Kami mahu teknologi memanusiakan manusia, bukan mengorbankan masa kanak-kanak anak-anak kita,” katanya.

Menurut Cik Meutya, Indonesia merupakan antara negara pertama di luar Barat yang memperkenalkan sekatan sedemikian terhadap akses media sosial bagi kanak-kanak.

Dasar itu bertujuan melindungi golongan bawah umur daripada pelbagai risiko dalam talian seperti pendedahan kepada kandungan lucah, buli siber, penipuan dalam talian serta penggunaan internet secara berlebihan yang boleh menyebabkan ketagihan.

Langkah tersebut juga diharap dapat mengukuhkan peranan ibu bapa dalam mengawasi aktiviti digital anak-anak mereka.

“Peraturan ini juga bertujuan memastikan keluarga tidak dibiarkan bersendirian dalam mengurus aktiviti digital anak-anak di tengah pengaruh algoritma platform teknologi yang sangat kuat,” katanya.

Walaupun larangan itu dijangka memberi kesan kepada jutaan pengguna muda di Indonesia, pemerintah menegaskan bahawa perlindungan terhadap kanak-kanak dalam persekitaran digital kini menjadi keutamaan.

Beberapa negara lain juga sedang mempertimbangkan langkah serupa. Kesatuan Eropah misalnya telah menubuhkan kumpulan pakar bagi mengkaji larangan media sosial untuk kanak-kanak, manakala Australia sebelum ini mewajibkan platform seperti TikTok, YouTube dan Snapchat memadam akaun milik pengguna bawah 16 tahun. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg