Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia perkenal latihan separa tentera untuk petugas haji

Jan 12, 2026 | 1:11 PM
Haji, umrah, Saudi
Kementerian Haji dan Umrah Indonesia mula melaksanakan program latihan bercorak separa ketenteraan bagi bakal petugas yang akan menguruskan ibadah Haji di Arab Saudi. - Foto fail

JAKARTA: Kementerian Haji dan Umrah Indonesia mula melaksanakan program latihan bercorak separa ketenteraan bagi bakal petugas yang akan menguruskan ibadah Haji di Arab Saudi, sebagai usaha menangani rungutan jemaah berkaitan masalah disiplin, kurang responsif serta kecuaian meninggalkan tugas pada musim-musim Haji sebelum ini.

Menteri Haji dan Umrah Indonesia, Encik Irfan Yusuf, berkata latihan bagi musim Haji 2026 akan berlangsung selama 30 hari, melibatkan 20 hari latihan bersemuka dan 10 hari pembelajaran dalam talian, diikuti pengukuhan tambahan secara dalam talian, khususnya dalam penguasaan bahasa Arab.

“Tanpa kekuatan fizikal dan disiplin yang tinggi, petugas tidak akan mampu melaksanakan tugas mereka dengan baik,” katanya ketika merasmikan program latihan petugas Haji di Asrama Haji Pondok Gede, Jakarta Timur, pada 11 Januari.

Program latihan petugas Haji bagi musim 2026 ini berlangsung dari 10 Januari hingga 9 Februari, melibatkan 1,554 peserta.

Pemerintah Indonesia berharap pendekatan latihan yang lebih tegas dan berstruktur ini dapat meningkatkan mutu perkhidmatan Haji, sekali gus memastikan jemaah dapat menunaikan ibadah dengan lebih selesa, selamat dan teratur.

Menurut Encik Irfan, sepanjang tempoh latihan, para peserta akan dilatih dari segi ketahanan fizikal, pembentukan disiplin, serta pengetahuan teknikal berkaitan pengurusan ibadah Haji.

Malah, sejak awal latihan, setiap peserta telah diberikan tugasan khusus, termasuk lokasi penempatan, peranan perkhidmatan dan pasukan kerja.

“Pendekatan ini memastikan setiap petugas benar-benar memahami tanggungjawab mereka sebelum berlepas ke Arab Saudi,” katanya.

Kementerian turut mengenakan tindakan tegas terhadap peserta yang melanggar peraturan latihan. Encik Irfan menegaskan bahawa peserta yang gagal mematuhi disiplin akan terus digugurkan dan tidak dibenarkan berkhidmat sebagai petugas Haji.

“Jika selepas satu atau dua amaran mereka masih ingkar, kami akan menghantar mereka pulang. Perkara sama boleh berlaku di Arab Saudi, termasuk dihantar pulang sebelum tamat tempoh tugasan,” katanya.

Antara pelanggaran yang paling dibimbangi ialah isu ketepatan masa, disiplin kerja, serta kes meninggalkan tugas ketika tempoh kritikal perkhidmatan di Tanah Suci.

Bagi mengatasi masalah komunikasi yang sering timbul sebelum ini, semua petugas turut mengikuti latihan bahasa Arab dengan bimbingan tutor khas.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pesuruhjaya VIII  Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Encik Abdul Wachid, menyifatkan pendekatan latihan separa ketenteraan itu sebagai satu langkah progresif dan tepat pada masanya.

“Disiplin petugas adalah faktor utama kejayaan pengurusan Haji. Selama ini, ada petugas yang menjalankan tugas, tetapi masih ramai yang meninggalkan tanggungjawab, dan ini mengganggu kelancaran ibadah jemaah,” katanya. Beliau menekankan kepentingan pengukuhan fizikal dan disiplin, khususnya semasa fasa paling mencabar ibadah Haji di Arafah, Muzdalifah dan Mina (Armuzna).

Dalam tempoh ini, kementerian turut menggandakan penglibatan anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Republik Indonesia (Polri) kepada 185 orang, berbanding tahun sebelumnya, bagi memastikan jemaah, terutama warga emas, sentiasa diberi perhatian.

Selain aspek disiplin dan fizikal, semua petugas turut menjalani latihan khusus berkaitan perkhidmatan mesra wanita, warga emas dan orang kurang upaya, selaras dengan keperluan jemaah yang semakin pelbagai.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Awam Pembangunan Perkhidmatan Haji dan Umrah, Encik Puji Raharjo, berkata latihan ini bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan petugas secara menyeluruh.
“Latihan petugas Haji tahun ini memberi penekanan lebih besar kepada tugasan perkhidmatan dan peranan fungsional,” katanya.

Beliau menambah, disiplin peserta diperkukuh dengan sokongan TNI dan Polri, manakala kandungan latihan merangkumi asas pengurusan Haji, penguasaan fiqh Haji, semangat khidmat serta keupayaan berkomunikasi dalam bahasa Arab.- Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg