Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indo kurangkan kos haji 2026 kepada 54.19j rupiah setiap anggota jemaah

Oct 30, 2025 | 10:28 AM
haji, indonesia
Pemerintah Indonesia mengumumkan penetapan kos purata haji 2026 di Jakarta, yang mencatat penurunan sebanyak 2 juta rupiah berbanding tahun sebelumnya. - Foto fail

JAKARTA: Pemerintah Indonesia dan Suruhanjaya VIII Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bersetuju menetapkan Biaya Perjalanan Ibadah Haji (BIPIH) bagi musim haji 2026 sebanyak 54,193,807 rupiah ($4,218) bagi setiap anggota jemaah, iaitu lebih rendah berbanding cadangan awal pemerintah.

Pengerusi Suruhanjaya VIII DPR, Encik Marwan Dasopang, berkata keputusan itu menunjukkan iltizam pemerintah dan Parlimen untuk meringankan beban kewangan bakal jemaah tanpa menjejas mutu perkhidmatan haji.

“Pengurangan ini mencerminkan usaha bersama pemerintah dan DPR untuk memastikan kos haji kekal berpatutan, namun tetap mengekalkan mutu perkhidmatan kepada jemaah,” katanya ketika mengumumkan keputusan itu pada 29 Oktober.

Dalam mesyuarat kerja bersama Kementerian Agama, pihaknya turut menetapkan Biaya Penyelenggaraan Ibadah Haji (BPIH) purata sebanyak 87,409,356 rupiah iaitu penurunan sekitar 2 juta rupiah berbanding tahun sebelumnya.

Encik Marwan menjelaskan, daripada jumlah keseluruhan BPIH itu, sebanyak 33,215,559 rupiah atau kira-kira 38 peratus ditanggung oleh Nilai Manfaat daripada Badan Pengelola Kewangan Haji (BPKH), manakala 62 peratus selebihnya dibayar jemaah.

Struktur pembiayaan ini, katanya, direka bagi mengekalkan keseimbangan antara kemampuan kewangan jemaah dengan kelestarian dana haji jangka panjang.

“Kami mengekalkan prinsip keseimbangan supaya jemaah tidak terbeban, tetapi pada masa sama dana haji tetap mampan untuk masa depan,” ujarnya.

Sebelum ini, pemerintah mencadangkan jumlah BIPIH sebanyak 54.92 juta rupiah dengan subsidi 33.48 juta rupiah bagi setiap anggota jemaah.

Namun, hasil perbincangan lanjut, angka itu disemak semula bagi meningkatkan kecekapan penggunaan dana.

Jurucakap Kementerian Agama, Encik Dahnil Anzar Simanjuntak, menjelaskan penurunan kos itu berpunca daripada langkah kecekapan, termasuk rundingan semula kadar perkhidmatan di Arab Saudi serta penambahbaikan hasil pelaburan dana haji.

“Setiap langkah penjimatan dibuat berdasarkan prinsip kecekapan dan keberkesanan, tanpa menjejas mutu layanan kepada jemaah,” katanya.

Selain kos, mesyuarat tersebut turut menetapkan beberapa butiran penting berkaitan kemudahan dan tempoh ibadah.

Rata-rata tempoh tinggal jemaah ditetapkan selama 41 hari, dengan jumlah penyediaan makanan mencukupi di setiap lokasi ibadah.

Jemaah akan menerima 84 kali makan di Makkah, 27 kali di Madinah, serta 15 kali semasa berada di Arafah, Muzdalifah, dan Mina (Armuzna).

Keputusan itu menandakan usaha berterusan pemerintah untuk menambah baik pengurusan haji, sambil memastikan keselesaan dan kesejahteraan jemaah tetap menjadi keutamaan, ujar Encik Dahnil. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg