Indonesia peruntuk 12.83 trilion rupiah rangsang perbelanjaan Ramadan, Aidilfitri
Indonesia peruntuk 12.83 trilion rupiah rangsang perbelanjaan Ramadan, Aidilfitri
Pengurangan kos perjalanan, bantuan kepada berpendapatan rendah jadi tumpuan
JAKARTA: Pemerintah Indonesia menyediakan pakej rangsangan ekonomi bernilai 12.83 trilion rupiah ($971.5 juta) bagi suku pertama 2026 bagi merancakkan perbelanjaan pengguna sepanjang Ramadan dan Aidilfitri dari Februari hingga Mac, dengan tumpuan utama kepada pengurangan kos perjalanan dan bantuan sosial kepada isi rumah berpendapatan rendah.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Encik Airlangga Hartarto, berkata pakej tersebut dirangka bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara pada tempoh awal tahun yang lazimnya mencabar.
“Kami sedang menyediakan pakej rangsangan yang mencerminkan pertumbuhan ekonomi Indonesia,” katanya ketika berucap pada Sidang Puncak Ekonomi Indonesia 2026 di Jakarta pada 3 Februari lalu.
Daripada jumlah keseluruhan peruntukan, kira-kira 200 bilion rupiah dikhususkan untuk diskaun pengangkutan, manakala sekitar 12 trilion rupiah diperuntukkan bagi bantuan sosial.
Pemerintah akan menawarkan diskaun tambang penerbangan domestik kelas ekonomi sehingga 16 peratus, menerusi insentif cukai nilai tambah yang ditanggung pemerintah.
Pengendali lapangan terbang milik negara, Angkasa Pura, akan memberikan potongan 50 peratus caj perkhidmatan lapangan terbang.
Pada masa yang sama, harga bahan api penerbangan turut diturunkan bagi membantu dalam mengurangkan kos operasi syarikat penerbangan.
Bagi pengangkutan laut dan rel, pemerintah menyediakan diskaun tambang sehingga 30 peratus, manakala diskaun tol sehingga 20 peratus akan dikenakan di laluan utama sempena musim pulang ke kampung.
Bantuan sosial akan disalurkan dalam bentuk 10 kilogram beras dan minyak masak bagi setiap isi rumah penerima untuk tempoh dua bulan.
Menurut Encik Airlangga, bantuan ini bertujuan memastikan kestabilan perbelanjaan asas rakyat ketika harga dan permintaan meningkat menjelang perayaan.
“Insentif ini akan diedarkan sepanjang tempoh Ramadan dan Aidilfitri 2026, merangkumi diskaun pengangkutan serta bantuan tambahan seperti minyak masak dan beras kepada penerima yang layak,” katanya.
Setiausaha kepada Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Encik Susiwijono Moegiarso, berkata pakej itu dirangka untuk merangsang aktiviti ekonomi dari sudut bekalan dan permintaan, seiring dengan pendekatan yang digunakan semasa perayaan Islam pada 2025 lalu.
“Kami telah mula merancang sasaran, bermula daripada kereta api, pengangkutan laut, penyeberangan feri ASDP dan perjalanan udara,” katanya seperti dipetik Bisnis.com, merujuk kepada pengendali feri milik negara PT ASDP Feri Indonesia.
Beliau menjelaskan, pengurangan sementara cukai nilai tambah pada 2025 telah menurunkan harga tiket penerbangan sekitar 13 hingga 14 peratus dan pemerintah berhasrat menurunkan harga lebih banyak pada 2026.
Pada 2025, ketika Ramadan dan Aidilfitri jatuh pada Mac, pemerintah menurunkan cukai nilai tambah ke atas tiket penerbangan kepada 5 peratus sepanjang musim puncak perjalanan.
Diskaun tol 20 peratus turut dilaksanakan di laluan utama yang digunakan jutaan rakyat dalam fenomena mudik.
Pemerintah juga memperkenalkan program diskaun beli-belah di peruncit tertentu serta campur tangan pasaran bagi mengawal harga makanan melalui tawaran barangan asas pada harga lebih rendah.
Selain itu, diskaun tarif elektrik sebanyak 50 peratus bagi tempoh Januari dan Februari turut diberikan.
Langkah ini pada asalnya bertujuan meringankan kesan rancangan kenaikan cukai nilai tambah daripada 11 kepada 12 peratus, sebelum rancangan kenaikan tersebut akhirnya dibatalkan.
Walaupun pelbagai rangsangan dilaksanakan, pertumbuhan ekonomi pada suku pertama 2025 hanya 4.87 peratus tahun ke tahun, dipengaruhi oleh kelemahan kuasa beli pengguna dan pengurangan perbelanjaan pemerintah.
Bagi mengelakkan pengulangan prestasi tersebut, pemerintah memperkenalkan insentif tambahan semasa musim cuti termasuk diskaun tol 20 peratus kepada sekitar 110 juta pemandu pada Jun dan Julai, selain diskaun perjalanan udara, rel dan laut.
Langkah susulan itu menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih kukuh pada suku kedua 2025, iaitu 5.12 peratus, yang menurut pemerintah sebahagiannya didorong oleh lonjakan permintaan hasil rangsangan.
Pada suku keempat, pemerintah melancarkan pakej rangsangan bernilai 46.2 trilion rupiah, termasuk bantuan tunai langsung kepada 35.05 juta isi rumah, bantuan sosial berterusan melalui Program Keluarga Harapan dan skim bantuan makanan, serta program latihan industri nasional untuk 100,000 graduan universiti.
Secara keseluruhan, lebih 100 trilion rupiah dibelanjakan bagi langkah rangsangan sepanjang 2025. Baki peruntukan kini difokuskan kepada menyokong mobiliti menjelang Lebaran 2026, termasuk diskaun tambang penerbangan domestik sekitar 16 peratus, pengurangan cukai lapangan terbang 50 peratus, diskaun bahan api penerbangan, potongan 30 peratus bagi pengangkutan laut dan rel, serta diskaun tol 20 peratus.
Dengan pakej terbaru ini, Encik Airlangga berharap aktiviti ekonomi akan dipercepatkan pada awal 2026.
“Suku pertama sangat penting. Pada 2025, prestasi suku pertama agak lemah,” katanya.
Mengulas sumber pembiayaan, beliau menegaskan peruntukan mencukupi telah disediakan.
“Indonesia mempunyai sumber yang mencukupi, jangan bimbang,” katanya. – Agensi berita.

