Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jakarta, Bandung tarik minat warga S’pura belanja kelengkapan Raya

Rekaan pakaian pelbagai, harga murah antara faktor tarik pembeli ke kota Indonesia
Jan 18, 2026 | 5:30 AM
jakarta, bandung, shopping raya, baju raya, kuih raya, whoosh
Pusat beli-belah Thamrin City di Jakarta. - Foto BM oleh NUR HUMAIRA SAJAT

Menjelang beberapa minggu sebelum Ramadan, ramai keluarga sudah mula membuat persiapan Raya, malah ada yang telah menentukan warna tema untuk pakaian sedondon.

Selain pilihan tempatan yang pelbagai, semakin ramai pelancong turut memilih destinasi luar negara dengan menggabungkan percutian singkat bersama kegiatan membeli-belah untuk Raya.

Antara destinasi yang semakin menawan hati warga Singapura ialah Jakarta dan Bandung di Indonesia, lapor beberapa peniaga Indonesia dan pembeli peribadi dari Singapura yang ditemu bual Berita Minggu (BM).

Kepelbagaian rekaan yang lebih luas serta harga lebih dimampui antara faktor utama yang menarik pembeli ke kota-kota Indonesia tersebut.

Ditemui BM, Encik M Ali, seorang peniaga di Thamrin City, Jakarta, menyatakan bahawa kunjungan orang Melayu dari Singapura dan Malaysia ke pusat beli-belah itu meningkat 30 peratus sepanjang 2025 berbanding 2024.

Lima bulan menjelang Hari Raya khususnya, merupakan tempoh yang paling sibuk, ujar pemilik kedai baju Delisa Kebaya yang sudah berniaga selama sembilan tahun di situ.

Beliau mengaitkan peningkatan sambutan pelanggan dari luar negara ini dengan kebangkitan ekonomi Indonesia selepas pandemik Covid-19, serta pengaruh media sosial yang memaparkan kerancakan pengalaman membeli-belah di sana.

Perkembangan ini selari dengan data Skyscanner, wadah tempahan perjalanan, yang menunjukkan lonjakan carian ‘Jakarta’ dari minggu ke minggu, sebulan sebelum Ramadan.

Sebagai contoh, sehingga 5 Januari, carian ‘Jakarta’ mencatat kenaikan sebanyak 16 peratus berbanding tujuh hari sebelumnya, menurut Skyscanner.

Antara pelanggan yang telah ke Jakarta baru-baru ini untuk bercuti sambil membeli-belah ialah Cik Dayana Azmi, 25 tahun, yang terdorong ke sana setelah mencedok ilham daripada perkongsian pengunjung lain di TikTok.

“Di situ memang banyak pilihan yang susah nak jumpa di Singapura... gaya kebaya di sana pun berbeza dengan yang biasa dilihat di Malaysia.

“Kebaya sulam bermacam-macam rekaan, kain batik pun berlambak.

“Ia pengalaman yang menyeronokkan tetapi mengelirukan pada mulanya kerana pusat beli-belah itu sangatlah luas.

“Nasib baik ada TikTok di mana saya boleh rujuk kepada lokasi kedai tertentu,” ujarnya yang berkunjung ke Thamrin City.

Guru tersebut menambah Jakarta menawarkan pilihan berbeza yang tentu sekali dapat menepati bajet setiap individu.

Selain pilihan murah yang semestinya banyak, ada juga kebaya sulam bermutu tinggi yang harganya agak mahal hingga mencecah 5 juta rupiah ($382), kongsinya.

Bapa dua anak, Encik Muhammad Syafiq Norman, 35 tahun, juga telah ke Jakarta baru-baru ini untuk bercuti bersama keluarganya.

Pegawai Dakwah Masjid Mydin itu berkata:

“Saya cari barang-barang seperti jubah, tudung, batik, kotak tisu dan lain-lain.

“Harganya lumayan dan mutunya pun sangat hebat!”

Antara tempat yang dikunjungi untuk membeli-belah termasuk Thamrin City, Grand Indonesia, Plaza Indonesia dan By the Sea PIK.

Selain golongan yang mengambil pesawat ke destinasi tersebut, ada pula yang menitip pembelian melalui khidmat pembeli peribadi.

Pemilik hanaxsg, Cik Nooraini Mohamed Dahlan, merupakan salah seorang pembeli peribadi dari Singapura yang mengambil pesanan pelanggan Singapura dan membelinya secara fizikal di Jakarta serta Bandung.

“Orang Indonesia memang sangat berbakat dan tidak seperti anggapan ramai orang, mengenai rekaan pakaian mereka yang dikatakan ketinggalan berbanding Malaysia.

“Sebenarnya, mereka sangat mengikuti trend semasa.

“Oleh kerana Indonesia tidak mudah diakses melalui jalan darat seperti Malaysia, ditambah pula dengan kesesakan jalan raya di Jakarta yang teruk, kami memberi khidmat dengan memudahkan urusan pelanggan dengan membeli barangan untuk mereka, justeru mereka tidak perlu meninggalkan rumah,” kata Cik Nooraini, 35 tahun.

Permintaan, katanya, sudah mula meningkat sejak Oktober 2025, dengan pelanggan mengirim pesanan untuk baju siap pakai, kasut, beg, barang keperluan rumah seperti alas meja dan sarung kusyen, selain keropok dan kek lapis.

Di Bandung, Pasar Baru menjadi antara lokasi utama yang kerap dikunjungi berikutan hubungan rapat yang telah terjalin dengan pemilik kedai di sana, sekali gus membolehkan Cik Nooraini memperoleh maklumat awal mengenai ketibaan koleksi baru.

Sementara itu di Jakarta, Tanah Abang kekal popular kerana menawarkan rangkaian pakaian dan aksesori yang lebih luas, serta harga yang lebih menarik, khususnya bagi pembelian secara borong.

“Penjimatan ini kemudiannya disalurkan kepada pelanggan kami, yang dapat membeli barangan pada harga lebih rendah,” ujarnya.

Pemilik hanaxsg, Cik Nooraini Mohamed Dahlan (dua dari kanan) bersama rakannya, Cik Nurul Aklin Mustafa di kedai minyak wangi di Indonesia. Cik Nooraini merupakan salah seorang pembeli peribadi dari Singapura yang mengambil pesanan pelanggan untuk membeli barangan di Jakarta dan Bandung.
Pemilik hanaxsg, Cik Nooraini Mohamed Dahlan (dua dari kanan) bersama rakannya, Cik Nurul Aklin Mustafa di kedai minyak wangi di Indonesia. Cik Nooraini merupakan salah seorang pembeli peribadi dari Singapura yang mengambil pesanan pelanggan untuk membeli barangan di Jakarta dan Bandung. - Foto ihsan NOORAINI MOHAMED DAHLAN

Bandung, yang lazimnya mengambil masa sekitar empat jam perjalanan menggunakan kereta dari Jakarta, kini dihubungkan dengan laluan yang jauh lebih pantas.

Kereta api laju pertama di Asia Tenggara, Whoosh, yang dilancarkan pada Oktober 2023, memendekkan masa perjalanan antara Jakarta dengan Bandung kepada sekitar 30 minit sahaja.

Seperti peniaga di Jakarta, peniaga di Bandung, Encik Ravi Raj Kumar, berkata beliau melihat semakin ramai warga Malaysia dan Singapura berkunjung ke kedainya, Alla Moda Textile & Tailor di Jalan Burangrang, untuk menempah baju dalam jumlah besar.

Apabila baju sedondon ditempah dalam kuantiti banyak, pelanggan biasanya memilih khidmat penghantaran terus ke Singapura.

Kedainya, yang terkenal dengan khidmat pantas menyiapkan pakaian dalam tempoh 24 jam, berkata walaupun mereka berusaha sedaya upaya untuk menyiapkan tempahan secepat mungkin, terdapat juga tempoh sibuk seperti Disember, apabila jumlah tempahan meningkat, sekali gus memerlukan masa lebih lama.

Menurut agensi berita, Indonesia menerima seramai 13.98 juta pelancong antarabangsa antara Januari dengan November 2025, meningkat 10.44 peratus berbanding 12.66 juta pelancong yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2024, berdasarkan laporan Kementerian Pelancongan.

Menteri Pelancongan, Cik Widiyanti Putri Wardhana, dalam satu kenyataan berkata pelancong dari Malaysia, Australia, Singapura, China dan Timor-Leste menyumbang kepada majoriti ketibaan pelancong.

Menteri itu turut melaporkan bahawa sepanjang tempoh Januari hingga November 2025, lima lapangan terbang utama kekal menjadi pintu masuk utama ke Indonesia,

Lima lapangan terbang utama itu ialah I Gusti Ngurah Rai di Bali, Soekarno-Hatta di Jakarta, Juanda di Surabaya, Kualanamu di Medan; dan Lapangan Terbang Antarabangsa Yogyakarta.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg