JAKARTA: Tentera Nasional Indonesia (TNI) telah menghantar puluhan anggota dalam misi kemanusiaan selama 12 hari bagi menyalurkan bantuan melalui kaedah penghantaran bantuan digugurkan dari udara kepada rakyat Palestin di Gaza yang berdepan krisis kebuluran kian meruncing.
Panglima TNI, Jeneral Agus Subiyanto, berkata pasukan Garuda Merah Putih II yang terdiri daripada 66 anggota tentera, petugas Badan Amil Zakat Nasional (Baznas) serta pegawai pemerintah akan mengangkut 800 tan makanan, ubat-ubatan dan selimut, kebanyakannya telah dibungkus di Jordan dan Mesir.
“Semangat kemerdekaan ini dizahirkan dengan menyuarakan sokongan kepada rakyat Palestin yang sedang berjuang demi kehidupan aman dan kebebasan,” kata Jeneral Agus pada sidang media di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta Timur pada 13 Ogos.
Misi itu dilancarkan di tengah-tengah sekatan bantuan oleh Israel yang, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menjadi punca utama kebuluran besar-besaran di Gaza.
Penilaian yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut memberi amaran bahawa kebuluran sedang berlaku di wilayah itu.
Jeneral Agus menjelaskan, bantuan akan dihantar dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Jordan, menggunakan kaedah Kos Rendah Altitud Rendah (LCLA) – penghantaran dari ketinggian rendah 2,000 kaki dengan pakej disertakan payung terjun bagi memastikan keselamatan penduduk Gaza.
“Kami telah mengenal pasti 10 zon penurunan selamat untuk mengelakkan risiko kecederaan akibat menggugurkan makanan dan bekalan kemanusiaan melalui udara yang tidak terkawal,” katanya.
Langkah itu diambil susulan laporan bahawa penghantaran udara sebelum ini telah meragut nyawa 23 penduduk Gaza sejak perang bermula hampir dua tahun lalu, termasuk seorang remaja lelaki berusia 14 tahun pada Ogos lalu.
Menurut Baznas, sebuah pesawat Hercules akan berlepas dari Pangkalan Udara Raja Abdullah II di Jordan dan memasuki Gaza dari arah timur, manakala sebuah lagi akan berlepas dari Mesir melalui Kahirah atau El Arish untuk masuk dari arah barat.
“Kami telah menyiapkan bantuan di Jordan dan Mesir, hanya tinggal untuk menghantarnya,” kata Ketua Baznas, Encik Noor Achmad.
Beliau menambah, penghantaran pertama sebanyak 80 tan akan dilakukan pada 17 Ogos, bertepatan dengan ulang tahun kemerdekaan Indonesia ke-80, manakala selebihnya akan dihantar secara berperingkat sehingga 23 Ogos.
“Memasuki wilayah Palestin sangat sukar. Namun, dengan arahan Presiden Prabowo Subianto serta usaha diplomasi beliau, bantuan ini dapat disalurkan,” katanya lagi.
Bantuan yang dibawa termasuk mi segera, keju, tuna, biskut, jus pek, mentega, makanan dalam tin dan sos.
Misi kemanusiaan itu merupakan kali kedua pasukan Garuda Merah Putih II dihantar ke Gaza.
Pada misi pertama April 2024, mereka menghantar 3,200 tan makanan dan ubat-ubatan menggunakan sebuah pesawat C-130J Super Hercules.
Selain misi udara, pemerintah Indonesia juga mengumumkan rancangan menghantar 10,000 tan beras ke Gaza serta menubuhkan kemudahan perubatan di Pulau Galang, Kepulauan Riau, untuk merawat sekitar 2,000 rakyat Palestin yang cedera sebelum dihantar pulang ke Gaza selepas pulih.
“Dengan kerjasama semua pihak, kita berharap bantuan ini dapat meringankan penderitaan rakyat Palestin,” ujar Encik Noor Achmad. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg