Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia sasar turunkan tahap ancaman pengganasan jelang 2029

Susulan pembubaran JI dan pelaksanaan pelan tindakan pastikan mereka kembali kepada masyarakat
Apr 11, 2025 | 10:36 AM
Sekitar 1,200 bekas anggota Jemaah Islamiyah (JI) – kebanyakannya mengenakan pakaian tradisional batik Jawa – berhimpun pada Disember 2024 di Solo, Jawa Tengah, bagi memperbaharui ikrar untuk membubarkan kumpulan pengganas serantau yang pernah bergerak secara sulit itu.
Sekitar 1,200 bekas anggota Jemaah Islamiyah (JI) – kebanyakannya mengenakan pakaian tradisional batik Jawa – berhimpun pada Disember 2024 di Solo, Jawa Tengah, bagi memperbaharui ikrar untuk membubarkan kumpulan pengganas serantau yang pernah bergerak secara sulit itu. - Foto fail

Potensi serangan pengganas di Indonesia telah turun kepada tahap sederhana ke rendah, iaitu tahap terendah sejak 2020 selepas mencatat sifar serangan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Timbalan Ketua Kerjasama Antarabangsa di Badan Nasional Pencegahan Pengganasan (BNPT), Encik Andhika Chrisnayudhanto, menyatakan keyakinannya bahawa dengan langkah risikan yang digaris dalam Rancangan Pembangunan Nasional pemerintah bagi tempoh 2025-2029, Indonesia berupaya untuk terus menurunkan skor tersebut.

Indonesia mencatat skor 4.17 daripada 10 dan berada di kedudukan ke-30 daripada 163 negara dalam Indeks Pengganasan Sejagat 2025, yang menganalisis data dari 2024, dan diklasifikasikan sebagai negara yang mengalami kesan pengganasan pada tahap sederhana ke rendah.

Skor itu menunjukkan penurunan berbanding skor tertinggi iaitu 5.5 pada 2021 apabila Indonesia berada di kedudukan ke-24 dunia.

Indonesia masih diklasifikasikan sebagai negara dengan kesan sederhana akibat pengganasan pada 2023.

Indeks tahunan itu diterbitkan oleh badan pemikir sejagat, Institut Ekonomi dan Keamanan.

“Ancaman keseluruhan daripada organisasi pengganas di Indonesia terus menunjukkan penurunan sepanjang 2024, sekali gus menunjukkan pengurangan keupayaan operasi mereka.

“Bagi tahun kedua berturut-turut, Indonesia turut mencatat sifar serangan pengganas,” kata Encik Andhika kepada Berita Harian di sesi perbincangan mengenai Indeks Pengganasan Sejagat di Jakarta pada 10 April.

Beliau menambah bahawa pemerintah telah menetapkan sasaran menurunkan skor indeks ancaman pengganasan kepada 3.7 menjelang 2029.

Encik Andhika turut menjelaskan pencapaian itu berkait rapat dengan kemajuan besar yang dicapai oleh Indonesia dalam usaha memerangi pengganasan sepanjang 2024.

Indonesia menyaksikan kemajuan ketara pada 2024, dalam usaha menentang pengganasan apabila pemimpin kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) yang bergabung dengan Al-Qaeda mengumumkan pembubaran kumpulan tersebut pada Jun.

Beberapa tokoh kanan JI, termasuk pemimpin terakhirnya, Para Wijayanto, secara terbuka menyatakan kesetiaan mereka kepada Indonesia dan berikrar meninggalkan fahaman pelampau yang sebelum ini memperjuangkan penubuhan negara konservatif berasaskan syariah di Indonesia melalui pengganasan.

Pengumuman pembubaran itu diikuti dengan siri lawatan ke kawasan tumpuan atau bekas pusat kegiatan JI di seluruh Indonesia.

Ia bagi memaklumkan kepada ribuan anggota kumpulan itu bahawa JI telah dibubarkan, selain menyeru mereka supaya mengikut teladan pemimpin mereka untuk meninggalkan fahaman radikal.

Pegawai pasukan khas antipengganasan polis negara, Encik Mayndra Wardhana, memberitahu BH bahawa pihak polis terus memantau kegiatan bekas anggota JI selepas pembubaran kumpulan itu.

Di samping itu, mereka turut melaksanakan pelan tindakan bagi memastikan proses penyepaduansemula mereka ke dalam masyarakat berjalan lancar.

“Sentiasa ada kemungkinan kumpulan serpihan akan muncul, tetapi kami percaya bekas pemimpin mereka akan sentiasa mengingatkan bekas pengikut supaya kekal di landasan yang betul.

“Kami terus memantau pergerakan kumpulan serpihan ini bagi memastikan mereka terus mengamalkan pendekatan sederhana dalam beragama,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg