Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia sedia jalin hubungan dengan Israel jika Palestin diiktiraf negara merdeka

May 28, 2025 | 4:39 PM
Emmanuel Macron, Prabowo Subianto
Presiden Perancis Emmanuel Macron (kiri) bertemu dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto di Istana Merdeka, Jakarta, pada 28 Mei. - Foto AFP

Indonesia bersedia mengiktiraf Israel sekiranya Tel Aviv turut mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka, kata Presiden Indonesia Prabowo Subianto dalam sidang media bersama Presiden Perancis Emmanuel Macron pada 28 Mei.

Encik Prabowo berkata perlu ada pengiktirafan terhadap kedaulatan Israel dan jaminan keselamatan bagi negara itu.

“Sebaik sahaja Israel mengiktiraf Palestin, Indonesia bersedia untuk mengiktiraf Israel, dan kami juga bersedia untuk membuka hubungan diplomatik dengan Israel. Kami juga sanggup menghantar pasukan pengaman kami ke wilayah tersebut,” kata Encik Prabowo.

Beliau turut menegaskan pendirian Indonesia bahawa penyelesaian dua negara dan penubuhan negara Palestin yang merdeka adalah satu-satunya jalan damai bagi konflik yang telah berlarutan puluhan tahun dan meletus kembali sejak Oktober 2023.

Kedua-dua pemimpin mengadakan sidang media bagi menutup sesi perbincangan dua hala dan menandatangani beberapa perjanjian kerjasama strategik termasuk bidang pertahanan, keselamatan, budaya, ekonomi kreatif, pengangkutan bandar dan tenaga.

Majlis tersebut turut menandakan ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik kedua-dua negara yang berlangsung di Istana Presiden pada pagi 28 Mei.

Encik Macron disambut dengan kawalan kehormat tentera, termasuk iringan 50 pengawal berkuda dan sorakan 3,000 pelajar yang mengibarkan bendera Indonesia dan Perancis ketika limosin yang membawa beliau dan isterinya, Cik Brigitte, tiba di pekarangan istana selepas mendarat di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta, pada malam 27 Mei.

Encik Macron memberitahu wartawan di lapangan terbang bahawa beliau gembira kembali ke Indonesia, mengimbau kenangan manis semasa lawatan pada 2022 untuk menghadiri Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20) di Bali dan teruja bertemu dengan “saudaranya”, Encik Prabowo.

Dalam sidang media yang sama, Encik Macron berkata kedua-dua negara berkongsi pandangan yang sama dalam menangani krisis global utama.

Ini termasuk penyelesaian dua negara bagi menyelesaikan konflik Palestin-Israel sambil mengiktiraf hak Israel untuk mempertahankan diri.

“Hanya penyelesaian politik yang dapat membawa dan mewujudkan keamanan jangka panjang,” katanya.

Encik Macron menambah bahawa Perancis akan menjadi tuan rumah bersama Arab Saudi bagi satu persidangan berkenaan konflik Gaza yang akan diadakan di New York.

Ia bertujuan memberi “dorongan baru” bagi mengiktiraf kedua-dua negara Palestin dan Israel serta hak mereka untuk wujud secara aman.

Encik Prabowo menyatakan Indonesia akan menyokong langkah tersebut.

Encik Macron dijadualkan bertolak ke Yogyakarta pada 29 Mei, di mana beliau dijangka mengunjungi akademi tentera di Magelang.

Ini selain melihat kemudahan pembelajaran bahasa Perancis di sana, yang merupakan tempat latihan Encik Prabowo yang pernah menjadi kadet tentera.

Beliau juga akan melanjutkan lawatannya ke Yogyakarta untuk mengunjungi Candi Borobudur, kuil Buddha terbesar di dunia.

Persiapan sedang dijalankan di tapak warisan dunia itu, termasuk pemasangan tangga elektrik bagi memudahkan lawatan ke puncak tertinggi candi setinggi kira-kira 35 meter yang hanya boleh dicapai melalui tangga batu.

Pejabat Komunikasi Presiden telah menepis kebimbangan orang ramai bahawa pemasangan ini boleh merosakkan tapak purba tersebut, dengan menyatakan bahawa ia bertujuan memudahkan kunjungan rasmi yang padat.

Selepas melawat candi, Encik Macron dijadualkan berlepas ke Singapura sebagai destinasi ketiga dan terakhir dalam lawatan beliau ke Asia Tenggara yang bermula di Vietnam pada 25 Mei.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg