Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo di Bangkok untuk perkukuh hubungan jelang sidang puncak Asean

May 19, 2025 | 12:13 PM
Paetongtarn Shinawatra,  Prabowo Subianto
Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra dan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, menghadiri upacara perbarisan kehormatan di Bangkok pada 19 Mei 2025. - Foto REUTERS

BANGKOK: Presiden Prabowo Subianto berada di Bangkok pada 19 Mei bagi lawatan rasmi yang menyaksikan beliau bertemu pemimpin Thailand untuk mengukuhkan hubungan dua hala menjelang sidang puncak Asean pada 26-27 Mei di Malaysia.

Lawatan itu juga dibuat di tengah-tengah kebimbangan serantau mengenai perang tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.

Encik Prabowo tiba di Bangkok pada malam 17 Mei dan akan memulakan agenda rasminya pada pagi 19 Mei dengan melakukan kunjungan ke atas Raja Maha Vajiralongkorn di Istana Diraja Bangkok.

Beliau kemudian akan membincangkan hubungan dua hala dengan Perdana Menteri (PM) Cik Paetongtarn Shinawatra di pejabatnya.

“Presiden dan PM Thailand akan menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman yang mencerminkan komitmen mereka untuk mengembangkan perkongsian dua hala,” kata Sekretariat Presiden dalam satu kenyataan.

Menurut kerajaan Thailand, mesyuarat dua hala itu dijangka merangkumi pelbagai topik, termasuk kerjasama keselamatan, perdagangan dan pelaburan, keselamatan makanan, pelancongan, pendidikan, hubungan rakyat dengan rakyat dan kerjasama serantau.

Kunjungan Encik Prabowo menandakan lawatan rasmi pertama seorang Presiden Indonesia ke Bangkok dalam tempoh 20 tahun, kata jurucakap kerajaan Thailand, Encik Jirayu Houngsub.

“Semasa lawatan itu, kedua-dua pemimpin akan mengumumkan peningkatan hubungan strategik, bertepatan dengan ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik antara Thailand dengan Indonesia tahun ini,” tambahnya.

Sebulan sebelum pelantikannya sebagai Presiden pada Oktober 2024, Encik Prabowo membuat lawatan diplomatik berprofil tinggi ke lima negara Asean.

Di Thailand, beliau bertemu Cik Paetongtarn dalam usaha meyakinkan bahawa Asia Tenggara akan kekal sebagai salah satu tumpuan dasar luarnya.

Jakarta dan Bangkok telah pun memutuskan meningkatkan hubungan dua hala mereka menerusi perkongsian strategik selepas Menteri Luar Indonesia, Encik Sugiono mempengerusikan mesyuarat di Bangkok dengan rakan sejawatannya Encik Maris Sangiampongsa pada 2 Mei.

Pejabat Encik Sugiono berkata perkongsian strategik itu bertujuan untuk meluaskan akses produk Indonesia - terutamanya pertanian, perikanan dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) – di pasaran Thailand.

Susulan lawatannya ke Bangkok, Encik Prabowo dijangka menjadi tuan rumah kepada Perdana Menteri China Encik Li Qiang di Jakarta minggu ini sebelum berlepas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri sidang puncak Asean pada 26 dan 27 Mei.

Jadual diplomatik Encik Prabowo yang padat timbul ketika Asean berusaha membentangkan barisan bersatu menentang tarif Amerika yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg