JAKARTA: PT Freeport Indonesia mengesahkan usaha mencari lima pekerja yang masih hilang selepas bencana aliran lumpur di lombong tembaga dan emas Grasberg, Papua, masih diteruskan tanpa henti, lebih tiga minggu selepas tragedi itu berlaku.
Insiden yang berlaku pada 8 September lalu menyaksikan kira-kira 800,000 tan bahan lumpur basah membanjiri kawasan perlombongan bawah tanah Blok Cave Grasberg di daerah Tembagapura, Mimika, sekali gus memerangkap tujuh pekerja. Dua mayat telah ditemukan, manakala lima lagi masih belum ditemui.
Jurucakap Freeport Indonesia, Cik Katri Krisnati, berkata syarikat dan pasukan penyelamat bekerja siang dan malam walaupun menghadapi cabaran besar. “Pencarian rakan-rakan kami yang masih hilang diteruskan tanpa henti,” katanya dalam satu kenyataan pada 2 Oktober. “Namun proses menyelamat ini berisiko tinggi kerana pergerakan bahan lumpur yang tidak stabil.”
Freeport memaklumkan pasukan penyelamat kini sedang menggali dua laluan baru untuk mencapai kawasan dipercayai lokasi mangsa terperangkap. Jentera berat dengan sistem kawalan jauh turut digunakan bagi mengurangkan risiko kepada petugas.
Bagaimanapun, kedalaman kawasan runtuhan dan aliran udara yang semakin terhad menyukarkan usaha menyelamat.
Terdahulu, Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Yuliot Tanjung, berkata operasi memerlukan masa dan ketelitian tinggi. “Dua terowong baru telah sampai ke lokasi awal yang disyaki, tetapi pekerja tidak berada di situ. Kami masih berusaha keras menjejaki lokasi sebenar mereka,” katanya seperti dipetik CNBC Indonesia.
Susulan kejadian itu, Freeport-McMoRan, syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat yang mengendalikan lombong Grasberg bersama pemerintah Indonesia melalui Mining Industry Indonesia (MIND ID) telah mengisytiharkan force majeure dan menggantung sepenuhnya operasi perlombongan di tapak tersebut.
“Keselamatan pekerja adalah keutamaan kami, sebab itu operasi dihentikan sementara usaha menyelamat diteruskan,” kata Cik Krisnati.
Menteri Pelaburan merangkap Ketua Badan Koordinasi Penanaman Modal (BKPM), Encik Bahlil Lahadalia, turut mengesahkan operasi belum disambung. “Lombong Grasberg masih ditutup sepenuhnya sejak insiden berlaku. Kami sedang membincangkan bila operasi boleh disambung semula, tetapi fokus sekarang adalah mencari mangsa,” ujarnya kepada pemberita.
Beliau juga mendedahkan pemerintah dan Freeport telah memulakan rundingan untuk melanjutkan permit perlombongan syarikat itu selepas 2041, namun isu keselamatan pekerja kini menjadi keutamaan.
Penutupan Grasberg, lombong tembaga kedua terbesar dunia, memberi kesan besar kepada pasaran global. Freeport dalam laporan terkini suku ketiga menurunkan unjuran jualan tembaga sebanyak 4 peratus dan emas sebanyak 6 peratus berbanding ramalan Julai lalu.
Pengumuman itu mendorong harga tembaga dunia naik ke paras tertinggi dalam 15 bulan kerana kebimbangan terhadap gangguan bekalan.
Penganalisis di BMO Capital Markets menyifatkan perkembangan ini sebagai negatif dalam jangka masa terdekat. “Pengeluaran di Grasberg dijangka tidak kembali ke tahap normal sebelum tahun 2027,” kata BMO dalam laporan pasaran.
Encik Olga Savina, penganalisis komoditi di BMI Fitch Solutions, berkata situasi ini menguatkan lagi sentimen pasaran bahawa bekalan tembaga global semakin ketat. “Gangguan berpanjangan akan menyokong kenaikan harga tembaga sepanjang tahun ini dan berkemungkinan hingga 2026,” katanya.
Keadaan kawasan bencana yang tidak stabil menjadi cabaran terbesar. Freeport menyatakan aliran lumpur yang tebal dan pergerakan tanah yang berterusan menyukarkan pasukan penyelamat menggunakan kaedah biasa. Sebahagian laluan perlu digali secara manual, dan alat pengesan khas termasuk kamera bawah tanah serta peralatan mengesan degupan jantung telah dikerahkan.
“Pasukan kami menggali tanpa henti dengan penuh berhati-hati untuk mengelakkan risiko runtuhan susulan,” kata Cik Krisnati.
Lebih 300 anggota penyelamat dari Freeport, Basarnas dan pihak berkuasa tempatan telah dihantar ke lokasi. Selain itu, bekalan oksigen dan peralatan khas dipasang di terowong bagi menyokong keselamatan penyelamat yang bekerja dalam ruang sempit.
Walaupun sudah lebih tiga minggu, keluarga mangsa tetap menaruh harapan. “Kami berharap semua pekerja yang masih hilang dapat ditemui, walau apa keadaan mereka,” kata seorang ahli keluarga yang ditemui di Mimika.
Freeport menyatakan pihaknya terus berhubung dengan keluarga pekerja dan menyediakan sokongan psikologi serta bantuan keperluan harian. “Kami berjanji akan melakukan segala yang termampu untuk membawa pulang rakan-rakan kami,” tegas Cik Krisnati. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg