Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

19 hilang akibat tanah runtuh di lombong emas Papua Barat

Seorang mangsa disahkan maut, empat lagi cedera dan usaha cari masih diteruskan
May 19, 2025 | 3:38 PM
Pasukan penyelamat sukar mencari mangsa dalam kejadian tanah runtuh di sebuah lombong berskala kecil yang diusahakan oleh penduduk tempatan di pergunungan Arfak, Papua Barat.
Pasukan penyelamat sukar mencari mangsa dalam kejadian tanah runtuh di sebuah lombong berskala kecil yang diusahakan oleh penduduk tempatan di pergunungan Arfak, Papua Barat. - Foto INSTAGRAM#TANAHLONGSOR#

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia kini sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat 19 individu yang masih hilang selepas kejadian tanah runtuh melanda sebuah lombong emas berskala kecil di kawasan pergunungan Arfak, Papua Barat.

Menurut jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), Encik Abdul Muhari, kejadian tersebut berpunca daripada hujan lebat berterusan yang mengakibatkan tanah menjadi tidak stabil yang berlaku pada lewat malam 16 Mei.

Lombong tersebut dipercayai diusahakan oleh penduduk tempatan secara kecil-kecilan dan tidak berlesen.

Tanah runtuh telah menghempap beberapa struktur sementara yang digunakan oleh para pelombong sebagai tempat berteduh.

Seorang mangsa disahkan maut, empat lagi cedera, manakala 19 yang lain belum ditemui.

“Kami masih menjalankan usaha pencarian dengan kekuatan pasukan gabungan,” kata Encik Abdul Muhari dalam kenyataan kepada media.

Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Manokwari, Enck Yefri Sabaruddin, menjelaskan bahawa pihaknya hanya menerima maklumat tentang kejadian itu pada petang, 17 Mei, sehari selepas bencana berlaku.

“Maklumat diterima daripada pihak polis Pegunungan Arfak. Pasukan penyelamat kami terus dikerahkan pada malam itu juga,” jelas Encik Yefri.

Menurut beliau, pasukan yang diketuai oleh Encik Reza Afrianto daripada Operasi dan Siaga Basarnas tiba di lokasi kejadian sekitar 2 pagi waktu Indonesia Timur (WIT) pada 18 Mei.

Usaha pencarian kini melibatkan anggota tentera, polis serta agensi penyelamat lain yang turut bekerjasama dengan pihak kerajaan tempatan bagi mempercepatkan proses pemindahan.

“Keadaan jalan yang rosak teruk serta laluan pergunungan yang curam menyukarkan akses ke lokasi kejadian. Keadaan cuaca yang buruk turut melambatkan usaha pencarian,” kata Encik Yefri pada 19 Mei.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan jumlah mangsa meningkat memandangkan kawasan terjejas sangat luas dan tidak semua lokasi dapat diakses dengan segera.

Menurut rekod, kejadian tanah runtuh di kawasan lombong emas bukanlah sesuatu yang baru di Indonesia.

Pada September 2024, 15 orang terbunuh dalam kejadian serupa di Sumatera Barat, manakala insiden di Sulawesi Tengah pada Julai 2023 telah meragut sekurang-kurangnya 23 nyawa.

Kegiatan perlombongan secara kecil-kecilan dan tidak sah sering berlaku di kawasan pedalaman Indonesia yang kaya dengan sumber mineral.

Namun, lokasi yang sukar diakses serta kawalan keselamatan yang longgar menjadikan aktiviti ini berisiko tinggi.

“Kami berdepan kesukaran untuk memantau semua aktiviti perlombongan tidak sah yang berlaku jauh di pedalaman. Keadaan ini meningkatkan risiko kepada penduduk setempat,” tambah Encik Abdul Muhari.

Encik Yefri turut memaklumkan bahawa Basarnas kini giat menjalankan pemetaan baru kawasan bencana dan bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku runtuhan susulan.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) gabungan juga telah menubuhkan pusat kawalan di lokasi bagi menyelaras operasi secara berterusan.

“Kami akan terus mencari sehingga kesemua mangsa ditemui. Setiap nyawa penting, dan kami komited untuk memastikan keluarga mangsa mendapat jawapan,” ujar Encik Yefri. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg