Pemerintah Indonesia memperketat langkah keselamatan digital kanak-kanak bagi melindungi golongan bawah umur daripada direkrut ke dalam rangkaian pengganasan, susulan penahanan lima suspek berkaitan ISIS yang menggunakan media sosial dan permainan video dalam talian untuk meradikalkan 110 kanak-kanak.
Unit antipengganasan polis, Densus 88, berkata rangkaian pengganas semakin kerap menggunakan platform digital termasuk media sosial, permainan dalam talian dan aplikasi pesanan tertutup untuk mempengaruhi serta merekrut kanak-kanak berusia antara 10 hingga 18 tahun di 23 wilayah.
Kebanyakan perekrutan berlaku di pulau utama Jawa, terutamanya Jakarta dan Jawa Barat, wilayah paling padat di Indonesia.
“Kami menganggap kanak-kanak ini sebagai mangsa yang perlu dipulihkan dan dijauhkan daripada fahaman radikal,” kata jurucakap Densus 88, Encik Mayndra Eka Wardhana kepada Berita Harian (BH).
“Kami menggesa ibu bapa agar meningkatkan kewaspadaan dan memantau aktiviti digital anak-anak, termasuk interaksi dalam permainan dalam talian dan media sosial. Pengendali platform digital juga perlu memperketatkan saringan kandungan berbahaya jika terdapat petunjuk unsur ekstremis,” ujar Encik Mayndra.
Bagi menangani peningkatan radikalisasi dalam talian melibatkan kanak-kanak, pemerintah menubuhkan pasukan rentas agensi, termasuk skuad antipengganasan bagi melindungi golongan itu.
Encik Mayndra berkata Densus 88 bertanggungjawab dalam pemetaan dan pengumpulan data awal mengenai kanak-kanak yang diradikalkan dan direkrut secara digital ke dalam rangkaian pengganas.
Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital, Encik Meutya Hafid, berkata kanak-kanak Indonesia berada dalam talian secara purata 5.4 jam sehari, dengan 50.3 peratus pernah melihat kandungan dewasa dan 48 peratus mengalami buli siber.
Beliau merujuk data Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) daripada tinjauan 2023 mengenai pengetahuan dan amalan kanak-kanak ketika berada dalam talian.
“Anak-anak kita berlari dalam dunia yang sangat pantas dan penuh cabaran, namun kebanyakan ibu bapa masih membiarkan mereka berlari sendirian dalam ruang yang tidak selamat ini,” kata Encik Meutya.
Encik Mayndra berkata perekrutan dalam talian yang menyasarkan radikalisasi terhadap kanak-kanak berlaku secara besar-besaran, dengan peningkatan mendadak pada 2025.
Skuad antipengganasan mengenal pasti 110 kanak-kanak direkrut secara digital, berbanding sekitar 17 orang yang direkrut antara 2011 hingga 2017.
Perekrutan dilakukan oleh pihak yang “mempunyai misi” menyebarkan ideologi mereka, katanya, dengan memulakan interaksi melalui soalan mencabar minda yang tidak mengandungi unsur pengganasan di peringkat awal.
Mangsa dan perekrut jarang bertemu secara fizikal kerana interaksi berlaku sepenuhnya dalam talian.
Salah seorang daripada lima perekrut dua daripadanya ditahan pada 17 November lalu ialah bekas banduan kes pengganasan daripada sel Jamaah Ansharut Daulah (JAD) yang telah selesai menjalani hukuman.
Setelah berjaya memancing minat mereka dan membawa mereka menyertai kumpulan dalam talian, kanak-kanak itu kemudian diarahkan ke kumpulan yang lebih kecil dan tertutup yang diuruskan pentadbir, di mana proses indoktrinasi dijalankan melalui pelbagai saluran digital.
“Kami mengesan mereka mensasarkan fasiliti penting, termasuk kemudahan keselamatan. Terbaru, seorang pelaku menyatakan hasrat untuk melancarkan serangan di bangunan Dewan Perwakilan Rakyat,” kata Encik Mayndra, sambil menambah bahawa ada antara mereka telah membeli bahan untuk membuat bahan letupan bagi digunakan dalam serangan yang dirancang.
Jurucakap polis negara, Encik Trunoyudo Wisnu Andiko, berkata dalam sidang media pada 18 November bahawa skuad antipengganasan sejak hujung 2024 hingga November ini telah menggagalkan cubaan kanak-kanak diradikalkan untuk melancarkan serangan di Banten, Sulawesi Selatan dan Jawa Tengah.
“Daripada penilaian kami, kerentanan kanak-kanak dipengaruhi oleh buli, keluarga berpecah, kurang perhatian ibu bapa, pencarian identiti, peminggiran sosial, serta literasi digital dan pemahaman agama yang rendah,” kata Encik Trunoyudo.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg