Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pakar pengganas Indonesia: Wanita jadi sasaran baru rekrutmen pengganas

Jul 9, 2025 | 11:38 AM
ISIL, RAQQA, syria
Seorang anggota yang setia kepada ISIL mengibarkan bendera ISIL di Raqqa, Syria pada 29 Jun 2014.  - Foto REUTERS

JAKARTA: Pakar terorisme dari Universiti Indonesia, Encik Solahudin, mendedahkan bahawa sehingga Disember 2022, lebih daripada 55 orang wanita disyaki terlibat dalam kes pengganasan di Indonesia, iaitu peningkatan lebih lima kali ganda berbanding era sebelum kewujudan ISIS.

Menurutnya, perubahan strategi kumpulan pengganas, termasuk penggunaan wanita sebagai pelaku utama, mendorong kepada landskap baru dalam terorisme di Indonesia.

“Penting untuk kita fahami bahawa landskap terorisme kini berubah, dan salah satu yang paling ketara ialah penglibatan wanita,” kata Encik Solahudin dalam pelancaran buku Keluar dari Jerat Kekerasan di Jakarta.

Beliau menjelaskan bahawa kumpulan seperti ISIS membenarkan wanita terlibat secara langsung dalam serangan apabila konsep jihad ditafsirkan sebagai fardu ain (kewajiban individu).

Ini berbeza dengan Al-Qaeda, yang meletakkan jihad hanya wajib bagi lelaki.

Menurut Encik Solahudin, naratif kerohanian turut dimanipulasi untuk menarik wanita menyertai jihad, termasuk janji syafaat untuk 72 ahli keluarga, termasuk ayah yang dianggap kafir.

Malah, media turut menyumbang secara tidak langsung apabila liputan terhadap pelaku wanita dianggap lebih ‘bernilai berita’.

“Jika lelaki meletupkan diri, itu dianggap biasa. Tetapi bila wanita melakukannya, berita itu jadi luar biasa dan cepat tular,” ujarnya.

Encik Solahudin turut menekankan bahawa kumpulan pengganas kini menggunakan wanita dan kanak-kanak untuk mengelak pengawasan pihak berkuasa, memandangkan fokus pemantauan sebelum ini lebih terarah kepada lelaki.

“Kumpulan ini licik mengeksploitasi ruang dalam sistem pengawasan,” tegas beliau.

Penulis buku Keluar dari Jerat Kekerasan, Dr Leebarty Taskarina, menegaskan bahawa perubahan peranan jantina kini memperlihatkan wanita bukan lagi hanya sebagai isteri atau ibu, tetapi sebagai individu yang mempunyai keyakinan tinggi terhadap ideologi kekerasan.

“Ada wanita yang lebih fanatik daripada suaminya. Kalau suami mahu bersumpah setia kepada negara untuk kurangkan tekanan, dia mahu ceraikan suaminya,” katanya.

Buku tersebut mengetengahkan 20 kisah sebenar wanita yang pernah terlibat dalam jaringan terorisme, serta proses bagaimana mereka akhirnya membuat keputusan untuk menyertai atau keluar daripada ideologi radikal.

Badan Nasional Pencegahan Pengganasan (BNPT) Indonesia melihat fenomena ini sebagai isyarat untuk melibatkan lebih ramai wanita dalam usaha pencegahan.

Ketua Risikan BNPT, Cik Bayu Wijanarko, menyatakan bahawa terdapat transformasi besar dalam peranan wanita sejak era Jemaah Islamiyah (JI) hingga kini.

“Mereka jadikan wanita lebih aktif dalam aktiviti terrorisme. Jadi kami balas dengan menggunakan wanita juga sebagai penguat ideologi positif dalam masyarakat,” jelas beliau.

Cik Bayu mengalu-alukan pelancaran buku Leebarty yang dianggap mampu membuka mata masyarakat terhadap realiti kompleks penglibatan wanita dalam terrorisme, bukan dengan pandangan menghukum tetapi dengan lensa kemanusiaan.

Dr Leebarty turut berharap agar buku itu dapat menjadi rujukan dalam strategi intervensi dan literasi keselamatan, khususnya dalam menangani pengaruh radikalisme terhadap wanita dan peranan keibuan mereka.

“Kita perlu fahami, wanita juga boleh jadi pelaku sama ada secara sedar atau dipengaruhi. Tapi mereka juga boleh jadi agen perubahan,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg