JAKARTA: Menjelang cuti hujung tahun 2025, Polis Republik Indonesia (Polri) meningkatkan tahap kesiapsiagaan keselamatan di seluruh negara bagi memastikan sambutan Krismas dan Tahun Baru berlangsung dengan aman.
Ratusan ribu anggota keselamatan dikerahkan menerusi pelaksanaan Operasi Lilin 2025, satu operasi tahunan berskala nasional yang bertujuan menjamin keselamatan awam sepanjang musim perayaan.
Operasi Lilin dijadualkan berlangsung selama dua minggu, bermula 20 Disember hingga 2 Januari, dengan penglibatan kira-kira 146,000 anggota gabungan daripada polis, tentera dan pelbagai agensi pemerintah.
Tumpuan utama operasi ini adalah kawalan keselamatan di gereja, lokasi pelancongan, pusat pengangkutan awam serta kawasan tumpuan orang ramai.
Di Jakarta dan bandar satelitnya, pihak berkuasa memberi keutamaan kepada rumah ibadat yang dikenal pasti memerlukan tahap perlindungan lebih tinggi.
Lebih 5,000 anggota keselamatan telah dikerahkan bagi memastikan sambutan Krismas berjalan lancar dan selamat.
“Kami memperketat kawalan di rumah ibadat serta meningkatkan perlindungan di gereja yang dianggap berisiko tinggi. Kawalan keselamatan dipertingkatkan di 14 gereja di Jakarta Pusat, Jakarta Barat, Jakarta Timur dan Bekasi,” kata Ketua Polis Jakarta, Inspektor Jeneral Asep Edi Suheri, dalam satu kenyataan.
Selain aspek keselamatan, polis turut memberi perhatian kepada kawasan yang terjejas akibat bencana alam.
Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, berkata lebih 11,000 anggota telah digerakkan ke Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat bagi membantu kerja pemulihan serta memastikan gereja yang terjejas dapat digunakan semula menjelang Krismas.
“Di Sumatera Utara, sebanyak 32 gereja di tiga kabupaten (daerah) terjejas. Kami membantu kerja pembersihan. Di Kabupaten Tapanuli Selatan, tiga daripada empat gereja kini sudah boleh digunakan. Sembilan gereja di Kabupaten Langkat telah kembali beroperasi, manakala 12 daripada 19 gereja di Tapanuli Tengah berjaya dipulihkan,” katanya.
Di Kabupaten Tapanuli Utara, mangsa yang berlindung di Gereja Protestan Batak Sibalanga turut berganding bahu membersihkan kawasan gereja bagi membolehkan sambutan Krismas dan ibadah Ahad diteruskan.
Seorang mangsa, Encik Dennis Sitompul, berkata sambutan Krismas tetap akan dijalankan walaupun dalam keadaan serba sederhana.
“Walaupun kami terpaksa duduk di atas tikar, sambutan Krismas dan ibadah Ahad di pusat perlindungan ini akan tetap berlangsung dengan penuh khusyuk,” katanya.
Di wilayah lain, persiapan sambutan Krismas juga giat dijalankan.
Di Gereja Katolik St. Theresia Bongsari di Semarang, khemah sementara didirikan bagi menampung kehadiran penganut yang ramai.
Seorang pelajar sekolah menengah, Ignasia Julie Aristawati, berkata beliau telah membuat persiapan selama sebulan untuk bertugas sebagai pembantu altar semasa misa Krismas.
“Keluarga saya akan menghadiri misa bersama-sama pada pagi 25 Disember,” katanya.
Dalam masa sama, Gabenor Jawa Tengah, Encik Ahmad Luthfi, melakukan pemeriksaan di kawasan rehat lebuh raya dan laluan utama di Semarang bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya.
Menurut beliau, Jawa Tengah merupakan laluan transit utama ketika musim perayaan.
“Kawasan rehat sangat penting untuk memastikan para pengembara kekal sihat dan selamat sampai ke destinasi masing-masing,” katanya, sambil memaklumkan bahawa sekitar 8.7 juta orang dijangka melakukan perjalanan dalam atau merentasi Jawa Tengah sepanjang tempoh cuti.
Kenyataan itu dibuat susulan satu kemalangan bas di lebuh raya Semarang yang mengorbankan sekurang-kurangnya 16 penumpang, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan jalan raya.
Polis turut memberi amaran mengenai potensi cuaca ekstrem, banjir dan tanah runtuh berdasarkan amaran dikeluarkan oleh Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG).
Di Jakarta, pemeriksaan keselamatan menyeluruh dijalankan di kawasan tumpuan seperti Katedral Jakarta, Stesen Gambir, Monumen Nasional (Monas) dan Bundaran HI.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Operasi Lilin, Brigedier Jeneral Trunoyudo Wisnu Andiko, berkata operasi ini bertujuan menilai kesiapsiagaan anggota, peralatan serta tahap koordinasi antara unit terlibat.
“Kami komited untuk memastikan keselamatan rakyat agar mereka dapat menyambut Krismas dan Tahun Baru dengan tenang,” katanya.
Langkah keselamatan ketat ini turut dipengaruhi oleh sejarah serangan bom Krismas di Indonesia pada tahun 2000 dan 2003.
Dengan peningkatan ketibaan pelancong asing, pihak berkuasa menegaskan bahawa pendekatan pencegahan kekal menjadi keutamaan bagi menjamin keselamatan rakyat dan pengunjung antarabangsa. –Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg